Showing posts with label Aisya Sofea. Show all posts
Showing posts with label Aisya Sofea. Show all posts

Friday, July 25, 2014

Masih Setia (Aisya Sofea)

Tajuk : Masih Setia
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf 21
535 m/s

Sinopsis Belakang Buku:
Miera - Gadis biasa yang hidup serba sederhana. Ada rupa, ada pelajaran, ada cita-cita. Dalam menjalani kehidupan seharian, teman lelaki tidak pernah terlintas di fikiran. Sehinggalah dia dipaksa memikirkannya atau dia tiada pilihan!

Rudi - lelaki terpilih yang ingin digandingkan dengan Miera. Namun Miera tetap berkeras enggan berteman biarpun segunung harta dijanjikan untuknya.

Musibah melanda. Sekelip mata, percutian Miera di bumi asing bertukar menjadi tragedi. Namun, di sebalik peristiwa hitam yang berlaku, kehadiran Dr. Malik mengetuk pintu hatinyaa. Dalam kesibukan membantu mangsa bencana, dia mengamati lelaki itu dari jauh. Dalam kelelahan menjalani kehidupan seharian, dia mendekati tanpa sengaja. Jeling-menjeling, pandang memandang. Jiwa terusik, hati bergelora hingga tanpa sedar, perasaan hadir tanpa diundang. Mengapa hatinua mudah tercuit dek lelaki itu?

Hatinya berbelah bahagi. Rudi yang mencintainya, Dr. Malik yang diingininya. Masakan dia boleh memiliki kedua-duanya. Justeru, mana satu pilihan terbaik untuknya?

Ulasan:
Buku aisya sofea memang dah banyak saya baca dan beli. Kebanyakannya memang memuaskan hati saya. Buku ini pun sama. Cuma pada awal cerita sebelum Miera berjumpa dengan Dr. Malik tuh yang agak slow sikik. Bayangan gempa bumi tak berapa real tapi Aisya sofea mampu mengulasnya dengan baik.

Pertemuan Miera dengan Rudi memang tak membuka pintu Miera untuk menerima Rudy lebih dari seorang saudaranya sehinggalah Miera bertemu dengan Dr. Malik. Dr. Malik membuatkan Miera merasakan sesuatu yang tak pernah dia rasai sebelum ini. Dr. Malik juga mempunyai rasa yang sama. Namun perasaan itu terpaksa ditolak ke tepi selepas mengetahui status Dr. Malik yang sebenarnya. Dr. Malik memilih untuk setia dengan pilihannya, walaupun Miera sendiri menjadi saksi punca pergolakan dalam hubungan mereka. Namun, Dr. Malik menganggap Miera melakukannya untuk mendapatkan cintanya. Walaupun begitu, akhirnya mereka disatukan juga selepas Dr. Malik mengetahui kebenarannya dan keluarga Miera terpaksa akur dengan pilihannya.

Apakah status Dr. Malik? Apakah yang Miera ketahui sehingga membuatkan Dr. Malik membencinya.
Semuanya terjawab dalam buku ini.

Rating : **** (bolehlah)


Wednesday, February 5, 2014

Uda dan Dara (Aisya Sofea)


Tajuk Buku : Uda dan Dara
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf 21
547 mukasurat

Sinopsis Belakang Buku:
Sudah sekian lama terpisah kerana masing-masing mengejar cita-cita, tidak mungkin Siti Mariam menerima cinta Izzat Hilman. Kenangan lalu yang sangat menghiris hatinya sentiasa bergentayangan di hadapan mata. Namun, si uda tidak putus asa. Si dara harus dimiliki walau apa pun yang terjadi.

Ya, mungkin ada rasa rindu di sebalik rasa bencinya terhadap lelaki itu. Namun, dalam diam, Siti Mariam masih tidak mampu membuang perasaan sayang pada Izzat Hilman. Ah, bila memikirkan wasiat arwah ibu lelaki itu, dia jadi nanar. Apatah lagi, kemunculan Khalidah bagai dirancang untuk memisahkan mereka. Hubungan boleh diteruskan, tetapi Siti Mariam meletakkan syarat. Mereka boleh bersama tetapi bersedia untuk berpisah. Tempoh yang diberi hanya tujuh bulan. Muktamad. Berat sungguh syarat itu! Namun, si uda tidak peduli. Si dara perlu akur cinta sejati mereka. Bagi Izzat Hilman, jodohnya bersama Siti Mariam sangat kuat.


“Abang cuma minta Mar bagi peluang sekali ini sahaja lagi, dan abang takkan sia-siakan Mar.”

Ulasan:
Cetakan pertama buku ini adalah pada tahun 2011 dan sehingga 2013 sudah berjaya dicetak sembilan kali.. Agak memberansangkan peningkataannya. Aisya Sofea memang penulis lama yang pandai mengolah dengan baik dan feeling cerita-cerita cinta nih...memang dah banyak buku-bukunya yang saya baca. Buku ini juga tidak kurang hebatnya. Walaupun ceritanya biasa, macam lebih kurang sama dengan penulis-penulis lain, namun Aisya Sofea mampu menggarap ceritanya agak lebih menarik. 

Siti Mariam yang menetapkan hubungan boleh diteruskan tetapi mereka akan berpisah akhirnya telah memeningkan kepala Izzat. Siti Mariam membuat keputusan untuk berminat kerana wasiat lama yang masih dipegang teguh oleh kakak Izzat. Namun jodoh mereka memang kuat...sesuatu telah menimpa anak kakaknya yang mendorong Siti Mariam mempertaruhnya nyawanya sendiri. Walaupun pengorbanannya cuba disembunyikan namun rahsia itu terbongkar juga. 

Kalau nak tahu lebih detail, bolehlah beli buku nih...tengok sahaja bilangan cetakkannya pun boleh tahu best ke tak buku nih. Simple tapi menarik. 

Rating ***** (best)

Sunday, April 10, 2011

Selagi Ada Dia - Aisya Sofea

Tajuk buku : Selagi Ada Dia
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf21
Tamat Baca : 8 April 2011
503 m/s


Sinopsis Belakang Buku:
PERTEMUAN tanpa dirancang telah membuka pintu hati Arianni untuk mengenal erti cinta. Apatah lagi, lelaki itu berjanji menjadikan dia sebahagian hidupnya, berjanji bahawa segalanya mampu ditangani dan berjanji akan mempertahankan cinta mereka.

Namun, kasih yang disulam, janji yang dimaterai terlerai akhirnya bila terbongkar satu rahsia yang tidak terduga. Sebagai wanita bermaruah, Arianni nekad menoktahkan segala impian. Cinta pertamanya harus dibuang jauh daripada kotak ingatan. Lelaki itu bukan untuknya.

Tahun berlalu... hadirlah lelaki baru dalam hidupnya. Sayangnya, pintu hati dia masih tertutup rapat. Rasa terluka itu masih ada. Baginya, cinta kedua tidak membawa sebarang makna; tiada keikhlasan, tiada kejujuran. Lalu bagaimana? Selama manakah lagi harus dia tunggu untuk mengecap nikmat kebahagiaan? Terlalu memilihkah dia?


Ulasan:
Selepas dikecewakan oleh lelaki yang tiada pendirian dan dituduh menjadi perampas kekasih kakaknya sendiri, Arianni membawa diri ke luar negara. Lebih-lebih lagi kerana melanjutkan pelajarannya keperingkat yang lebih tinggi. Setelah 3 tahun diperantauan, Arianni pulang semula ke Malaysia kerana ingin menjaga kedua ibu bapanya. Perjalanan pulang menitipkan perkenalan baru dengan seorang duda yang telah kematian isteri dan umurnya agak jauh lebih tua daripada Arianni. 


Kepulangan Arianni ke Malaysia memberi tamparan hebat kepadanya kerana kekasih yang ditinggalkan dulu kembali merayu kepadanya. Hubungan Arianni dengan kakaknya semakin 'parah' sehingga kakaknya sanggup melakukan apa saja untuk memenangi kekasihnya semula walaupun dia sendiri pernah membatalkan pertunangan. Namun Arianni sayang dan kasih Arianni kepadanya telah pudar dengan kehadiran Idris yang dikenalinya selama beberapa jam sahaja. Idrislah yang menjadi pendengar setia masalah-masalah yang dihadapinya. Namun permintaan mak tidak dapat ditolak. Arianni 'terpaksa rela' berkahwin dengan pilihan maknya sendiri. Arianni pasrah kerana baginya tidak ada yang lebih membahagiakan seorang anak selain daripada membuat Ibu Bapa gembira. Tetapi, takdir telah ditentukan dan Arianni bahagia disamping suami yang tercinta walaupun banyak dugaan yang telah menimpa.


Cerita Aisya Sofea kali ini agak santai dan bersahaja. Saya boleh agak apa yang ingin diceritakan dan siapakah pilihan Arianni akhirnya. Namun buku ini agak kurang penghayatan dibandingkan dengan buku-bukunya yang terdahulu. Tetapi gaya bahasa yang digunakan dan kejutan-kejutan mampu membuatkan pembaca (saya sendiri) ingin terus menghabiskan buku ini.


Rating : *** (bacaian santai sahaja)

Monday, March 15, 2010

AISYA SOFEA

Sinopsis :  Selagi Ada Dia

Pertemuan tanpa dirancang telah membuka pintu hati Arianni untuk mengenal erti cinta. Apatah lagi, lelaki itu berjanji menjadikan dia sebahagian hidupnya, berjanji bahawa segalanya mampu ditangani dan berjanji akan mempertahankan cinta mereka.

Namun kasih yang disulam, janji yang dimaterai terlerai akhirnya bila terbongkar satu rahsia yang tidak terduga. Sebagai wanita bermaruah, Arianni nekad menoktahkan segala impian. Cinta pertamanya harus dibuang jauh daripada kotak ingatan. Lelaki itu bukan untuknya.

Tahun berlalu...hadirlah lelaki baru dalam hidupnya. Sayangnya, pintu hati dia masih tertutup rapat. Rasa terluka itu masih ada. Baginya, cinta kedua tidak membawa sebarang makna; tiada keikhlasan, tiada kejujuran. Lalu bagaimana? Selama manakah lagi harus dia tunggu untuk mengecap nikmat kebahagiaan? Terlalu memilihkah dia?




Sinopsis : Gelora Jiwa
Siapa kata setia tak mungkin berlaku curang? Siapa menduga kasih takkan bertukar benci? Katakan sejujurnya, bagaimana harus disukat bahagia jika dalam hati Intan Azureen, berkocak dilanda asmara.

Seraut wajah tenang itu, tiba-tiba berubah menyimpan seribu luka. Keluh resahnya sekadar melunakkan hati yang duka. Bagaimana harus dijelaskan; setianya bukan lagi untuk Hanif Azman tunangnya. Tapi kasihnya sudah berpaling jauh pada Hanif Ashman dalam sekelip mata.
Siapa merampas dan siapa yang dirampas? Siapa yang berhak dan siapa pula yang tak punya hak? Intan Azureen lemas di tengah-tengah kekusutan.

Dia harus teguh memegang janji wasiat; membina rumahtangga dengan lelaki pilihan keluarga.
Atas desakan keluarga melawan kehendak hati, dia harus membuat pilihan yang tepat. Hanif Ashman satu mimpi. Hanif Azman pula satu realiti. Tapi mimpi itu juga yang sentiasa membayangi hidupnya. Ah, sukarnya menidakkan takdir sedangkan cintanya hanya untuk Hanif Ashman seorang. Jadi, bagaimana?


Dia tekad, dilema ini harus dinoktahkan. Siapapun yang terpilih, dia akur akan melimpahkan kejujuran sepenuh hati. Tapi, siapakah antara mereka yang bakal mengongsi hidupnya sepanjang hayat?



Sinopsis: Buatmu Kekasih


Novel ini memuatkan lima novel terdahulu beliau ini merupakan titik sambungan dengan melakarkan sebahagian watak-watak yang pernah dicipta Aisya Sofea.

Tahun berlalu... kini Ika, farah, Umairah, Kay dan Intan sedang meniti alam kedewasaan, namun yang terluka ada perasaan yang tersentuh, ada hati yang merana. Namun, dengan kekuatan kasih sayang, segala dugaan cuba diatasi sebaik-baiknya.

Buatmu kekasih menggambarkan betapa akrabnya kita dengan watak-watak dalam karya terdahulu hingga merasakan bahawa mereka turut menghirup udara yang kita hirup, tinggal di bawah langit yang sama dan juga berlampukan sinaran bulan yang satu.




Sinopsis: Adam dan Hawa

Ain Hawani, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kesilapan kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela.

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Ada yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah...Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan Masjidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan selama ini. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang tunggu.

Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarlah lapan tahun lagi..




Sinopsis: Kau Untukku

Pertama kali bertemu Nurul Umairah, hati Ahmad Fuad sudah terpaut. Biarpun gadis itu sudah dimiliki, namun perasaaannya tidak pernah berubah walaupun terpaksa menyembunyikan rahsia hatinya dalam-dalam.

Bila Jefri, tunang Nurul terkorban dalam kemalangan, Fuad menawarkan kasihnya. Nurul menolak kerana tidak mungkin dia mengalih perasaan pada lelaki lain dalam sekelip mata sahaja. Kebijaksanaan Fuad akhirnya meruntun tembok yang dibina Nurul. Dia akhirnya menerima Fuad tanpa mengetahui rupa-rupanya ada gadis lain sedang menagih kasih lelaki itu semula.

Apakah Fuad akan menyambung semula kasihnya bersama gadis yang tiba-tiba muncul kembali di antara mereka? Mampukah Nurul Umairah sekali lagi kecewa biarpun lelaki itulah yang memulakan percintaan mereka.

Kau untukku; indah, romantis dan membuai perasaan.



Sinopsis : Jendela Hati

Harga kesetiaan seorang lelaki bernama suami begitu mahal nilainya pada insan bernama Lukman Hafizi ini. Setelah pemergian isteri tercintannya, Sarah, hari-hari yang dilaluinya tidak lagi seindah semalam. Dia terus hanyut dalam lamunan khayalannya.


Kepulangan Farah, kembar seiras arwah isterinya tidak mampu menggugah selaut kenangan bersama arwah isterinya. Farah pula tersepit dengan wasiat terakhir kakaknya serta dilema perasaannya sendiri. Dia pasrah akhirnya.


Benarkah 'ganti tikar' yang berlandaskan 'keterpaksaan' bagaikan embun di hujung rumput; memakan diri sendiri akhirnya. Apakah ini harga yang perlu dibayar untuk sebuah pergorbanan? Hayatilah falsafah yang tersirat di sebalik mesej yang tersurat ini.




Sinopsis : Sehangat Asmara

Kamilia Najwa & Zainal Arief. Pandang pertama mereka memutikkan cinta dan berakhir dengan perkahwinan di London tanpa restu keluarga. Namun badai asmara mereka sentiasa membakar di sebuah bilik kecil di Oxford dengan janji sehidup semati.


Kebahagiaan mereka tiba-tiba terhenti! Zainal terpaksa pulang ke tanah air dengan janji akan kembali lagi. Sejak itu hingga menginjak sembilan tahun lamanya, Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia terus menanti dengan air mata dan sengsara.

Tanpa diduga, Zainal muncul kembali. Datangnya untuk menuntut Misya, anak comel yang selama ini 'disembunyikan' oleh Kamilia. Dendam kesumat Kamilia terhadap Zainal tidak pernah padam. Anehnya, 'dendam rindunya' terhadap lelaki itu lebih kuat dan mengusik perasaannya.


Benarkah dia membenci lelaki itu? Dan hipokritkah Zainal bila menyatakan hanya Kamilia seorang di hatinya.



Sinopsis : Jauh
Siapalah yang dapat melupakan tempat kasih bersemi? Sesungguhnya api cinta itu hangat membakar. Meski telah padam, namun baranya masih ada. Masa dan kejauhan bukan halangan bila jodoh telah ditentukan.


Related Posts with Thumbnails