Tuesday, March 30, 2010

Atas Nama Kasih (SALINA IBRAHIM)

Tajuk : Atas Nama Kasih
Penulis : Salina Ibrahim
Penerbit : Creative Enterprise


Sinopsis Belakang Buku:
Nur Kasih, ini adalah buah hatiku. Yang selama ini memberiku kekuatan untuk menghadapi hari-hari depan yang lebih gemilang. Memberikanky nyawa - tragedi hitam sering-seringnya bertebaran dan bersipongan di setiap penjuru kenangan. Melumpuhkan impian dan cita-cita. Bersama duka dan air mata. Nur Kasih ini adalah waris tunggal yang perlu dipertahankan. Dan si kecil itu, Suria melampias resah yang meruntun segenap keinginan yang telah sekian lama Suria lupakan.

Nur Kasih idamkan kehadiran seorang lelaki bergelar bapa. Lalu diceruk mana Suria harus mencari lelaki impian Nur Kasih itu? Lelaki mana yang sudi beristerikan gadis beranak satu sepertinya? Berkecil hati Nur Kasih, kecil lagi hati seorang Suria bila mana lelaki impian bakal tunangan orang. Lalu Suria membiarkan jodohnya ditentukan Nur Kasih. Kerana Suria percaya ... seorang bapa yang baik, adalah suami yang terbaik untuk dirinya...

MAIZURA MOHD. EDERIS

Sinopsis : Kurindu Kau Yang Hilang

Perlukah dia kembali... Untuk siapa? Setelah harga diri hancur musnah kerana lelaki. Dia tidak ingin dikenali lagi, dia ingin lenyap bersama lenyapnya cerita-cerita semalam. Tetapi mampukah dia? Sedang langkah kakinya kini mula dijejaki...

Selamat Tinggal Sayang - Ma Lee Chuswan

Sinopsis Belakang Buku: Selamat Tinggal Sayang
Aku ingin menjadi 'Puteri' ... kalau tidak puteri kayangan pun... cukuplah sekadar Puteri Nur Deana yang mampu membarisi sekalian puteri-puteri yang ada. Namun itu semua hanyalah impian dongeng zaman kanak-kanak yang entah bila mampu Puteri kecapi. Lalu kerana 'Puteri', dia senang menjadi Dee, bebas daripada sebarang kekeliruan dan sangkaan. Namun 'Dee' tidak bebas tatkala terlanjur, terperangkap oleh masa dan akad. Perkahwinan ini satu tanggungjawab yang tidak terjawab. Bertahun Dee menjadi pelarian, siapa sangka bertemu suami dalam periuk rezeki. Namun mampukah Dee terus bersembunyi ... dan sampai bila Puteri harus digantung tidak bertali...

Tuesday, March 16, 2010

Sharifah Abu Salem

Sinopsis : BIAR RINDU BERLALU

Tema kekeluargaan ini pasti menyentuh perasaan anda apabila janda dan duda menagih kasih sedangkan anak-anak tidak bersetuju jika mereka berkahwin. Janji Khalil dengan Samirah untuk membina istana bahagia, bagaikan sirna kerana permusuhan anak-anak. Fatiha tidak mahu kasih ibu diganti dengan kasih wanita lain kerana merasakan cinta wanita itu tidak seagung cinta ibunya. Nasrul juga tidak sanggup orang asing muncul dalam hidup ibunya.

Masing-masing menafikan hak bahagia kedua-dua orang tua itu. Sengketa mereka berpanjangan, saling membenci dan melukakan.


Sinopsis : PESONA RINDU

RINDU bertandang ketika masing-masing didakap kesepian. Fazlan ditinggalkan Darina, isteri yang obsesi terhadap cinta, cita dan impian. Najmah pula memutuskan pertunangannya kerana tidak menyintai jejaka pilihan keluarga. Keputusan Najmah mengundang sengketa. Dia terpinggir dan kepulangannya tidak diharapkan.

Fazlan hadir memberi kedamaian. Persahabatan bertukar menjadi kekasih. Najmah menyangka yang dia hanya menghormati Fazlan sebagai majikan. Namun cinta di hatinya kian berputik biarpun dia tahu Fazlan adalah suami sahabat baiknya sendiri.

Selepas lima tahun di luar negara, Darina kembali semula. Ternyata cintanya terhadap Fazlan masih ada. Bagaimana harus Fazlan menerima Darina semula? Sedangkan dalam masa yang sama cintanya terbahagi dua untuk Najmah juga. Lalu Fazlan merahsiakan perkahwinan itu.

Najmah diburu rasa bersalah. Dia telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Darina untuk menjaga Fazlan. Bagi Najmah, cintanya hadir hanya sementara. Tidak lebih dari sebuah pesona.

Fazlan dalam dilema, siapakah yang lebih dicintainya? Najmah ataupun Darina? Namun bagi Fazlan, dia tidak rela kehilangan kedua-duanya sekali.


Sinopsis : Gerimis di Hati

Gerimis di hati bermula apabila Emily datang ke Malaysia untuk menemui ayahnya, Syed Mukri yang sedang nazak. Kedatangan Emily telah menimbulkan kekecohan kerana selama ini Tengku Habibah, isteri pertama ayahnya tidak mengetahui bahawa Syed Mukri pernah berkahwin lagi dengan wanita Inggeris. Rahsia kewujudan Emily hanya terbongkar apabila Syed Mukri menamakan Emily sebagai salah seorang penerima harta pusaka.

Sharifah Yasmin. kakak Emily tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia mempunyai adik yang bakal mewarisi kekayaan ayahnya. Apatah lagi, melihatkan kemesraan Tengku Farid, sepupunya dengan Emily semakin menambah sakit di hati. Dia bertindak cuba memisahkan kedua mereka asalkan cintanya pada Tengku Farid berbalas.

Berjayakah Sharifah Yasmin melakukannya? Bagaimanakah Tengku Farid melalui kehidupan tanpa Emily? Mampukah Tengku Farid melakukan pengorbanan atau Tengku Farid Sendiri yang terpaksa menjadi korban?

Dengan garapan bahasa yang indah, lembut dan bersahaja, GERIMIS DI HATI pasti meruntun perasaan anda. Sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang pengorbanan!



Sinopsis : TIADA LAGI MIMPI

Kemunculan semula Norseha memerangkap kembali Razif di dalam dilema. Kehadirannya sungguh menyeksa, sungguh mendera. Razif tidak mampu menanganinya sendirian. Mujurlah, Badrul tampil menawarkan pengorbanan demi menjaga maruah keluarga.

Prasangka Norjinah terhadap kejujuran suami, tanda tanya dan teka-teki yang menyelubungi akhirnya terbongkar jua. Kenyataan itu juga membunuh seluruh kepercayaan dan cintanya kepada Razif. Dia berasa kebahagiaan yang dinikmati selama ini terbina dari kepalsuan dan pura-pura. Dunia Norjinah seakan berakhir di situ sahaja.

Norseha... permulaan sebuah sengketa. Rumah tangga kakak sendiri goyah gara-gara kehadirannya. Bukan godaan dan tagihan cintanya yang membuatkan semua berprasangka. Tetapi, Razif dan Norjinah saling berahsia kerana dirinya. Persoalan hanya terjawab apabila realiti terbongkar di depan mata. Namun, siapakah yang harus dipersalahkan apabila rahsia bukan lagi menjadi rahsia?

Siapakah pula yang harus mengalah apabila kepahitan bukan lagi mimpi melainkan kenyataan yang sukar ditelan? Dapatkah Razif dan Norjinah mempertahankan kebahagiaan? Dan, timbulkah keinsafan Norseha apabila diri sehina sampah terbuang yang terbiar di jalanan?

TIADA LAGI MIMPI membongkar episod luka sebuah keluarga, gara-gara kemungkaran dua insan yang tidak mengenal dosa dan pahala...


Sinopsis : TAK SEMANIS IMPIAN
 
NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
 
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”
 
NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
 
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”
 
RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang?
 
“Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”
 
Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.
 

Sinopsis : TAK SEINDAH MIMPI

Kekosongan jiwa Razif bagaikan terisi melihat kemesraan orang gajinya, Norjinah melayani kerenah anak-anaknya. Norjinah bagaikan sinar yang membawa cahaya bahagia dalam hidup Razif. Dia hampir dapat melupakan kekecewaan setelah ditinggalkan isterinya yang curang, Salmi.

Namun, segala-galanya berubah apabila Razif menerima Salmi semula yang lumpuh akibat kemalangan. Bermula detik itu, Norjinah benar-benar belajar erti sebuah kehidupan. Demi masa depannya, dia kumpulkan segala kekuatan, kesabaran dan memberanikan diri menghadapi segala dugaan dengan hati yang tabah.

Razif pula berperang dalam kemelut rasa kasih, sayang, cinta dan simpatinya yang menuntut sebuah pengorbanan. Apakah yang mendorong ketiga insan ini begitu tekad menentang arus, melupakan kepedihan dan berani berhadapan dengan kenyataan meski pun ada hati yang tercalar luka?

Sesungguhnya, ajal maut, jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Tak Seindah Mimpi sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Suatu rentetan perjalanan hidup yang sesuai dijadikan ikhtibar di samping menginsafi bahawa adakala hidup ini tidak seindah yang diimpikan.

Rose Harissa

Sinopsis : CINTA MEKAR DI HATI

Setiap cinta…pasti ada derita, pengorbanan, cemburu dan air mata. Cinta tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan…tetapi hadir dengan pengorbanan dan kesetiaan.

Ady Rafizal…cinta tidak pernah punya undang-undang, tetapi mengapa harus aku terhukum? Dalam derita, hanya bayangmu yang mampu kudakap. Namun, selagi aku bernafas dengan nama ALLAH, tidak pernah sekali aku berhenti merinduimu. Dan aku yakin, cinta akan mengembalikan kau kepadaku.

Fasha… cinta tidak pernah menyeksa tetapi sentiasa menguji. Sekali kau memberi cinta, tidak akan kubiarkan ia hilang ditelan waktu walau beribu batu kita terpisah. Sesungguhnya, kau adalah cinta dan nyawaku dalam hidup ini.

Fahrin… cinta itu sebuah pengorbanan, tetapi mengapa ia bukan noktah cintaku kepadamu? Kenapa semakin sukar aku miliki cintamu setelah menanggung derita ini? Cintaku indah tapi aku derita perasaan.

Tengku Alia Marina… cinta itu madu dan racun! Andai aku tidak memiliki madunya, biarlah aku jadi racunnya!

Cinta adalah satu-satunya bunga yang tumbuh mekar tanpa bantuan musim- Khalil Gibran

Sinopsis : BERIKAN CINTAMU

Sebuah cerita yang pasti mencuit perasaan anda dengan gelagat orang bercinta. Eza Nylea terlalu mendambakan cintanya kepada Rizal sedangkan lelaki itu langsung tidak menghargai kejujuran, ketulusan dan pengorbanannya. Dia sahaja yang terlalu setia sebagai seorang kekasih, tetapi Rizal langsung tidak memahami perasaannya.

Justeru itu, ketika Eza memendam perasaan, hadirnya seorang sahabat yang baru dikenali bernama Azalan. Lelaki itulah yang sudi berkongsi rahsia hati dan perasaan Eza. Persahabatan itu, akhirnya termeterai dengan ikatan kasih sayang.

Eza keliru. Antara Rizal dan Azalan... yang mana harus diberikan cinta? Di sana masih mencintai, di sini menagih kasih. Pada masa yang sama Eza berhadapan dengan kerenah bekas rakan-rakan serumahnya semasa menuntut di universiti. Penganiayaan dan fitnah sudah menjadi kudis buatnya. Adakah Eza terus berdiam diri setelah pelbagai penyeksaan dilakukan oleh mereka sehingga dia hampir diragut kesuciannya?

Ramlee Awang Murshid

Sinopsis : HIJAB SANG PENCINTA

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya. Ikutilah epik thriller ini...


Sinopsis : CINTA SANG RATU
 
Pastinya anda ingin mengetahui cerita seterusnya setelah membaca Bagaikan Puteri. Apa yang berlaku kepada Laksamana Sunan dan Haryani? Akhir kurun ke-15, Ratu Sulaman terus memerhatikan kerumunan orang ramai. Dia tertinjau-tinjau dan mengharapkan Laksamana Sunan segera bangkit. Seketika tadi dia berjaya melepaskan sebilah anak panah tepat ke belakang lelaki itu. Jantungnya kini bagai direntap kasar apabila melihat jasad Laksamana Sunan diusung beramai-ramai. Hatinya rawan teringatkan ucapan lelaki itu kepadanya.
 
Awal abad ke-21, bersendirian di bilik tidur, Haryani meraih ingatannya kepada Dani. Lelaki yang telah menyelamatkan nyawanya itu kini hilang sewktu tsunami melanda Aceh. Harapan untuk Dani hidup amat tipis. Tidak mungkin Dani selamat dari badai ombak itu. hanya kata-kata Dani sahaja yang menjadi pengubat resahnya.
 
Inilah kisah pertembungan dua zaman yang pastinya membuatkan anda sayang sekali untuk meninggalkan walaupun satu perkataan kerana ceritanya semakin PANAS!!!
 
 
Sinopsis : BAGAIKAN PUTERI

Haryani dan Laksamana Sunan... saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza.

Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam.

Dani... pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21.

Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati!


Sinopsis : UNGU KARMILA

ATAS nama cinta... mahligai impian itu dibina. Vila Sepi menjadi mahar kasih Arif terhadap isterinya, Karmila. Namun, tragedi dahsyat memusnahkan kegembiraan yang dikecapi.

Beberapa tahun berlalu... vila yang ditinggalkan dikatakan berhantu. Jikon, seorang pemuda Orang Asli bagai digamit memasuki vila itu. Akhirnya, dia menjadi korban pertama.

Setelah itu, mistik di vila itu tiba-tiba sepi. Masyarakat Orang Asli percaya ‘sesuatu’ yang berada di situ sedang ‘tidur’. Tiada siapa berani mengusik. Jika ia ‘terbangun’, maka pembunuhan pasti terjadi lagi.

Ema, seorang wanita masyarakat Orang Asli yang berpendidikan, secara diam-diam berusaha meneroka vila yang menjadi lambang cinta Arif dan Karmila itu. Secara tidak sengaja, dia telah ‘membangunkan sesuatu’ di dalam vila berkenaan.

Arafat, abang Arif telah menugaskan beberapa orang yang dipercayai untuk membongkar misteri pembunuhan itu. Namun, satu kuasa jahat telah memburu mereka sehingga mengancam nyawa. Tragedi silam berulang kembali!

RAMLEE AWANG MURSHID, sekali lagi meneroka alam mistik di sebalik saspens UNGU KARMILA. Mereka yang `jahat’ sahaja dapat mengalami rahsia di sebalik kisah berdarah di Vila Sepi... hingga tidak sanggup lagi untuk berbuat dosa!


Sinopsis : Anugerah Pertama
Dia mencari dirinya yang hilang. Antara illusi dan hakiki, dia ibarat membuat pilihan. Anugerah Tuhan buatnya ini adalah suatu hikmah. Lantaran itu dia kembali tersedar bahawa kebahagiaan itu tidak pernah sirna. Lalu di sini pilihannya...

Sinopsis : SATU JANJI
 
Balas dendam, pencarian keluarga kandung, keadilan, kasih sebuah percintaan, air mata dan kesetiaan seorang lelaki yang bernama suami, adalah satu janji yang melingkari hidup Luqman.
 
Tragedi pembunuhan ayah Luqman, telah membuka satu rahsia yang menjadi hijab jalur pengkhianatan. Pada ketika inilah Luqman menemui Adelia Mustapha. Kasih dan cinta Luqman, rupa-rupanya menjadi racun berbisa di hati Adelia.
 
Janji yang begitu teguh di hati Luqman akhirnya membawa musibah. Dengan segala kudrat, Luqman berusaha bangkit untuk menggapai janjinya semula.
 
Dan di hadapannya ada seseorang yang telah menghulurkan tangan untuk membantu Luqman melaksanakan satu janji yang pernah terungkai.

Norhayati Berahim


Sinopsis : Sentuhan Kasih
Banjir kerinduan yang berladung di dalam hati tiada siapa yang rasa lemasnya melainkan dia...Namun dia rela menyimpan semuanya di dalam hati...tega membiarkan diri luka sendiri-sendiri. Tapi sampai bila harus disimpan lemas luka hatinya? Dia jauh di negara orang ... lantaran ada yang sudi memberi dahan untuk berpaut, perlukah ditolak? Atau dia masih menanti rendangnya pohon memayungi tatkala turunnya salji, atau terus menanti panasnya bahang asmara untuk memanaskan dinginnya sekeping hati yang telah lama mati...

Sinopsis : SAYANG TAK TERUCAP
TAKDIR menemukan semula Delilah dan Aminudin setelah sekian lama terpisah. Dengan rasa sedih, kecewa dan rajuk berpanjangan, Delilah menolak kehadiran lelaki itu. Baginya sekali hati terguris, lukanya berparut lama. Apa maknanya ayah apabila lelaki itu cuma muncul ketika dia sudah berjaya. Di mana tanggungjawab lelaki itu ketika dia mengharungi saat getir bersama ibu, nenek dan datuknya yang buta.
Sekaya mana pun lelaki itu, masih tidak membuka pintu hatinya. Lelaki itu tidak sama pekerti dengan datuknya. Datuknya yang buta, tapi tidak buta hatinya. Datuknya yang buta tapi tinggi nilai kasih sayangnya.

Pun begitu, mestikah dia membiarkan rasa benci itu terus membelenggu hidupnya? Apalah guna akal fikiran jika tidak digunakan sewajarnya. Perlahan-lahan dia mengerti rahsia kehidupan, menginsafi kelemahan dan kekurangan setiap insan. Malah, jauh di sudut hati dia ingin sekali menikmati dakapan kasih seorang ayah dalam hidupnya.

Ayah... andai kemaafan ini kuberi, namun dapatkah kuberikan setulus kasihku padamu? Ya ALLAH... perkenankanlah doa hamba-MU ini agar kebuntuan dan kekeliruan ini dapat dileraikan.


Sinopsis : HATI SEORANG WANITA

Dia dilahirkan diluar kemahuan ayah dan ibunya. Namun, dia pasrah dengan ketetapan ILAHI walau dendam terus menghuni di hati. Perkahwinan yang diatur kiranya tidak menjanjikan apa-apa. Bagi dia, suami milik isteri yang abadi. Mesti dikasihi sepenuh hati. Rupa-rupanya tidak ada apa yang dapat dipegang pada janji manis seorang lelaki.

Sekian lama mencari di mana harga diri, di mana kesilapa diri, dia bangun semula bersama tekad di hati. Meski disingkir, meski diuji, namun jiwanya tak pernah mati. Bahagia mesti dicari, peristiwa pahit mesti dilupai kerana hati wanitanya percaya, esok masih ada cahaya, masih ada sinar bahagia.


Sinopsis : NOTA CINTA BUATMU

Perpisahan... terlalu sukar rasanya membuat keputusan. Namun kerana harga diri, kerana kasih sayang, Johanna rela berkorban. Biarlah dirawat hati yang luka, biarlah dilalui hari-hari mendatang tanpa suami di sisi. Pergilah Dihrran, carilah kebahagiaan, carilah kasih sayang yang kau perlukan.

Hidup siapa yang menduga, Johanna dipertemukan dengan Graham. Lelaki yang tidak percaya kewujudan agama dan Tuhan. Namun, lelaki itu lelaki istimewa, lelaki yang sering mengerti, lelaki yang paling cepat memahami. Hati yang luka diubati, jiwa yang kosong kini terisi.

Kalutnya rasa bila cinta datang kali kedua, perlukah diusir atau perlukah dibiarkan menghuni dalam hati. Cuma ketika cinta datang semula, Dihrran yang pernah membuangnya dahulu datang menagih hati, menagih simpati!

Hatinya sudah nekad, apa yang berlaku, biarlah berlalu. Dihrran perlu diajar untuk menghargai, untuk menghormati. Dia bukan wanita yang mudah dibuang dan diambil kembali.

Ahh... cerita luka... duka dan cinta ini perlu ada kesudahannya!

Nia Azalea

Sinopsis : HATI YANG TERUSIK

Kisah yang begitu hebat ini mampu mengajak para pembaca menilai hati dan perasaan manusia dalam nilai kejujuran, kasih sayang, cinta dan pengorbanan. Vanessa yang memeluk Islam berkahwin dengan lelaki pilihan semasa mereka masih menuntut di UK walaupun pernikahan mereka ditentang oleh Vincent Lee, bapanya.

Di sebalik pernikahan itu, terselit rasa benci Vincent terhadap Farhan apabila teringatkan anak sulungnya bernama Irene. Namun, Vanessa mendiamkan diri kerana itu adalah pilihannya. Dia masih tetap mencintai Farhan.

Langit tidak selalu cerah, apabila Vanessa dan Farhan dipanggil balik ke Malaysia tanpa sempat menghabiskan pengajian mereka. Tempoh perkahwinan mereka berdua tidak berpanjangan kerana Vanessa dipersiakan haknya oleh Farhan. Akhirnya, Vincent Lee meminta Vanessa berkahwin dengan Raymond.

Mengapakah Vincent amat membenci Farhan apabila terkenangkan Irene? Mudahkah Farhan melafazkan cerai apabila Vincent mahu Vanessa berkahwin dengan Raymond? Mampukah Vanessa menerima arahan bapanya itu? Apakah taktik yang digunakan oleh Vincent agar Vanessa patuh pada arahannya?


Sinopsis : SEREDUP KASIHMU

KISAH silam Lea Haryani sentiasa menghantui hidupnya. Lea Haryani dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan kedua orang tuanya. Setelah ibunya meninggal dunia, Mak Longnya, Sutinah memeliharanya sehingga dewasa.

Lea Haryani tidak begitu senang dengan sikap Mak Longnya. Apa sahaja yang dilakukan oleh Lea Haryani tidak menyenangi hati Mak Long. Ada-ada sahaja kesalahan yang dicari. Bukan itu sahaja, Mak Long juga suka mengungkit asal-usul keturunan menyebabkan Lea Haryani terasa kerdil untuk berhadapan dengan masyarakat.

Setelah dewasa dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, sikapnya yang pasif terbawa-bawa hingga ke universiti. Di universiti dia tidak mempunyai kawan rapat melainkan kawan sebilik bernama Suziyan.

Emir Safwan yang satu kuliah dengan Lea Haryani cuba menggodanya tetapi tidak dilayan. Pelbagai cara dilakukan oleh Emir Safwan untuk memikat hati Lea Haryani namun tidak berhasil. Dengan bantuan Profesor Halim, akhirnya Lea Haryani dipertemukan dengan Emir Safwan.

Mama Emir Safwan tidak berkenan dengan Lea Haryani dan menyuruh anaknya itu memilih Syamen, anak Datin Jawaher. Emir Safwan tetap dengan pendirian memilih Lea Haryani. Akhirnya berlakulah konflik. Lea Haryani mengalah dan menyuruh Emir Safwan akur dengan pilihan mamanya. Emir Safwan tidak boleh terima kerana hatinya benar-benar mencintai Lea Haryani. Berjayakah Emir Safwan memujuk hatinya yang telah terluka untuk menawan hati Lea Haryani kembali? Berapa mahalkah harga yang harus dibayar untuk satu kemaafan?


Sinopsis : KAU YANG SATU


Bot milik peribadi Datok Mustaza telah karam dipukul ombak sewaktu dia keluar memancing di Laut China Selatan. Nasibnya baik, dia telah diselamatkan oleh seorang nelayan bernama Sulaiman. Datuk Mustaza terhutang budi dengan Mustaza dan ingin menjodohkan anaknya Taufik dengan Salina anak Sulaiman.

Taufik tidak setuju dengan cadangan papanya kerana dia telah mempunyai kekasih bernama Isabella, model terkenal tanahair. Manakala Salina pula telah mempunyai teman lelaki bernama Zulkifli, anak ketua kampung.

Namun segala impian mereka tidak tercapai. Masing-masing terpaksa akur dengan pilihan orang tua. Taufik menuduh papanya kolot kerana masih terikut-ikut cara orang lama mencari jodoh. Salina pula terpaksa putus dengan Zulkifli.

Bahagiakah perkahwinan Taufik dan Salina? Dapatkah mereka melayari bahtera bersama?

Meen Zulaikha

Sinopsis : KASIH YANG SUCI

KEPADA para peminat novel Alaf 21, jangan lepaskan peluang untuk memiliki novel terbaru bertajuk 'Kasih Yang Suci' hasil nukilan penulis baru iaitu Meen Zulaikha yang kini sudah berada di pasaran.

Novel yang membelai perasaan ini mampu membuatkan anda sayang untuk meninggalkan walau satu patah perkataan pun. Sepuluh tahun lalu, kesucian Nora Elena dinodai. Andai masa boleh diulang kembali, pasti jiwanya tidak punah. Tapi dia sedar, takdir hidup tidak memihak kepasa sesiapa. Saiful Idham, tunangnya pergi kerana tragedi ini. Tiba-tiba muncul Seth menawarkan diri untuk menjadi suaminya. Nora Elena keliru...

Tapi mengapa Elena menjadi wanita asing dalam perkahwinan mereka? Rahsia yang selama ini disimpan kemas, akhirnya terbongkar. Sebenarnya, Sethlah lelaki durjana itu. Menodainya atas alasan kerana kasihnya yang suci! Benarkah?

Apakah kisah seterusnya? Apa yang harus dilakukan oleh Elena terhadap suaminya? Mampukah perkahwinan mereka bertahan?

Segala-galanya dalam Kasih Yang Suci. Dapatkan segera sebelum kehabisan.

 
Sinopsis : WARNA HATI

SUATU ketika dahulu, luahan rasa cintanya pernah dipersenda. Madah rindu dan puisi syahdunya buat Jefri menjadi ejekan teman-teman sekolah. Zara Lisa, malu tidak terkata. Sejak saat itu, nama Jefri terus dikikis daripada ingatannya. Bertahun dia memegang prinsip; bercinta bermakna membiarkan diri terluka dan kecewa.

Waktu terus berlalu. Persoalan tentang jodoh mula menghantui hidup Zara Lisa. Cemuhan dan sindiran tentang statusnya, bagai duri berbisa. Hingga dia difitnah, terdesak hendak bersuami. Kata dua daripada emak; bawa pulang calon suami atau emak yang carikan, memaksa Zara Lisa berbuat sesuatu. Dia tidak boleh mengharapkan cinta datang sendiri. Speed dating menemukan Zara Lisa dengan dua orang lelaki. Erman yang tampan bergaya dan gentleman membuatkan dia jatuh cinta pandang pertama. Beria-ia dia menyulam mimpi untuk menjadi permaisuri lelaki itu. Tapi, rupa-rupanya warna cinta mereka cuma kelabu. Erman, playboy yang bijak menabur janji palsu untuk memikat. Lelaki kedua pula, Harith yang serba sederhana turut menghulurkan salam cinta sedangkan di hati Zara Lisa, hubungan mereka hanya sebagai kawan.

Lamaran daripada Jefri, mengejutkan Zara Lisa. Dia terpaksa menerima biarpun hatinya tidak rela. Harith muncul dan menceriakan kesedihan Zara Lisa. Dalam diam, dia mula merindui lelaki itu yang pernah dipandang sepi sebelum ini. Harapannya terhadap Harith setinggi gunung setelah ikatannya dengan Jefri ter lerai. Dalam membina janji kasih, kebahagiaan Zara Lisa diuji sekali lagi. Siapakah Harith sebenarnya? Sedangkan cinta sejati tiada ruang untuk prasangka...

Lily Suriani

Sinopsis : ATAS NAMA CINTA

Sukarnya Firas menakluki hati dan cinta Ardini. Pelbagai cara dilakukan agar gadis punjaan hati menjadi miliknya yang abadi. Bukankah cinta itu satu pengorbanan? Dan itulah yang menguntumkan kemanisan cinta. Ijab kabul bukti bahawa cinta mereka bukan hanya di bibir.

Gelora ombak dan taufan telah mengaramkan bahtera cinta mereka ketika disinari cahaya bahagia. Namun, mengapa ada insan yang mencemburui keindahan cinta mereka? Mengapa perlu ada duri-duri yang menghalang mereka ke puncak kasih hingga hati mereka tercalar luka?

Atas nama cinta, mereka berpegang teguh pada janji setia...






Hasreeyati Ramli

Sinopsis : DEMI KASIH INI

Bijak pandai pernah berkata, cinta boleh bertukar menjadi benci tetapi persahabatan itu akan kekal buat selama-lamanya.Benarkah?

Sekian lama menyemai kasih, keakraban Iriana dan Mukhriz dimeterai dengan ikatan. Andai diibaratkan tinggi bintang di langit, tinggi lagi impian di hati. Sungguh, cinta mereka bukan sandiwara. Tiada apa yang bisa menjadi galang ganti.

Tetapi entah di mana silap, bahtera kasih mula dilanda badai. Satu demi satu rahsia terbongkar. Ribut melanda, taufan bergelora. Tembelang pecah, retak menanti belah. Konfik demi konflik mencabar keimanan. Tambah rumit, lantaran seorang pemarah, seorang perasa.

Saat itu, dunia Iriana bagaikan mahu runtuh, langit menjadi gelap dan bumi bagaikan mahu retak. Sekian lama bersabar, akhirnya dia nekad. Nekad untuk mengembalikan harga dirinya di atas nama sebuah kesetiaan. Mungkin salahnya juga selama ini, terlalu lurus bendul. Terlalu alpa, hinggakan kepercayaannya dikhianati dan akhirnya dia terluka sendiri.

Begitu pun, atas nama kasih... sengketa ini bukan penamat kisah. Sebaliknya, gelora cinta baru saja bermula. Dan di saat inilah terdetik di hati Iriana, pesanan orang tua wajar dipertimbangkan. Sebelum mengangguk sudi menerima lelaki, sematkan di hati bahawa percintaan itu ibarat percaturan, terlalu banyak rintangan yang tidak disangka akan terjadi!

Fauziah Ashari

 
Sinopsis : Cinta... Tiada Akhirnya (sambungan Ombak Rindu)
 Rentetan perkahwinan rahsia antara Izzah dan Hariz di Ombak Rindu dipanjangkan lagi di dalam 'Cinta...Tiada akhirnya'.

Kehidupan menjanjikan segalanya. Pahit, manis, suka dan duka. Satu perjalanan anugerah dari Maha Pencipta yang menjanjikan kematian dalam kembara kehidupan. Bagi kaki yang melangkah dan tangan yang menadah, terpulang pada insan itu sendiri mencorak hidupnya.

Inilah kisah ... CINTA...TIADA AKHIRNYA, menyelami Izzah yang setia, menyajikan cinta pada suaminya Hariz yang masih mencari diri dan cinta sejati.

Disulami detik cemas yang pasti mengocak minda, mendebar jiwa, CINTA...TIADA AKHIRNYA akan menyerapi kehidupan setiap pembaca.


Sinopsis : OMBAK RINDU

IZZAH adalah seorang gadis yatim piatu yang kematian orang tua mereka akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, pak saudaranya, Taha mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bencana dalam keluarga.

Pak cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual anak saudaranya itu kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak pak saudaranya walaupun hatinya tidak rela.

Di situlah dia telah berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz telah membeli Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan membawa dia keluar dari neraka jahanam itu. Di atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, iaitu model dan pelakon terkenal tanahair menggugat cinta Izzah yang mula berputik kepada Hariz. Dapatkah Izzah menerima Mila Amylia sebagai madunya? Bahagiakah rumah tangga yang dibina di atas kehadiran orang lain? Bagaimanakah tindakan Datuk Sufiah setelah mengetahui cerita sebenarnya?

H.M Tuah Iskandar


Sinopsis : PELANGI MEMBEKU

WALAUPUN lahirnya di ceruk kampung dan tidak berpelajaran, Marfuzah sentiasa mengimpikan kehidupan yang sempurna. Dia sering berangan-angan ingin menjadi puteri yang dilamar oleh putera raja. Namun, realiti kadangkala tidak seindah impian.

Warna hitam hidupnya bertambah hitam bila dia dipaksa berkahwin dengan lelaki tua yang juga tidak mempunyai harta. Masa itu dia rasa dunia ini tidak adil padanya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tapi, sampai bila dia harus ditemani air mata derita? Sebagai wanita, dia berhak untuk hidup bahagia walaupun bahagia seakan tidak tercapai dek tangan.

Dengan semangat jitu, Marfuzah bangkit. Dia ingin menjadi wanita yang berjaya walaupun hidup dikelilingi hutan. Maruah yang tercalar juga harus ditebus. Dia tidak sanggup lagi diinjak-injak seperti tiada harga diri. Berbekalkan keazaman, dia meredah hutan mencari sesuatu yang berharga.

Marfuzah ibarat pelangi. Pelangi tidak kekal tapi amat cantik. Selagi pelangi berada di atas sana, selama itulah pelangi hanya hiasan alam. Alangkah bagusnya kalau pelangi itu membeku. Ketika itu, barulah pelangi menjadi begitu berharga dan kekal. Tapi, mengapa pelangi kadangkala tidak muncul walaupun selepas hujan panas?

Nikmatilah kisah benar ini dalam kisah, bersulam imaginasi, daya kreativiti dan realiti. Semuanya hanya ada di sini...

Damya Hanna


Sinopsis : TERNYATA CINTA
      
PENGALAMAN mengajar erti kedewasaan. Begitulah ibarat hidup Qasdina, tonggak harapan keluarganya. Dalam meniti usia remaja, dia bagaimanapun tidak dapat menolak hakikat yang dia juga punya cita-cita untuk digapai. Namun, demi adik-adik yang masih bersekolah dan ayah yang dibebani hutang, impian itu terpaksa dilupakan buat sementara waktu. Dia sebaliknya kini punya misi yang tersendiri! Memburu lelaki kaya!
ZARIEL - Lelaki pertama yang berjaya mencuri perhatian. Kacak, mewah dan romantis! Itu ciri-ciri kesempurnaan yang perlu ada pada lelaki idamannya. Tetapi Zariel tidak seperti yang disangkakan. Lelaki itu terlalu ego sehingga menjengkelkan hati nuraninya.

IQRAM - Kehadiran lelaki ini kerap kali mengganggu emosi. Qasdina jadi rimas sendiri! Tiada langsung kriteria lelaki pujaannya, namun peribadi Iqram yang penuh rahsia dan kesederhanaan sifatnya berjaya meruntun hati si gadis.

Ternyata, cinta itu terlalu indah. Namun, dia juga sedar hanya kejayaan menggapai cita-cita bakal melengkapkan kehidupannya. Jadi, mampukah dia mengorbankan impiannya demi cinta? Ikutkan hati, dia ingin memiliki kedua-duanya sekali! Dan dia tahu yang dia berhak kerana kebahagiaan itu adalah milik setiap insan. Cuma yang pasti, ketentuan ILAHI tetap membatasi segala.


Sinopsis : SAAT CINTA BERSEMI


BENAR, tiada siapa yang mengharap derita sepanjang hidupnya. Begitu jua dengan Nur Dhuha yang tidak pernah mengimpikan duka. Namun, takdir sudah tertulis... kehidupannya terus dirundung malang.

Syamir... walau kewujudan semula lelaki itu tidak pernah dimahukan sama sekali, dia tetap tega memburu Nur Dhuha. Dendamnya begitu mendalam walau episod duka sudah berlalu bertahun lamanya. Nur Dhuha... didera mental dan fizikal seolah tidak layak menikmati hidup. Walau derita, jauh di sudut hati, dia tetap mendambakan kasih dan sayang. Bencinya terhadap Syamir hanya di bibir. Luka yang dicipta Syamir berulang kali dirawat sendiri sehingga sabarnya mencapai kemuncak.

Kehilangan Nur Dhuha meragut keegoan Syamir. Benarlah kata orang, betapa pentingnya seseorang itu hanya dapat dirasai apabila kita kehilangannya. Tatkala hampir kehilangan gadis itu, perlahan-lahan cintanya datang bersemi. Lantas, dia kembali sebagai pemburu demi sebuah kemaafan. Wajarkah kemaafan buat Syamir setelah Nur Dhuha hampir hilang pedoman diri? Masih adakah harapan untuk Nur Dhuha mengecap bahagia?



Sinopsis : SEPI TANPA CINTA


HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!

Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!

Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.

Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali...

 

Sinopsis : BICARA HATI


DALAM satu kemalangan kecil yang tidak disengajakan, Tengku Syahran dan Zahlia bertemu. Ketika itu, Tengku Syahran sedang buntu memikirkan cadangan emaknya ingin menjodohkan dia dengan Linda, seorang wanita yang tidak pernah dicintai.

Seminggu mengenali Zahlia, Tengku Syahran menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Zahlia untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Linda. Zahlia terkejut dengan permintaan Tengku Syahran. Tengku Syahran tidak dikenali dan tidak mungkin Zahlia boleh jatuh cinta dengan pemuda itu.

Zahlia serba salah untuk menerima lamaran itu. Pelbagai cara dilakukan oleh Tengku Syahran untuk memenangi hati Zahlia. Akhirnya Zahlia akur tetapi dengan syarat, iaitu hak-hak peribadi Zahlia tidak akan diganggu.

Setelah diijabkabul, Tengku Syahran mula berubah. Egonya terlalu tinggi dan dia tidak mengikut penjanjian yang telah ditetapkan. Zahlia rasa tertipu. Tengku Syahran telah mungkir janji. Kini timbul pelbagai konflik dalam rumah tangganya.

Benarkah hakikat bahawa perkahwinan yang berdasarkan kontrak tidak dapat mengundang rasa cinta, kasih, sayang dan kerinduan? Bicara Hati sebuah kisah yang dapat mengungkap segala rahsia.

Azilawati Mat Angsar

Sinopsis : SELAUT KASIH

Kasih sayang antara Najihah dan Jeffry ibarat bulan dan bintang. Kebahagiaan rumah tangga mereka umpama laut yang tenang. Janji setia yang mereka lafazkan tetap kukuh. Cinta mereka tidak pernah surut.

Namun, ombak resah akhirnya mendamparkan mereka ke pantai dugaan. Najihah diperkosa oleh Faiz, lelaki pendendam yang cintanya ditolak oleh Najihah. Tragedi hitam itu menyebabkan Najihah jadi paranoid. Apatah lagi bila dia disahkan mengandung. Tapi anak siapa?

Sebagai suami, Jeffry berusaha memahami perubahan Najihah yang jadi pendiam dan langsung tidak mahu disentuh. Tapi, ego lelakinya sering bertingkah dengan keadaan Najihah dan kemahuan kelelakiannya.

Demi kebaikan bersama, Najihah memaksa Jeffry menikahi Sharlini sebagai isteri kedua. Konflik rumah tangga mereka semakin kalut, bila Sharlini bertindak merampas Jeffry sebagai ‘haknya seorang’ kerana kononnya Jeffry adalah bekas kekasihnya yang ‘dirampas’ oleh Najihah.

Bagi Jeffry, dalam hatinya cuma ada Najihah...

Ariff Affandy


Sinopsis : EMILYA ZULAIKHAEMILYA! Sebaris nama yang tidak pernah luput daripada ingatan Asrul. Dia mencari bayangan gadis itu sejak sepuluh tahun yang lalu. Dunia nan terang bagaikan gelita. Keluhan hatinya membawa derita. Di mana dan ke mana, persoalan itu tidak pernah berjawab. Harapannya terlonta-lonta sendiri mencari, sedangkan Emilya tak sekalipun kunjung menjelma.
Di bawah pohon cinta mereka, Asrul mengucapkan selamat tinggal pada kenangan. Farida, dikahwininya sebagai memenuhi satu wasiat. Bagaimana dia harus membelai wanita itu sebagai isteri, sedangkan antara mereka hanya sebagai saudara? Jiwa lelakinya menangis dan Farida sendiri amat mengerti...

Akhirnya Emilya pulang. Namun, bukan Asrul yang dicari, kerana baginya lelaki itu sudah mati! Dan cinta itu juga tiada lagi. Janji setia dan impian mereka seabad lalu kerana desakan perasaan remaja. Begitulah pujukan Emilya untuk melunakkan perasaannya yang kecewa.Tetapi ada sesuatu yang menjadi milik Asrul dan Farida yang harus diambil semula. Sama ada mereka rela atau dipaksa, Emilya nekad! Ika harus dirampas dan dibawa pergi. Asrul bagaikan hilang kata-kata. Farida pula benar-benar diduga. Tegakah Emilya merampas kebahagiaan mereka, sedangkan kesilapan lalu tidak harus berulang lagi.

Namun, pilihan ada di tangan Emilya atau Asrul mahupun Farida.

Realitinya, bukan kalah atau menang, tetapi mereka harus bersatu!

Anis Ayuni


Sinopsis : SERIBU KALI SAYANG

SUDAH ditakdirkan sejak lahir, Nur Qazrina atau Abby ditinggal ayahnya. Bagi Abby, tanpa kehadiran lelaki itu hatinya tetap bahagia. Menginjak usia remaja, ungkitan Kak Lisa yang dialah punca perceraian ibu dan bapa mereka, sangat membebankan jiwa. Kakaknya juga sering mempamer reaksi tidak menyenangi kehadirannya di rumah.

Daripada teman Kak Lisa yang silih berganti, kehadiran Syed Nadjmil Faiz dilihat oleh Abby sebagai calon suami yang terbaik untuk kakaknya. Sikapnya yang bertanggungjawab dan melindungi sesekali membuatkan Abby digoda perasaan. Namun mujurlah dia segera mengingatkan diri bahawa bakal abang ipar masakan boleh dijadikan teman sendiri.

Hasrat meminang yang disuarakan oleh Syed Nadjmil Faiz menimbulkan konflik. Bagi Abby, hasrat itu jatuh di tempat yang salah kerana bercinta dengan kakak, mengapa pula yang dipinang adiknya? Sudah hilang pertimbangan akal barangkali, maka Syed Nadjmil Faiz memilihnya dan bukan Kak Lisa.

Bagi Syed Nadjmil Faiz, berkawan bukan ertinya berkasih. Sekian lama mengenali si kakak, hatinya tidak pernah disapa rasa cinta. Tetapi pertama kali bertemu Abby, perasaannya digoda rindu. Meskipun sangat mengharap agar salam kasihnya bersambut, dia sedar Abby berhak menolak.

Kebencian Kak Lisa terhadap Abby bagaikan tidak bernoktah. Abby terjebak dalam dilema. Bagaimana kemelut ini hendak dirungkai?


Sinopsis : BAYANGAN RINDU

KISAH cinta Iddya yang penuh pahit manis. Cinta pertamanya dengan Baein, teman sekelasnya tidak kesampaian apabila pemuda itu mengalih cinta kepada gadis lain. Biarpun kecewa, Iddya tabah menghadapi dugaan ini.

Pertemuan dengan Lutfi pula melahirkan rasa cinta yang begitu mendalam. Tapi ikatan itu putus di tengah jalan dan menimbulkan konflik kejiwaan pada diri Iddya. Pada Umar Aisy, bekas teman sekolahnya, dia mencurahkan resah gelisah, duka kecewa dan menangis hiba. Lelaki itu sentiasa memujuk dengan kata-kata yang mendamaikan.

Apakah Iddya akan menemui cinta sejatinya selepas ini? Siapakah lelaki yang bertuah itu? Pepatah ada mengatakan; gadis yang baik akan bertemu jodoh dengan lelaki yang baik juga.


Sinopsis :  Yang Terindah

Elly, gadis pingitan yang tidak pernah mengecap kasih seorang ayah. Lalu, rasa sayangnya tertumpah pada Zahari, lelaki tempatnya berkongsi suka dan duka selama ini. Masa yang berlalu menginjak usia. Rupanya dalam diam, telah lama lelaki itu menaruh hati terhadapnya.

Tapi, mana mungkin dia membalasnya. Dia tidak tega menerima lafaz cinta seorang lelaki yang telah bertahun-tahun dianggapnya sebagai abang sendiri. Lantas dia mengambil keputusan menjauhkan diri.

Namun, perpisahan itu menyedarkannya bahawa lelaki itu amat dekat di hati dan dikasihi. Payahnya menerima hakikat; perpisahan itu begitu menyakitkan, mendera rindu dan menghukum perasaan sendiri.

Saat hatinya terbuka untuk menerima Zahari, kehadiran Dr. Hazlin merobek segala impian. Berjayakah dia memiliki semula hati lelaki yang telah ditolak cintanya itu atau cukupkah sekadar mengabadikan momen terindah itu dalam kenangannya?

Persoalan demi persoalan tidak terungkai, namun yang pasti lelaki itu amat dicintainya...


Sinopsis : Gemersik Kalbu

Raihana... pertama kali kutatap wajahmu, ada getar yang menusuk di kalbu. Saat itu, hanya suaramu yang bisa melunakkan mimpiku. Meskipun tawamu nampak bahagia, mengapa bening mata itu bersalut duka? Andainya kau pernah terluka, izinkan aku mengubatinya. Namun, jawapanmu sering menyongsang makna. Tinggal harapanku tergapai-gapai, kau biarkan begitu sahaja .

Puas kukikis namamu. Lelah jasadku dek tipu helahmu. Berkali-kali kuulang; aku lelaki yang tak tahu malu. Sayangnya... bayangmu jua yang hadir mengocak tenangku. Belajarlah menerima hakikat, aku adalah kenyataan dan dia adalah kenangan! Sekali lagi kutunggu lafaz cintamu kerana aku bukan lelaki yang tewas!

Sufian... cinta bukan paksaan. Cinta juga bukan simpati. Ikrar kasih kami dulu ibarat tugu di hati ini. Janji setia itu tak mungkin diingkari hanya kerana kamu. Mengertilah... semuanya bukan kemahuan fikiran. Impian dan ingatan terhadapnya sukar diusir pergi. Biarpun bayang duka merantai hidup ini, tapi aku tetap rela.

Bukankah sudah berkali-kali kubilang; belajarlah jadi lelaki yang waras. Sekelumitpun tiada namamu di ruang hati ini. Tapi godaanmu mengekoriku walau di mana. Kau terus memburu, sedangkan dalam mimpi pun aku tak inginkan wajahmu. Biar didera ataupun dipaksa, namun hatiku tidak serapuh salju!

Akhirnya, Raihana begini dan Sufian begitu. Di manakah titik pertemuan mereka?

Sinopsis : Kau Kekasihku

Dhira yang baru sahaja dilukai oleh seorang lelaki menyatakan bahawa dia tidak mahu bercinta lagi. Namun, hatinya kalah dengan kenyataannya itu apabila terpaut dengan Zairi ketika melancong ke Beijing. Sejak pertemuan yang membibitkan kenangan manis, hubungan Dhira dengan Zairi semakin mesra selepas pulang dari melancong. Namun, Dhira pasrah walaupun Zairi menunjukkan sikap prihatinnya dan cemburu, lelaki itu agak sukar menyatakan cinta kepadanya.

Akhirnya, lafaz cinta keluar dari bibir Zairi dan ingin melamar Dhira menjadi suri dalam hidupnya. Namun, ada sesuatu yang menjadi persoalan dalam diri Dhira, apabila dia tidak pernah disentuh oleh suaminya sendiri selama di alam perkahwinan.

Apakah masalah yang sedang dihadapi oleh Zairi? Mengapa dia tidak mahu menyentuh Dhira sedangkan tanggungjawab lain ditunaikan? Adakah kerana Dhira yang menjadi puncanya? Akhirnya, Dhira dapat menemui jawapannya yang sering membelenggu dirinya. Antara kasihan dan kasih, perlukah Dhira mengharunginya bersama suami tercinta?


Sinopsis : Suara Hati

Cinta tidak semestinya bersatu. Terperangkap dalam dilema membuatkan dia terpaksa membuat kepu-tusan. Pilihan ibu dan ayahkah yang perlu dituruti sedangkan jauh di lubuk hati, selaut kasihnya telah tercurah pada Haris, pilihan sendiri.

Hari berganti, bulan berlalu, Haris yang dinanti menghilang tanpa khabar berita. Separuh rela, lamaran Naim terpaksa diterima. Mereka berbahagia. Namun, sayangnya mendung menjelma. Dalam penantian menyambut kelahiran anak kedua, suami tercinta pergi buat selamanya.

Tika duka membadai di hati, terjadilah pertemuan tanpa diduga. Haris yang disangka telah mengalih cinta, ingin kembali dalam hidupnya semula. Sudikah dia menerima lelaki itu sedangkan luka di hati masih terasa. Dan... andai cinta pertama telah di-kecewakan, masih wujudkah cinta untuk kali kedua?


Sinopsis : Manisnya Cinta

APAKAH nilai sebuah cinta bagi seorang gadis berlesung pipit bernama Ifti Liyana?

Sejak bertahun-tahun, sayangnya pada Fredo tidak pernah melimpah. Nalurinya sentiasa menidakkan, benarkah mereka bercinta? Akhirnya, mereka kian jauh dan lelaki itu membawa haluan sendiri. Dia sendiri pasrah!

Namun, pandang pertamanya dengan Nazmi, memutikkan perasaan yang aneh. Lelaki itu yang sekejap ada dan hilang seperti menyeru-nyeru semangatnya. Dirinya ibarat mengejar bayang-bayang. Namun, keegoannya sering kali menepis kata hatinya. Tetapi bagaimana dengan rindu yang sarat ini?

Berbolak-balik rasa hatinya. Antara keinginan untuk menyayangi dengan rasa pesimis terhadap kejujuran seorang lelaki. Dalam benci ada rindu, dalam sayang dia jadi keliru, apakah Nazmi benar-benar setia pada yang satu?

Ah... sukarnya melafazkan kata maaf bila prasangka hampir meleburkan sebuah impian. Ifti Liyana akhirnya akur, cemburu buta dan hipokrit bukanlah sifat terpuji. Dia mengakui, Nazmi lelaki sejati yang diimpikan selama ini.

Monday, March 15, 2010

AISYA SOFEA

Sinopsis :  Selagi Ada Dia

Pertemuan tanpa dirancang telah membuka pintu hati Arianni untuk mengenal erti cinta. Apatah lagi, lelaki itu berjanji menjadikan dia sebahagian hidupnya, berjanji bahawa segalanya mampu ditangani dan berjanji akan mempertahankan cinta mereka.

Namun kasih yang disulam, janji yang dimaterai terlerai akhirnya bila terbongkar satu rahsia yang tidak terduga. Sebagai wanita bermaruah, Arianni nekad menoktahkan segala impian. Cinta pertamanya harus dibuang jauh daripada kotak ingatan. Lelaki itu bukan untuknya.

Tahun berlalu...hadirlah lelaki baru dalam hidupnya. Sayangnya, pintu hati dia masih tertutup rapat. Rasa terluka itu masih ada. Baginya, cinta kedua tidak membawa sebarang makna; tiada keikhlasan, tiada kejujuran. Lalu bagaimana? Selama manakah lagi harus dia tunggu untuk mengecap nikmat kebahagiaan? Terlalu memilihkah dia?




Sinopsis : Gelora Jiwa
Siapa kata setia tak mungkin berlaku curang? Siapa menduga kasih takkan bertukar benci? Katakan sejujurnya, bagaimana harus disukat bahagia jika dalam hati Intan Azureen, berkocak dilanda asmara.

Seraut wajah tenang itu, tiba-tiba berubah menyimpan seribu luka. Keluh resahnya sekadar melunakkan hati yang duka. Bagaimana harus dijelaskan; setianya bukan lagi untuk Hanif Azman tunangnya. Tapi kasihnya sudah berpaling jauh pada Hanif Ashman dalam sekelip mata.
Siapa merampas dan siapa yang dirampas? Siapa yang berhak dan siapa pula yang tak punya hak? Intan Azureen lemas di tengah-tengah kekusutan.

Dia harus teguh memegang janji wasiat; membina rumahtangga dengan lelaki pilihan keluarga.
Atas desakan keluarga melawan kehendak hati, dia harus membuat pilihan yang tepat. Hanif Ashman satu mimpi. Hanif Azman pula satu realiti. Tapi mimpi itu juga yang sentiasa membayangi hidupnya. Ah, sukarnya menidakkan takdir sedangkan cintanya hanya untuk Hanif Ashman seorang. Jadi, bagaimana?


Dia tekad, dilema ini harus dinoktahkan. Siapapun yang terpilih, dia akur akan melimpahkan kejujuran sepenuh hati. Tapi, siapakah antara mereka yang bakal mengongsi hidupnya sepanjang hayat?



Sinopsis: Buatmu Kekasih


Novel ini memuatkan lima novel terdahulu beliau ini merupakan titik sambungan dengan melakarkan sebahagian watak-watak yang pernah dicipta Aisya Sofea.

Tahun berlalu... kini Ika, farah, Umairah, Kay dan Intan sedang meniti alam kedewasaan, namun yang terluka ada perasaan yang tersentuh, ada hati yang merana. Namun, dengan kekuatan kasih sayang, segala dugaan cuba diatasi sebaik-baiknya.

Buatmu kekasih menggambarkan betapa akrabnya kita dengan watak-watak dalam karya terdahulu hingga merasakan bahawa mereka turut menghirup udara yang kita hirup, tinggal di bawah langit yang sama dan juga berlampukan sinaran bulan yang satu.




Sinopsis: Adam dan Hawa

Ain Hawani, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kesilapan kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela.

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Ada yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah...Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan Masjidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan selama ini. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang tunggu.

Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarlah lapan tahun lagi..




Sinopsis: Kau Untukku

Pertama kali bertemu Nurul Umairah, hati Ahmad Fuad sudah terpaut. Biarpun gadis itu sudah dimiliki, namun perasaaannya tidak pernah berubah walaupun terpaksa menyembunyikan rahsia hatinya dalam-dalam.

Bila Jefri, tunang Nurul terkorban dalam kemalangan, Fuad menawarkan kasihnya. Nurul menolak kerana tidak mungkin dia mengalih perasaan pada lelaki lain dalam sekelip mata sahaja. Kebijaksanaan Fuad akhirnya meruntun tembok yang dibina Nurul. Dia akhirnya menerima Fuad tanpa mengetahui rupa-rupanya ada gadis lain sedang menagih kasih lelaki itu semula.

Apakah Fuad akan menyambung semula kasihnya bersama gadis yang tiba-tiba muncul kembali di antara mereka? Mampukah Nurul Umairah sekali lagi kecewa biarpun lelaki itulah yang memulakan percintaan mereka.

Kau untukku; indah, romantis dan membuai perasaan.



Sinopsis : Jendela Hati

Harga kesetiaan seorang lelaki bernama suami begitu mahal nilainya pada insan bernama Lukman Hafizi ini. Setelah pemergian isteri tercintannya, Sarah, hari-hari yang dilaluinya tidak lagi seindah semalam. Dia terus hanyut dalam lamunan khayalannya.


Kepulangan Farah, kembar seiras arwah isterinya tidak mampu menggugah selaut kenangan bersama arwah isterinya. Farah pula tersepit dengan wasiat terakhir kakaknya serta dilema perasaannya sendiri. Dia pasrah akhirnya.


Benarkah 'ganti tikar' yang berlandaskan 'keterpaksaan' bagaikan embun di hujung rumput; memakan diri sendiri akhirnya. Apakah ini harga yang perlu dibayar untuk sebuah pergorbanan? Hayatilah falsafah yang tersirat di sebalik mesej yang tersurat ini.




Sinopsis : Sehangat Asmara

Kamilia Najwa & Zainal Arief. Pandang pertama mereka memutikkan cinta dan berakhir dengan perkahwinan di London tanpa restu keluarga. Namun badai asmara mereka sentiasa membakar di sebuah bilik kecil di Oxford dengan janji sehidup semati.


Kebahagiaan mereka tiba-tiba terhenti! Zainal terpaksa pulang ke tanah air dengan janji akan kembali lagi. Sejak itu hingga menginjak sembilan tahun lamanya, Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia terus menanti dengan air mata dan sengsara.

Tanpa diduga, Zainal muncul kembali. Datangnya untuk menuntut Misya, anak comel yang selama ini 'disembunyikan' oleh Kamilia. Dendam kesumat Kamilia terhadap Zainal tidak pernah padam. Anehnya, 'dendam rindunya' terhadap lelaki itu lebih kuat dan mengusik perasaannya.


Benarkah dia membenci lelaki itu? Dan hipokritkah Zainal bila menyatakan hanya Kamilia seorang di hatinya.



Sinopsis : Jauh
Siapalah yang dapat melupakan tempat kasih bersemi? Sesungguhnya api cinta itu hangat membakar. Meski telah padam, namun baranya masih ada. Masa dan kejauhan bukan halangan bila jodoh telah ditentukan.


Related Posts with Thumbnails