Tajuk Buku : Maafkan ku ... Sayang
Penulis : Mimie Afinie
Penerbit : KarnaDya
Bilangan muka surat : 496
Sinopsis Belakang Buku:
Tanjung Resang, Mersing telah menjadi tempat pilihannya untuk membawa hati yang terluka. Dia meninggalkan pekerjaan, kemewahan dan segala-galanya. Biarpun di bumi Mersing nan permai ini dia serba-serbi kekurangan, namun hatinya bahagia, jiwanya damai. Bagaikan tidak mahu lagi dia berpisah dengan pantai yang indah, yang sering kali membuatkan perasaan lelakinya tercabar.
Di tempat itulah Iskandar Helmi menumpang kasih dan sayang. Di tempat itu juga dia bertemu Sarah Nadia yang membuatkan dia terlupa pada memori semalam. Biarlah semuanya berlalu dalam lipatan sejarah.
Namun, tidak semudah itu untuk miliki bahagia. Terlalu banyak onak dan duri yang sentiasa sahaja menjadi penghalang.
Mungkin dalam kemelutan yang dilalui, Jeffri lebih berhak kepada hati dan perasaan Sarah Nadia, gadis kampung yang berhati mulia, yang pernah juga suatu ketika terlalu mengharapkan cinta yang akhirnya telah membuat dirinya kecewa. Cinta yang tidak diberi penilaian yang saksama!
“Takkan ku berhenti mencintaimu… seperti mana jarum jam ini yang tidak pernah berhenti mengejar masa…” Kata-kata yang terngiang-ngiang di telinganya, yang terus merobekkan hati…
“Maafkan ku sayang…” Bisik hatinya di angin lalu.
Ulasan :
Ini merupakan buku pertama tulisan Mimie Afinie yang saya baca...ceritanya agak menarik kerana jalan cerita yang agak susah nak diramalkan.
Selepas kecewa dengan bekas isterinya, Iskandar menumpang kasih di rumah keluarga angkatnya yang juga ibu bapa kepada sahabatnya, Shariman. Hati Iskandar telah terbuka sekali lagi untuk seorang wanita kerana keperibadian yang dimiliki oleh Sarah yang juga merupakan sepupu sahabatnya. Sarah Nadia yang selalu dilanda masalah dapat menanganinya dengan sebaik mungkin dan penuh kesabaran telah menambat hati Iskandar.
Namun untuk membina kebahagiaan, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan. Dari halangan dari orang tua Sameon yang sanggup mempergunakan bapa Sarah yang merupakan seorang penagih dadah sehinggalah Jeffry yang dikenalinya ketika menghadiri temuduga di Kuala Lumpur. Jeffry pada awalnya menaruh minat kepada Sarah, rupa-rupa telah merancang sesuatu kerana dendam terhadap abang sulung Sarah iaitu Saiful.
Jeffry tanpa pengetahuan ibu bapanya telah mempercepatkan tarikh perkahwinan mereka. Tetapi dia tidak hadirkan diri semasa akad nikah kerana ingin memalukan keluarga Sarah. Keluarga Sarah telah mendapat malu kerana peristiwa itu, namun apa yang berlaku ada hikmahnya. Iskandar dan Sarah akhirnya bersatu dan Jeffry telah mengetahui cerita sebenarnya dari ibunya. Kerana dendam Jeffry sanggup mengorbankan hati dan perasaannya yang mula berputik. Kebahagiaan pula menjadi milik Iskandar dan Sarah Nadia.
Rating : **** (sangat berbaloi memiliki buku ini)
No comments:
Post a Comment