Sinopsis : BIAR RINDU BERLALU
Tema kekeluargaan ini pasti menyentuh perasaan anda apabila janda dan duda menagih kasih sedangkan anak-anak tidak bersetuju jika mereka berkahwin. Janji Khalil dengan Samirah untuk membina istana bahagia, bagaikan sirna kerana permusuhan anak-anak. Fatiha tidak mahu kasih ibu diganti dengan kasih wanita lain kerana merasakan cinta wanita itu tidak seagung cinta ibunya. Nasrul juga tidak sanggup orang asing muncul dalam hidup ibunya.
Masing-masing menafikan hak bahagia kedua-dua orang tua itu. Sengketa mereka berpanjangan, saling membenci dan melukakan.
Sinopsis : PESONA RINDU
RINDU bertandang ketika masing-masing didakap kesepian. Fazlan ditinggalkan Darina, isteri yang obsesi terhadap cinta, cita dan impian. Najmah pula memutuskan pertunangannya kerana tidak menyintai jejaka pilihan keluarga. Keputusan Najmah mengundang sengketa. Dia terpinggir dan kepulangannya tidak diharapkan.
Fazlan hadir memberi kedamaian. Persahabatan bertukar menjadi kekasih. Najmah menyangka yang dia hanya menghormati Fazlan sebagai majikan. Namun cinta di hatinya kian berputik biarpun dia tahu Fazlan adalah suami sahabat baiknya sendiri.
Selepas lima tahun di luar negara, Darina kembali semula. Ternyata cintanya terhadap Fazlan masih ada. Bagaimana harus Fazlan menerima Darina semula? Sedangkan dalam masa yang sama cintanya terbahagi dua untuk Najmah juga. Lalu Fazlan merahsiakan perkahwinan itu.
Najmah diburu rasa bersalah. Dia telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Darina untuk menjaga Fazlan. Bagi Najmah, cintanya hadir hanya sementara. Tidak lebih dari sebuah pesona.
Fazlan dalam dilema, siapakah yang lebih dicintainya? Najmah ataupun Darina? Namun bagi Fazlan, dia tidak rela kehilangan kedua-duanya sekali.
Sinopsis : Gerimis di Hati
Gerimis di hati bermula apabila Emily datang ke Malaysia untuk menemui ayahnya, Syed Mukri yang sedang nazak. Kedatangan Emily telah menimbulkan kekecohan kerana selama ini Tengku Habibah, isteri pertama ayahnya tidak mengetahui bahawa Syed Mukri pernah berkahwin lagi dengan wanita Inggeris. Rahsia kewujudan Emily hanya terbongkar apabila Syed Mukri menamakan Emily sebagai salah seorang penerima harta pusaka.
Sharifah Yasmin. kakak Emily tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia mempunyai adik yang bakal mewarisi kekayaan ayahnya. Apatah lagi, melihatkan kemesraan Tengku Farid, sepupunya dengan Emily semakin menambah sakit di hati. Dia bertindak cuba memisahkan kedua mereka asalkan cintanya pada Tengku Farid berbalas.
Berjayakah Sharifah Yasmin melakukannya? Bagaimanakah Tengku Farid melalui kehidupan tanpa Emily? Mampukah Tengku Farid melakukan pengorbanan atau Tengku Farid Sendiri yang terpaksa menjadi korban?
Dengan garapan bahasa yang indah, lembut dan bersahaja, GERIMIS DI HATI pasti meruntun perasaan anda. Sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang pengorbanan!
Sinopsis : TIADA LAGI MIMPI
Kemunculan semula Norseha memerangkap kembali Razif di dalam dilema. Kehadirannya sungguh menyeksa, sungguh mendera. Razif tidak mampu menanganinya sendirian. Mujurlah, Badrul tampil menawarkan pengorbanan demi menjaga maruah keluarga.
Prasangka Norjinah terhadap kejujuran suami, tanda tanya dan teka-teki yang menyelubungi akhirnya terbongkar jua. Kenyataan itu juga membunuh seluruh kepercayaan dan cintanya kepada Razif. Dia berasa kebahagiaan yang dinikmati selama ini terbina dari kepalsuan dan pura-pura. Dunia Norjinah seakan berakhir di situ sahaja.
Norseha... permulaan sebuah sengketa. Rumah tangga kakak sendiri goyah gara-gara kehadirannya. Bukan godaan dan tagihan cintanya yang membuatkan semua berprasangka. Tetapi, Razif dan Norjinah saling berahsia kerana dirinya. Persoalan hanya terjawab apabila realiti terbongkar di depan mata. Namun, siapakah yang harus dipersalahkan apabila rahsia bukan lagi menjadi rahsia?
Siapakah pula yang harus mengalah apabila kepahitan bukan lagi mimpi melainkan kenyataan yang sukar ditelan? Dapatkah Razif dan Norjinah mempertahankan kebahagiaan? Dan, timbulkah keinsafan Norseha apabila diri sehina sampah terbuang yang terbiar di jalanan?
TIADA LAGI MIMPI membongkar episod luka sebuah keluarga, gara-gara kemungkaran dua insan yang tidak mengenal dosa dan pahala...
Sinopsis : TAK SEMANIS IMPIAN
NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”
NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”
RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang?
“Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”
Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.
Sinopsis : TAK SEINDAH MIMPI
Kekosongan jiwa Razif bagaikan terisi melihat kemesraan orang gajinya, Norjinah melayani kerenah anak-anaknya. Norjinah bagaikan sinar yang membawa cahaya bahagia dalam hidup Razif. Dia hampir dapat melupakan kekecewaan setelah ditinggalkan isterinya yang curang, Salmi.
Namun, segala-galanya berubah apabila Razif menerima Salmi semula yang lumpuh akibat kemalangan. Bermula detik itu, Norjinah benar-benar belajar erti sebuah kehidupan. Demi masa depannya, dia kumpulkan segala kekuatan, kesabaran dan memberanikan diri menghadapi segala dugaan dengan hati yang tabah.
Razif pula berperang dalam kemelut rasa kasih, sayang, cinta dan simpatinya yang menuntut sebuah pengorbanan. Apakah yang mendorong ketiga insan ini begitu tekad menentang arus, melupakan kepedihan dan berani berhadapan dengan kenyataan meski pun ada hati yang tercalar luka?
Sesungguhnya, ajal maut, jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Tak Seindah Mimpi sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Suatu rentetan perjalanan hidup yang sesuai dijadikan ikhtibar di samping menginsafi bahawa adakala hidup ini tidak seindah yang diimpikan.
No comments:
Post a Comment