Tuesday, March 16, 2010

Norhayati Berahim


Sinopsis : Sentuhan Kasih
Banjir kerinduan yang berladung di dalam hati tiada siapa yang rasa lemasnya melainkan dia...Namun dia rela menyimpan semuanya di dalam hati...tega membiarkan diri luka sendiri-sendiri. Tapi sampai bila harus disimpan lemas luka hatinya? Dia jauh di negara orang ... lantaran ada yang sudi memberi dahan untuk berpaut, perlukah ditolak? Atau dia masih menanti rendangnya pohon memayungi tatkala turunnya salji, atau terus menanti panasnya bahang asmara untuk memanaskan dinginnya sekeping hati yang telah lama mati...

Sinopsis : SAYANG TAK TERUCAP
TAKDIR menemukan semula Delilah dan Aminudin setelah sekian lama terpisah. Dengan rasa sedih, kecewa dan rajuk berpanjangan, Delilah menolak kehadiran lelaki itu. Baginya sekali hati terguris, lukanya berparut lama. Apa maknanya ayah apabila lelaki itu cuma muncul ketika dia sudah berjaya. Di mana tanggungjawab lelaki itu ketika dia mengharungi saat getir bersama ibu, nenek dan datuknya yang buta.
Sekaya mana pun lelaki itu, masih tidak membuka pintu hatinya. Lelaki itu tidak sama pekerti dengan datuknya. Datuknya yang buta, tapi tidak buta hatinya. Datuknya yang buta tapi tinggi nilai kasih sayangnya.

Pun begitu, mestikah dia membiarkan rasa benci itu terus membelenggu hidupnya? Apalah guna akal fikiran jika tidak digunakan sewajarnya. Perlahan-lahan dia mengerti rahsia kehidupan, menginsafi kelemahan dan kekurangan setiap insan. Malah, jauh di sudut hati dia ingin sekali menikmati dakapan kasih seorang ayah dalam hidupnya.

Ayah... andai kemaafan ini kuberi, namun dapatkah kuberikan setulus kasihku padamu? Ya ALLAH... perkenankanlah doa hamba-MU ini agar kebuntuan dan kekeliruan ini dapat dileraikan.


Sinopsis : HATI SEORANG WANITA

Dia dilahirkan diluar kemahuan ayah dan ibunya. Namun, dia pasrah dengan ketetapan ILAHI walau dendam terus menghuni di hati. Perkahwinan yang diatur kiranya tidak menjanjikan apa-apa. Bagi dia, suami milik isteri yang abadi. Mesti dikasihi sepenuh hati. Rupa-rupanya tidak ada apa yang dapat dipegang pada janji manis seorang lelaki.

Sekian lama mencari di mana harga diri, di mana kesilapa diri, dia bangun semula bersama tekad di hati. Meski disingkir, meski diuji, namun jiwanya tak pernah mati. Bahagia mesti dicari, peristiwa pahit mesti dilupai kerana hati wanitanya percaya, esok masih ada cahaya, masih ada sinar bahagia.


Sinopsis : NOTA CINTA BUATMU

Perpisahan... terlalu sukar rasanya membuat keputusan. Namun kerana harga diri, kerana kasih sayang, Johanna rela berkorban. Biarlah dirawat hati yang luka, biarlah dilalui hari-hari mendatang tanpa suami di sisi. Pergilah Dihrran, carilah kebahagiaan, carilah kasih sayang yang kau perlukan.

Hidup siapa yang menduga, Johanna dipertemukan dengan Graham. Lelaki yang tidak percaya kewujudan agama dan Tuhan. Namun, lelaki itu lelaki istimewa, lelaki yang sering mengerti, lelaki yang paling cepat memahami. Hati yang luka diubati, jiwa yang kosong kini terisi.

Kalutnya rasa bila cinta datang kali kedua, perlukah diusir atau perlukah dibiarkan menghuni dalam hati. Cuma ketika cinta datang semula, Dihrran yang pernah membuangnya dahulu datang menagih hati, menagih simpati!

Hatinya sudah nekad, apa yang berlaku, biarlah berlalu. Dihrran perlu diajar untuk menghargai, untuk menghormati. Dia bukan wanita yang mudah dibuang dan diambil kembali.

Ahh... cerita luka... duka dan cinta ini perlu ada kesudahannya!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails