Thursday, October 20, 2011

Mencari Jalan Ke Syurga - Hasliza Ismail

Tajuk : Mencari Jalan Ke Syurga
Penulis : Hasliza Ismail
Penerbit : Kaki Novel Enterprise
m/s : 536


Sinopsis Belakang Buku: 

Satu kemalangan tragis telah meragut semua yang Khirana miliki; memorinya dan juga insan tercinta. Setelah dua tahun koma, dia bangkit semula lalu bertatih untuk memulakan hidup baharu dan berubah menjadi insan yang berbeza.

Namun, kemunculan Shahrul Azwan telah memaksa Khirana berhadapan dengan dosa semalamnya. Kebencian dan dendam kesumat lelaki itu membuatkan Khirana berjuang untuk mengembalikan semula ingatannya. Bayangan hitam mula menghantui diri dan cuba untuk menyesatkan laluannya. Dugaan yang datang bertimpa-timpa hampir melemahkan imannya.


Di mata Shahrul Azwan, Khirana adalah seorang perempuan jalang yang telah menghancurkan maruah keluarganya. Hutang nyawa mesti dibalas dengan nyawa! Namun dia buntu apabila setiap kali menyakiti wanita itu, hatinya turut sama terluka.  Keperibadian Khirana telah meruntuhkan tembok kebencian di dalam dirinya. Bila hati sudah tertawan, dia terpaksa memilih di antara keluarga dan cintanya. Walau jalan mana yang dipilih, kesudahannya pasti menuntut satu jiwa sebagai pertaruhan.

Ulasan:
Ini merupakan buku pertama tulisan Hasliza Ismail (HI) yang saya baca. HI tidak mengecewakan saya kerana jalan ceritanya disusun rapi dan penuh dengan teka-teki. Pada awal cerita saya seperti boleh mengagak apa yang ingin diceritakan dan apa rahsia disebalik kemalangan yang berlaku yang menyebabkan Khirana hilang hampir kesemua ingatan masa lampaunya. Imbasan peristiwa 2 tahun dahulu disusun rapi dengan diselangi dengan cerita semasa. Watak Khirana agak menarik dan perasaan yang wujud di antara Khirana dan Shahrul Azwan hanya dikupas bersahaja oleh penulis. Penulis banyak memberi tumpuan kepada peristiwa hitam yang dilakukan oleh Khirana kepada keluarga Shahrul.

Shahrul yang pada mulanya mempunyai agenda untuk membalas dendam, tidak mampu menolak perasaan yang mula berputik kerana kebaikan dan keinsafan Khirana. Khirana berdepan dengan pelbagai dugaan bermula dengan kehilangan seorang kawan yang amat dikasihi sehinggalah dia hampir mati buat kali keduanya kerana dendam seorang isteri yang mengalami tekanan jiwa. Di saat Shahrul cuba mengecapi kebahagiaan bersama Khirana dan di saat Khirana mula mengingati semula sejarah silamnya, Khirana ditikam kerana dendam seorang isteri. Namun jodoh Khirana dan Shahrul masih utuh. Mereka akhirnya mengecapi bahagia di perantauan kerana Shahrul terpaksa melepaskan segala miliknya di Malaysia untuk menyelamatkan satu-satunya adik lelakinya.

Apakah yang telah dilakukan oleh adiknya dan apakah sejarah hitam yang telah Khirana lakukan sehingga nyawa mesti dibalas dengan nyawa? Siapakan yang membunuh kawan baik Khirana? dan siapa pula yang cuba membunuh Khirana untuk kali kedua? Untuk mengetahuinya, bolehlah beli buku ni. Saya amat berpuashati dengan tulisan HI ini dan akan terus membaca karya beliau.

Rating : ***** (sangat berbaloi dijadikan koleksi)

Monday, October 17, 2011

Cinta Sufi - Ramlee Awang Murshid

Tajuk Buku : Cinta Sufi
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21
m/s : 509


Sinopsis belakang buku:
Pilu hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari ‘lelaki bertanduk dua’.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna… bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi.

CINTA SUFI
Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Ulasan:
Cinta Sufi merupakan kesinambungan daripada trilogi Bagaikan Puteri. Agak lama jugaklah saya nak mula membaca buku ini kerana banyak buku lain yang perlu saya habiskan terlebih dahulu. Pada awal cerita, agak slow sikik kerana Laksamana Sunan masih lemah dan tak mampu untuk menentang sebarang musuh. Laksamana Sunan (LS) telah diselamatkan oleh Catalina kerana Catalina menganggap LS adalah lelaki bertanduk dua yang diilhamkan dari mimpi bertemu Maryam. Menjadikan LS sebagai hamba sahayanya, Catalina memulakan perjalanan menjejaki Maryam yang berada di Hulu Melaka. Ketika LS hampir kehilangan nyawa di tangan Pangeran Garitno dan Puteri Kober Gandring, LS telah diselamatkan oleh bangsa Polip yang akhirnya merawat kelemahan yang dialaminya. Setelah pulih, LS meneruskan perjalanan ke Hulu Melaka bersama Catalina kerana kunjungan Catalina adalah perjalanan yang menuju takwa dan iman. Pelbagai rintangan diharungi oleh mereka bertiga (termasuk penjaga Catalina bernama Renata) dan kebanyakanya adalah bersifat batil. Renata juga menjadi penghalang terakhir perjalanan mereka ke Hulu Melaka. Dalam masa yang sama, penduduk di Hulu Melaka sedang bersiap untuk berperang dengan bala tentera Portugis kerana menyangka adanya emas yang ditinggalkan oleh Aryas Do Lopo (suami Catalina). Dengan kerjasama dari bangsa Polip dan LS, Portugis telah kalah peperangan tersebut dan Catalina berjaya menemui Mariam tetapi, Mariam yang ditemuinya baru berumur 10 tahun. Akhirnya Catalina memeluk Islam dan nama Maryam menjadi pilihannya.

Disamping itu, Luna yang merupakan salah seorang bangsa Polip telah jatuh cinta kepada LS dan LS pula terpukau dengan kecantikan Catalina. Namun cinta Luna mendapat tentangan daripada pemimpin bangsa polip kerana tidak mungkin akan bangsa polip boleh berkahwin dengan manusia. Di akhir cerita RAM tidak pula menghabiskan kisah cinta segitiga ini, dan mungkin pengakhirannya dalam buku seterusnya iaitu sutera bidadari.

Bagi saya, Cinta Sufi ini tidak jauh beza daripada trilogi yang terdahulu. Sifat LS dan ketangkasan menentang kebatilan terus diterap dengan baik dan sempurna. Pembaca yang meminati sesuai yang agak fantasi akan berpuashati dengan aksi dan peperangan yang digambarkan. Saya memang tidak pernah menyesal membaca dan mengumpul buku-buku RAM. Tunggulah sinopsis Sutera Bidadari nanti...

Rating : **** (best)

Sunday, August 21, 2011

Gelora - Ma Lee Chuswan


Tajuk buku : Gelora
Penulis : Ma Lee Chuswan
Penerbit :  Kaki Novel
m/s : 338

Sinopsis Belakang Buku:
Mila menyesal. Tetapi segalanya telah terlambat. Lelaki itu sedar siapa dirinya…pastinya dia pergi membawa hatinya yang luka. Dan luka itu sudah terlalu parah, sukar disembuhkan lagi. Atau mungkin tidak akan sembuh untuk selamanya.

Kini tahulah Mila siapa sebenarnya lelaki itu. Lelaki yang dibencinya selama ini. Terlalu lama dia mendendami lelaki itu. Dan lelaki itu tidak pernah menunjukkan kebencian…itulah sat-satunya lelaki yang menyintainya di dunia ini, tetapi dia tidak pernah menghargainya. Lelaki itu telah pergi jauh…dia mahu mengejar lelaki itu tetapi nasi sudah menjadi bubur. Tak mungkin lelaki itu kembali lagi…

Ulasan:
Tulisan Ma Lee Chuswan (MLC) kali ini agak kurang menarik jika dibandingkan 2 novel terdahulu yang saya pernah baca. MLC banyak menerangkan apa yang berlaku daripada menggunakan dialog-dialog antara watak-wataknya. Tak hairanlah bukunya kali ini lebih kurang 300 mukasurat sahaja. Cerita agak simple dan tak banyak nak putar belit cuma punca utama kenapa membenci Adam yang membuatkan cerita ini agak menarik.

Mila menyangkakan selama ini Adam yang merupakan anak angkat ayahnya sendiri yang menjadi punca segala-segalanya. Sikap Adam yang tegas dan berdisplin menjadi bebas dalam hidupnya. Kerana Adam jugalah yang menyebabkan Mila dihantar belajar keluar Negara selama 5 tahun. Pulangnya Mila untuk meneraju syarikat ayahnya mendatangkan pelbagai masalah antara mereka berdua. Lebih-lebih lagi dendam yang telah lama tersimpan di hati Mila. Baginya Adam cuma menumpang kekayaan ayahnya. Perkahwinan Mila sama sekali tidak mengubah persepsi Mila terhadap Adam. Mila merasakan Adam ingin merampas segala-segala daripadanya.

Setelah mengetahui punca sebenar kebencian Mila terhadap Adam, Mila akhirnya menyesal. Segala-galanya telah dirancang oleh seseorang yang amat membenci Mila. Dan dia jugalah menjadi punca kematian mengejut Dato’ Mustaffar, ayah Mila. Namun penyesalan Mila sudah terlambat. Adam telah membawa diri dan meninggalkan Mila dalam keadaan gantung tak bertali. Namun jodoh mereka panjang…setelah rajuknya hilang, mereka kembali bersatu. Sesungguhnya kasih dan sayang Adam pada Mila membuktikan segala-galanya.

Siapa yang menjadi punca kebencian Mila? Siapa pula punca kematian ayah Mila..? Semuanya terjawab dlm buku ini….

Rating : *** (cerita simple sahaja)

Thursday, August 11, 2011

Maafkan ku...Sayang - Mimie Afinie

Tajuk Buku : Maafkan ku ... Sayang
Penulis : Mimie Afinie
Penerbit : KarnaDya
Bilangan muka surat : 496


Sinopsis Belakang Buku:
Tanjung Resang, Mersing telah menjadi tempat pilihannya untuk membawa hati yang terluka.  Dia meninggalkan pekerjaan, kemewahan dan segala-galanya.  Biarpun di bumi Mersing nan permai ini dia serba-serbi kekurangan, namun hatinya bahagia, jiwanya damai.  Bagaikan tidak mahu lagi dia berpisah dengan pantai yang indah, yang sering kali membuatkan perasaan lelakinya tercabar.

Di tempat itulah Iskandar Helmi menumpang kasih dan sayang.  Di tempat itu juga dia bertemu Sarah Nadia yang membuatkan dia terlupa pada memori semalam.  Biarlah semuanya berlalu dalam lipatan sejarah.

Namun, tidak semudah itu untuk miliki bahagia.  Terlalu banyak onak dan duri yang sentiasa sahaja menjadi penghalang.

Mungkin dalam kemelutan yang dilalui,  Jeffri lebih berhak kepada hati dan perasaan Sarah Nadia, gadis kampung yang berhati mulia, yang pernah juga suatu ketika terlalu mengharapkan cinta yang akhirnya telah membuat dirinya kecewa.  Cinta yang tidak diberi penilaian yang saksama!
“Takkan ku berhenti mencintaimu… seperti mana jarum jam ini yang tidak pernah berhenti mengejar masa…”  Kata-kata yang terngiang-ngiang di telinganya, yang terus merobekkan hati…

“Maafkan  ku sayang…”  Bisik hatinya di angin lalu.

Ulasan :
Ini merupakan buku pertama tulisan Mimie Afinie yang saya baca...ceritanya agak menarik kerana jalan cerita yang agak susah nak diramalkan.

Selepas kecewa dengan bekas isterinya, Iskandar menumpang kasih di rumah keluarga angkatnya yang juga ibu bapa kepada sahabatnya, Shariman. Hati Iskandar telah terbuka sekali lagi untuk seorang wanita kerana keperibadian yang dimiliki oleh Sarah yang juga merupakan sepupu sahabatnya. Sarah Nadia yang selalu dilanda masalah dapat menanganinya dengan sebaik mungkin dan penuh kesabaran telah menambat hati Iskandar.

Namun untuk membina kebahagiaan, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan. Dari halangan dari orang tua Sameon yang sanggup mempergunakan bapa Sarah yang merupakan seorang penagih dadah sehinggalah Jeffry yang dikenalinya ketika menghadiri temuduga di Kuala Lumpur. Jeffry pada awalnya menaruh minat kepada Sarah, rupa-rupa telah merancang sesuatu kerana dendam terhadap abang sulung Sarah iaitu Saiful.

Jeffry tanpa pengetahuan ibu bapanya telah mempercepatkan tarikh perkahwinan mereka. Tetapi dia tidak hadirkan diri semasa akad nikah kerana ingin memalukan keluarga Sarah. Keluarga Sarah telah mendapat malu kerana peristiwa itu, namun apa yang berlaku ada hikmahnya. Iskandar dan Sarah akhirnya bersatu dan Jeffry telah mengetahui cerita sebenarnya dari ibunya. Kerana dendam Jeffry sanggup mengorbankan hati dan perasaannya yang mula berputik. Kebahagiaan pula menjadi milik Iskandar dan Sarah Nadia.

Rating : **** (sangat berbaloi memiliki buku ini)

Saturday, August 6, 2011

Aura Cinta - Aina Emir

Tajuk : Aura Cinta
Penulis : Aina Emir
Penerbit : KarnaDya
M/S :568

Sinopsis belakang buku:
AURA CINTA semestinya akan membawa anda mengembara ke alam keasmaraan yang lebih mencabar, penuh misteri, ada debaran ... dari muka surat pertama, hingga ke penghabisan!

AURA CINTA menemukan anda kepada Azraai, lelaki melayu yang bertubuh tegap lagi tinggi orangnya. Perjalanan hidupnya mula goyah bila pertama kali bersua dengan sesuatu yang dianggap aneh lagi pelik. Mengapa tiba-tiba saja dirinya teruja?

Aisya Hanan dan Cikgu Sally...mencabar jiwanya yang selama ini dirasakan aman dan tenteram. Dalam kekeliruan, Azraai tidak mampu untuk menepis kasih sayang Nurbaiti, gadis cantik lagi bijak, yang bukan hanya merupakan pilihan ibu tapi gadis itu juga sudah lama taat menantinya. Di manakah letaknya nilai kasih seorang gadis matang, berjiwa murni, sopan santun dan berakhlak tinggi?? Bukankah dia mempunyai pakej lengkap sebagai calon isteri??

Siapa pula Khairul, Anjang Sadang, Serhan Aydin dan Irfan???

Bukan mudah untuk memilih. Tidak juga mudah untuk mengembara ke alam realiti yang penuh fantasi dan ilusi. Anda akan dibawa ke kawasan perkampungan Orang Asli, di daerah Kuala Lipis, Pahang, satu kawasan hutan tropika yang meninggalkan banyak teka-teki untuk Azraai. Panoramanya cukup indah, namun tetap berbeda dari yang biasa. Anda juga akan ke Lembah Kelang dan negara Belgium dalam novel ini. Sama-samalah bertemu dengan karakter-karakter yang semestinya akan membuat anda berkhayal, sambil menimba ilmu yang padat dibekalkan penulis.

Ulasan:
Saya memang agak meminati karya-karya Aina Emir kerana beliau tidak pernah mengecewakan saya dengan gaya bahasa dan perjalanan cerita yang ringkas tepat dan mengasyikkan. Kali ini juga beliau tidak menghampkan saya dengan cerita yang agak penuh dengan rahsia dan tanda tanya.

Azraai mengenali Cikgu Sally dan Aisya Hanan ketika kunjungan ke kampung orang asli untuk kajian dokumentari syarikatnya yang dikongsi dengan adik iparnya sendiri iaitu Khairul. Hati Azraai mula tergugat dengan keletah Aisya Hanan yang agak pelik dan menyendiri. Dengan niat pada mula-mulanya ingin dijadikan Aisya Hanan sebagai 'suka-suka' akhirnya Azraai sedar dia tidak boleh hidup tanpa wanita kenit ini. Nurbaiti yang setia menunggunya tidak pernah membuatkan Azraai berperasaan Aisya Hanan. Hubungannya bersama Nurbaiti yang mempunyai pakej lengkap sebagai seorang isteri tidak mampu menolak cintanya dengan Aisya Hanan.

Namun rahsia Cikgu Sally dan Aisya Hanan banyak menjadi penghalang hubungan mereka. Aisya Hanan yang pernah kecewa dengan seorang lelaki yang 'free-thinker' mendapat tentangan hebat dari ibunya Cikgu Sally. Namun kehadiran Azraai telah mengembalikan keceriaan dalam hidup Aisya Hanan.

Cikgu Sally selama ini pula sebenarnya hidup dalam pelarian kerana dianggap telah melarikan sesuatu milik bapa Khairul. Bapa Khairul telah lama mencari isteri keduanya yang menghilangkan diri semasa Aisya Hanan masih dalam kandungan. Mereka diugut dan diminta memulangkan semula sesuatu milik ibu Khairul. Dalam kekalutan ini, Azraai pula ditinggalkan Aisya Hanan selepas mengetahui statusnya dengan Nurbaiti. Ini telah membawa Aisya Hanan ke Belgium disamping mengikuti pameran lukisannya di sana. Disanalah hati Aisya Hanan ditawan oleh pelukis berketurunan Turki yang sedia menjadikannya suri hidupnya namun hati Aisya Hanan susah untuk memberi ruang kepada lelaki lain walaupun dia menafikannya.

Cikgu Sally sekali lagi menjadi pelarian apabila orang yang selama ini mencarinya telah menjumpainya dengan bantuan Azraai. Azraai pula terdesak antara persahabatan dan cinta. Akhirnya rahsia Cikgu Sally dan Aisya Hanan terbongkar juga.

Apakah dan siapakah yang mengejar Cikgu Sally dan kenapa mereka dikatakan memiliki sesuatu bukan miliknya. Siapakah yang menjadi pilihan Aisya Hanan akhirnya dan siapakah yang merupakan punca segala apa yang berlaku...anda mungkin tertanya-tanya kerana Aina Emir hanya membongkarkan rahsia 23 tahun lepas pada pengakhiran ceritanya. So, dapatkan segera buku ini. Menarik dan mengasyikkan. Dari awal cerita tidak ada yang membosankan.

Rating :*****(berbaloi dijadikan koleksi)

Monday, August 1, 2011

Tasawuf Cinta - M. Hilmi As'ad

Tajuk : Tasawuf Cinta
Penulis : M. Hilmi As'ad
Penerbit :  PTS Litera Utama
Muka Surat : 307
Harga : RM17.00

Sinopsis Belakang Buku :
Janganlah seorang laki-laki berdua-duaan dengan seorang perempuan (bukan muhrim), kerana pihak ketiga adalah syaitan," bisik hati Marham mengingat hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Daud sambil menundukkan kepala di hadapan Rona.

Hati kecil Rona tidak dapat menafikan Marhan, seorang takmir masjid dan pintar dalam bidang tasawuf itu berjaya mencuri hatinya. Marham pun sesungguhnya mencintai Rona, namun baginya cinta suci tidak boleh dicemari, apalagi dinodai beragam bentuk sentuhan fizikal dengan alasan apapun.

Benar sahaja, sudah ramai yang menulis tentang cinta seharusnya suci. Namun pada saat cinta itu mendatangi hati, dosa mampu sahaja tercipta tidak disedari. Inilah permulaan kisah ini, Rona seorang gadis yang mencintai Marham, seorang takmir masjid. Tidak ada dugaan untuk cinta Rona kerana Tuhan memberikan Marham hati yang juga menyimpan cinta.

Pada saat yang indah itu, dugaan cinta suci juga bermula. Cinta suci yang tidak seharusnya wujud sekali dengan dosa., dan kuatkah mereka mencipta diri mereka menjadi tasawuf cinta.

Ulasan:
Ini merupakan buku pertama tulisan M. Hilmi yang saya baca. Jalan ceritanya agak bersahaja dan tak berliku-liku. Gaya bahasanya pula seperti menonton cerita Indonesia di TV. Penulis menggunakan bahasa Ibundanya untuk menulis buku ini. Ini agak menyulitkan saya kerana saya tidak pernah membaca buku dalam bahasa Indonesia.

Bermula dengan pertemuan Marham dan Rona yang membuatkan Marham terpikat oleh kecantikan Rona yang sememangnya telah dimiliki oleh lelaki lain yang hanya bergelar 'teman lelaki' bernama Aryo. Rona memang dilimpahi dengan kekayaan milik Aryo yang tidak lokek membeli apa sahaja untuk Rona. Namun Aryo selalu menyakitkan hati Rona dengan mengungkit pemberiannya. Rona masih bertahan dengan sikap Aryo sehinggalah Marham hadir dalam hidupnya. Marham pula mudah terpikat dengan Rona kerana Rona mirip teman wanitanya yang telah meninggalkannya kerana sahabatnya sendiri.

Akhirnya Rona membuatkan keputusan meninggalkan Aryo namun Marham tidak ketahuinya. Aryo menggunakan khidmat bomoh untuk memiliki Rona semula kerana baginya hanya Rona yang layak menjadi isterinya. Namun kekuatan iman dan ayat-ayat suci Al-Quran telah melindungi Rona daripada hasutan syaitan. Setelah Marham mengetahui kedudukan Rona, dia telah meluahkan rasa hatinya dan mengharapkan cintanya kali ini tidak dicurangi lagi...insyaallah....

Rating : ** (bacaan santai...agak simple)

Sunday, July 17, 2011

Igauan Semalam - Hani El Zahra

Tajuk Buku : Igauan Semalam
Penulis : Hani El Zahra
Penerbit : KarDya
M/s : 326


Sinopsis belakang buku:
“Kau yang bunuh aku! Maknanya aku dah mati!”
“Janganlah main-main!”
“Aku tak main-main!”
“Kalau kau dah mati. dengan siapa pula aku sedang bercakap ni? Hantu?”
Wajah pucat lesi yang seolah-olah tidak pernah dialiri darah itu tersengih. “Selepas ni, giliran kau pula.”
“Kalau kau nak bunuh aku sangat, bunuhlah sekarang! Kenapa harus tunggu lagi?!”
“Oh, tak sabar rupanya!” Dia senyum sinis. “Kau pernah dengar ayat ni; bukankah penantian itu satu seksaan?
*****Tika sunyi datang menyapa, hadirnya pengutus rasa bahagia.
Pabila nafsu menguasai minda, dia hilang kompas kewarasannya.
Demi sebuah rahsia keluarga, si ibu sanggup bertongkat derita.
Kerana kasihkan seorang anak, si ayah rela perjudikan nyawa.
Dek cinta terhadap arjuna, mahkota si gadis tergadai sia-sia.
Benar, dunia ini umpama sebuah pentas yang penuh dengan aktor dan aktresnya.
Setiap satu memegang watak berbeza mengikut papan cerita.
Tetapi, bagaimana jika si pelakon terlalu khayal sehingga akal hilang upaya?
Bukan itu yang dipinta, namun ketentuan itu yang harus diterima!

Ulasan :
Ini kali pertama saya membaca buku tulisan Hani El Zahra. Agak berlainan sedikit tanggapan saya terhadap buku ini pada awalnya. Saya ingatkan kisah cinta zaman remaja, rupa-rupanya Thriller.

Awal cerita memang penulis banyak menyembunyikan masalah yang berlaku kepada Dania yang mengidap skizofrenia dan kerana saya menganggap cerita ini adalah kisah remaja, jadi saya tak sangka pula ada cerita tersirat disebalik cerita ini. Dania telah dilahirkan diluar negara dan setelah kematian ayahnya, beliau pulang ke Malaysia bersama Marina (ibunya) untuk tinggal bersama neneknya di kawasan perkampungan. Dengan wajahnya yang cantik dia memang menjadi kegilaan pelajar lelaki di sekolahnya terutama ketua pengawas bernama Fahri yang sememangnya telah memiliki teman wanita yang lebih tua daripadanya. Dania selalu hidup dalam dunia khayalan yang disangkanya nyata dimana dia ditemani oleh Mulan. Pelajar lain selalu melihatnya bercakap  berseorangan dan ini menimbulkan syak wasangka dan juga perasaan dengki di kalangan pelajar wanita kerana kecantikannya.

Dari hari itu, Dania selalu dilanda masalah. Sesiapa yang tidak disukainya dan menghalang urusannya akan di 'selesaikan' oleh sahabat halusinasinya sendiri. Namun semua itu tidak disedari oleh Dania kerana baginya semua itu hanyalah kebetulan kerana insan yang rapat dengannya juga menjadi mangsa. Sehinggalah berlakunya pembunuhan ke atas saudara tirinya sendiri, barulah segalanya terbongkar. Akhirnya Marina menceritakan segalanya kepada suami barunya yang merupakan bekas tunangnya 20 tahun dahulu apa yang dihadapi oleh anaknya. Semuanya disimpan kemas oleh Marina kerana ingin melindungi Dania. Apa yang telah berlaku kepada ayahnya juga berkaitan dengan Dania puteri kesayangan mereka.

Akhir sekali Marina memasukkan Dania ke pusat rawatan psikiarik agar penyakitnya dapat dipulihkan. Punca penyakitnya juga dikenalpasti oleh doktor yang merawat walaupun Marina tidak mengakuinya. Fahri pula dimasukkan ke pusat akhlak kerana melakukan keganasan ke atas teman wanitanya sendiri dan ini juga berlaku kerana dalam diam-diam dia juga meminati Dania.

Secara keseluruhannya saya boleh mengagak punca kepada berlaku semua kematian di pertengahan cerita cuma kesahihan dan kebenaran semuanya terbongkar di akhir cerita.

Rating : *** (bolehlah kalau nak buat koleksi)

Thursday, July 14, 2011

Matahariku-Aina Emir

Tajuk Buku :  Matahariku
Penulis : Aina Emir
Penerbit : KarnaDya
M/S : 537


Sinopsis belakang buku:
Syakirah, gadis biasa-biasa yang bertahi lalat di bawah bibirnya, sekalipun tidak sehebat seorang ratu, tetap istimewa. Keresahan jiwa telah menjadikan dia gadis ‘nakal’ yang menghabiskan masa di dunia fantasi ‘anime’. Dia juga menjadi ‘pakar mengurat’ di alam maya. Sekalipun umurnya sudah mencecah kedewasaan, namun cinta dan kasih sayang seorang lelaki tidak pernah berbunga dalam hidupnya.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang menggerunkan, kerana nun jauh di lubuk hati, dia bimbang menjejaki ibunya dan tidak mahu dilabelkan sebagai gadis ‘materialistik’. Pun begitu, kehadiran Khair atau ‘Kai’ sejak remaja lagi, kini mula mengubahkan perasaannya. Kalau dulu dia tidak merasakan Kai itu menarik, kini dia tahu lelaki itu mampu menyinarkan hidupnya. Bukankah mereka serupa sahaja? Malangnya, tiba-tiba sahaja ombak deras datang memukul, lalu mengucar-ngacirkan hidupnya. Syakirah terkapai-kapai dan tidak tahu hendak ke mana. Tahu-tahu dia sudah terperangkap dalam sesuatu yang hampir dekat dengan igauannya!

Kehadiran lelaki yang berketurunan campur itu meresahkan lagi hidupnya. Mengapa dia harus hadir dan mengelirukan keadaan? Apakah kuasa yang dia ada untuk melemahkan semangat dan mengecutkan perut gadis yang kaya dengan keayuan asli itu?

“It’s all about going crazy… and doing crazy thing.” katanya lagi, “kerana kehadiranmu sinonim dengan cahaya matahari…” 
Ulasan:
Cerita Aina Emir (AE) kali agak biasa kerana kebanyakan buku tulisannya agak berlandaskan dunia percintaan. Namun gaya penulisannya kali ini agak sempoi jika dibandingkan buku2nya yang sapa pernah baca. 

Watak Syakirah kurang jelas dalam cerita ini..mungkin kerana ciri-ciri sebegini selalunya berlaku kepada remaja tetapi AE meletakkan ciri ini kepada watak yang agak dewasa...namun saya masih boleh bayangkan bagaikan situasi dan perangai yang ingin disampaikan oleh AE.


Keretakan keluarganya membawa Syakirah menumpang di rumah insan yang dikenali hanya sebagai kawan biasa. Dalam masa yang sama, Syakirah mula menerima Khair dalam hidupnya. Rupa-rupanya segalanya telah dirancang dari awal lagi oleh Eyyad yang sangat kaya. Simpati yang dihulur rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Syakirah terpaksa melupakan Khair kerana ingin menjaga maruah keluarganya. Dia bergelar isteri kedua dalam usia yang agak muda. Namun kasih sayang yang diterima mendewasakan Syakirah. 

Akhirnya Syakirah mampu menerima suaminya setelah pelbagai halangan dari pihak ketiga dan ibu dan kakaknya sendiri yang ingin mengambil kesempatan atas kekayaan orang lain. Eyyad yang sememangnya merancang segalanya akhirnya menjadi miliknya yang sejati. Tiada halangan dan kasih sayang sebenarnya penentu segalanya. Harta, nama dan kekayaan cumalah sementara.


Rating : *** (bolehlah kalau dijadikan koleksi)

Sunday, April 10, 2011

Selagi Ada Dia - Aisya Sofea

Tajuk buku : Selagi Ada Dia
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf21
Tamat Baca : 8 April 2011
503 m/s


Sinopsis Belakang Buku:
PERTEMUAN tanpa dirancang telah membuka pintu hati Arianni untuk mengenal erti cinta. Apatah lagi, lelaki itu berjanji menjadikan dia sebahagian hidupnya, berjanji bahawa segalanya mampu ditangani dan berjanji akan mempertahankan cinta mereka.

Namun, kasih yang disulam, janji yang dimaterai terlerai akhirnya bila terbongkar satu rahsia yang tidak terduga. Sebagai wanita bermaruah, Arianni nekad menoktahkan segala impian. Cinta pertamanya harus dibuang jauh daripada kotak ingatan. Lelaki itu bukan untuknya.

Tahun berlalu... hadirlah lelaki baru dalam hidupnya. Sayangnya, pintu hati dia masih tertutup rapat. Rasa terluka itu masih ada. Baginya, cinta kedua tidak membawa sebarang makna; tiada keikhlasan, tiada kejujuran. Lalu bagaimana? Selama manakah lagi harus dia tunggu untuk mengecap nikmat kebahagiaan? Terlalu memilihkah dia?


Ulasan:
Selepas dikecewakan oleh lelaki yang tiada pendirian dan dituduh menjadi perampas kekasih kakaknya sendiri, Arianni membawa diri ke luar negara. Lebih-lebih lagi kerana melanjutkan pelajarannya keperingkat yang lebih tinggi. Setelah 3 tahun diperantauan, Arianni pulang semula ke Malaysia kerana ingin menjaga kedua ibu bapanya. Perjalanan pulang menitipkan perkenalan baru dengan seorang duda yang telah kematian isteri dan umurnya agak jauh lebih tua daripada Arianni. 


Kepulangan Arianni ke Malaysia memberi tamparan hebat kepadanya kerana kekasih yang ditinggalkan dulu kembali merayu kepadanya. Hubungan Arianni dengan kakaknya semakin 'parah' sehingga kakaknya sanggup melakukan apa saja untuk memenangi kekasihnya semula walaupun dia sendiri pernah membatalkan pertunangan. Namun Arianni sayang dan kasih Arianni kepadanya telah pudar dengan kehadiran Idris yang dikenalinya selama beberapa jam sahaja. Idrislah yang menjadi pendengar setia masalah-masalah yang dihadapinya. Namun permintaan mak tidak dapat ditolak. Arianni 'terpaksa rela' berkahwin dengan pilihan maknya sendiri. Arianni pasrah kerana baginya tidak ada yang lebih membahagiakan seorang anak selain daripada membuat Ibu Bapa gembira. Tetapi, takdir telah ditentukan dan Arianni bahagia disamping suami yang tercinta walaupun banyak dugaan yang telah menimpa.


Cerita Aisya Sofea kali ini agak santai dan bersahaja. Saya boleh agak apa yang ingin diceritakan dan siapakah pilihan Arianni akhirnya. Namun buku ini agak kurang penghayatan dibandingkan dengan buku-bukunya yang terdahulu. Tetapi gaya bahasa yang digunakan dan kejutan-kejutan mampu membuatkan pembaca (saya sendiri) ingin terus menghabiskan buku ini.


Rating : *** (bacaian santai sahaja)

Tuesday, April 5, 2011

Pei Pan (RAM)

Tajuk buku : Pei Pan
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
443 m/s
Tamat baca : 04/04/2011
Pemenang Hadiah Sako

Sinopsis Belakang Buku :
KHIANAT. Bukan kerja orang jauh. Bukan niat busuk orang asing. Jauh sekali aniaya musuh. Kerja jiwa yang ditunggang nafsu, dipacu iri berasa dikalahi. Melalui perjalanan masa yang panjan, tenang, terselindung baik, tanpa kocak dan prasangka, baru khianat menampakkan wajah yang sebenar.
Pei Pan cerita tentang kepercayaan, perjuangan, persaingan.
Pei Pan cerita tentang perselingkuhan, pembunuhan, perkomplotan
Pei Pan kisah dunia korporat, penuh warna kehidupan sebu oleh debar meruntun.

Ulasan:
Setelah menukarkan pengakuan dimahkamah, Dato' Karim telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun atas tuduhan membunuh Isteri keduanya. Hubungan Dato' Karim dengan dunia luar hanya dihubungkan dengan peguam yang juga kawan rapatnya dari kecil lagi. Pelbagai berita yang diterima termasuklah kejatuhan syarikatnya dan pekerja yang dipercayainya telah melesapkan sebahagian daripada wang syarikat  telah membuatkan Dato' Karim ingin membunuh diri namun nyawanya masih panjang. Kehadiran Hasan yang membawa Karim ke jalan yang lurus telah mengubah keseluruhan perwatakan dan sifat Karim.


Selepas kerana 10 tahun Karim dibebaskan lebih awal kerana kelakuannya selama berada di dalam penjara. Kepulangannya ke rumah mak mertuanya disambut dingin oleh anak sulungnya yang selalu dicemuh dimata kawan-kawan kerana status anak banduannya. Namun setelah disedarkan oleh Neneknya, Mustafa akhirnya memohon maaf atas kesalahannya. Karim akhirnya bertekad ingin membina semula KM Holding Berhad dengan bantuan Mustafa dan 2 anak perempuannya. Berbekalkan tanah kelapa sawit yang masih menjadi miliknya dan duit 20 juta yang diselamatkan oleh pembantunya. Karim berjaya membina kilang pemprosesan minyak kelapa sawit dengan nama yang berlainan. 


Rahsia 10 tahun dahulu juga telah terungkai dengan penemuan sebuah video tape yang selama ini disimpan di dalam peti simpanan disalah sebuah bank. Identiti sebenar Abang Besar yang merupakan dalang atau mastermind sehingga Karim dituduh membunuh juga terbongkar namun Karim tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana Abang Besar juga telah banyak berjasa kepadanya. Namun selepas kematian Mustafa yang hampir berkahwin dengan Mira anak Pak Karim pembantu rumahnya telah membawa kepada penangkapan Abang Besar. 


Siapakah Abang Besar? Dari awal cerita saya dah boleh agak siapa sebenarnya Mastermind dalam cerita ini. Mungkin pembaca lainpun boleh agak siapakah orangnya. Buku ini banyak menunjukkan betapa manusia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerana harta dan kedudukan. Pembunuhan seperti satu permainan dalam mencapai apa yang kehendaki. Namun ada juga insan yang jujur dan amanah yang mampu mematahkan setiap kejahatan walaupun mengambil masa yang lama. Walaupun kejahatan tidak dibalas dengan kejahatan namun ada Pencipta yang akan membalasnya kelak. Tiada siapa dapat lari dari balasanNya. Jika tidak didunia, diakhirat nanti.

Rating : ***** (berbaloi dijadikan koleksi)

Thursday, March 31, 2011

Cinta Pertama : Norhayati Berahim

Tajuk : Cinta Pertama
Penulis : Norhayati Berahim
Penerbit : Alaf21
505m/s
Tarikh tamat baca : 30/3/2011

Sinopsis belakang buku :
Dia lelaki tampan yang mempunyai segala-galanya. Namun dia juga insan biasa yang punya kekurangan. Dia tidak sesekali percaya pada cinta. Bagi dia cinta suci hanya sekadar omongan yang tidak pernah menjadi kenyataan. Baginya, mana ada perempuan yang setia, mana ada perempuan yang suci cintanya. Selagi kesan luka masih terasa, masih kukuh menampar ingatan, dia lebih senang sendirian. Tidak disakiti dan menyakiti.

Secantik mana gadis yang hadir, rasa cinta tetap asing dalam hatinya. Tapi sampai bila dia mampu mengasingkan cinta dengan dirinya. Lantas, ketika hadir seorang gadis yang penuh pengertian dan kejujuran, tercuit jua tangkai hati dan perasaan. Apakah akan dibiarkan igauan lampau menguasai diri hingga rasa cinta yang mula bertunas tidak sempat dinikmati... atau memberi ruang pada cinta yang pertama kali mengetuk hati?

Dia keliru, adakah ini yang dinamakan cinta pertama... terseksa dalam keindahan?

Ulasan : 
Seperti buku  Norhayati Berahim (NB) jugak yang bertemakan kisah cinta. Buku ini ingin membawa pembaca kepada apa erti sebenar sebuah cinta. Bagaimana rasanya Cinta Pertama dalam hidup seseorang. Cinta yang penuh dengan dugaan dan pengorbanan. Cinta sebenar adalah cinta yang dimiliki, dirasai, dinikmati dan dihargai.


Pertemuan pertama Carl Zafran dan Nurul Iman membawa kepada bibit2 cinta antara mereka berdua setelah Iman diterima bekerja di bawah syarikat yang sama dan seterusnya bekerja dibawah Carl sendiri. Carl yang dibayangi peristiwa lama tidak dapat menerima perempuan dalam hidupnya. Namun kehadiran dan ketenangan Iman mengubah persepsinya terhadap kaum wanita. Begitu juga dengan Iman yang menganggap bahawa kaum lelaki tak setia namun bila bersama Carl, itulah saat bahagia yang dapat dirasai. Perasaan cinta antara mereka berdua hadir tanpa disedari. 


Apabila Iman ditunangkan dengan pilihan emaknya, Carl membawa diri yang terluka ke Zurich. Mereka berdua cuba melawan perasaan cinta masing namun makin cuba dilupakan makin hatinya menjadi tak menentu. 

Namun nasib menyebelahi mereka apabila Miza ditangkap berdua-duaan dengan bakal abang iparnya sendiri dan dalam masa yang sama juga Iman mengetahui siapakah diri dia yang sebenarnya. Iman membawa diri ke rumah Pak Tabib yang dianggap seperti ayahnya sendiri. Pak Tabib meminta bantuan Carl dan akhirnya terungkailah segala-galanya. Carl terus meminang Iman dan mereka bersatu.


Siapakah sebenarnya Iman dan apakah hubungan Pak Tabib dengan Iman. Peristiwa 25 tahun dahulu dibangkitkan semula. Dari awal cerita saya dah boleh agak kesudahan cerita ini cuma jalan cerita yang saya nak tahu...so bolehlah baca buku nih kalau nak tahu apa sebenarnya yang berlaku 25 tahun dahulu..namun kesudahannya mereka hidup dalam keluarga yang besar dan bahagia...

Rating : *** (biasa je)

Tuesday, March 29, 2011

Hatiku di Harajuku (RAM)

Tajuk Buku : Hatiku di Harajuku
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21
582 m/s
Tarikh tamat baca : 27/3/2011
Harga : RM19.90


Sinopsis di belakang buku :
Ryu-Watanabe berasa tidak dirahmati; dilahirkan di penjara dan membesar di rumah kebajikan. Sepanjang hidupnya tidak pernah tenteram lalu membawa diri ke Jepun. Dia menyertai satu kumpulan yakuza dan menjadi samurai yang mahir bermain pedang. Jenaya adalah gelanggang permainannya dan penamat permainan itu adalah maut.

Dalam kumpulan itu, dia jatuh cinta dengan Noriko. Kisah mereka dan kumpulan yakuza menjadi tarikan kepada Sabrina untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Dia bersama Murni melancong ke Tokyo untuk mencari Ryu-Watanabe.

Adakah mereka dapat menemui Ryu-Watanabe? Siapa sebenarnya Ryu-Watanabe itu? Adakah dia menyesal menganggotai kumpulan yakuza dan menjadi samurai?

Ulasan:
RAM memang tidak pernah mengecewakan pembacanya. Kesemua buku beliau tidak pernah sama atau seakan-akan ceritanya. Cerita dan jalan cerita memang berlainan antara buku-bukunya. Kali ini beliau menjadikan negara Jepun sebagai lokasi utama cerita.

Ryu-Watanabe pulang semula ke Jepun kerana pembunuhan yang berlaku di sana. Beliau ingin menyiasat kerana dia percaya Noriko masih hidup berdasarkan pembunuhan dan tanda-tanda yang ditinggalkan. Tetapi beliau tidak mengetahui bahawa kumpulan Yakuza Jiro mengesyaki Ryu-Watanabe yang melakukan semua pembunuhan itu. Namun perginya bukan seorang kerana Sabrina yang berminat terhadap mitos Ryu-Watanabe dan Noriko membuatkan beliau mengambil keputusan ke Jepun bersama Murni sepupunya. Lebih-lebih lagi Sabrina juga ingin memastikan bahawa adakah pekerjanya Risham adalah Ryu-Watanabe sebenarnya kerana Risham yang pernah menyelamatkannya dari malapetaka.


Ryu-Watanabe menjadi sasaran Yakuza Jiro dan Sabrina dijadikan umpan untuk sampai kepada  Ryu-Watanabe. Namun kerana cemburu Noriko, Sabrina hampir kehilangan nyawa dihujung pedang Tou Aii milik Noriko. Noriko akhirnya mengalah dan ingin meneruskan niatnya untuk menghancurkan keseluruhan Yakuza Jiro. Selepas cuba membunuh ketua Yakuza Jiro, Saito Noriko telah membunuh diri kampungnya. Ryu-Watanabe tidak sempat menyekat niat Noriko daripada terus membunuh seterusnya membunuh dirinya sendiri selepas hajatnya tercapai.


Akhirnya Ryu-Watanabe pulang semula ke Malaysia berbekalkan wang yang dikumpulkan hasil dari bekerja di kilang pemprosesan ikan. Kepulangannya telah merungkaikan siapa ayahnya yang sebenarnya dan juga mempunyai adik beradik sebapa. Namun berlaku pelbagai siri pembunuh sehingga Ryu-Watanabe percaya mungkin dia sendiri yang melakukan pembunuhan itu tanpa disedari sehinggakan Sabrina hilang kepercayaan terhadap Ryu-Watanabe. Tetapi rupa-rupanya ada insan lain yang merancang segala-galanya. Namun akhirnya tumpas di tangan Ryu-Watanabe. Selepas itu Ryu-Watanabe terus menghilang dan hidup bahagia di 'Strawberry Harajuku'. 


Siapakah yang merancang semua pembunuhan di Malaysia dan siapakah yang hidup bahagia bersama Ryu-Watanabe? Dapatkan buku ini untuk mengetahui endingnya. Bagi saya 'Ending'nya agak mengejutkan  tetapi saya amat berpuashati. RAM selalu memberikan ending yang menarik tetapi simple...

Rating : ***** (berbaloi dijadikan koleksi)
Related Posts with Thumbnails