Tuesday, March 16, 2010

Damya Hanna


Sinopsis : TERNYATA CINTA
      
PENGALAMAN mengajar erti kedewasaan. Begitulah ibarat hidup Qasdina, tonggak harapan keluarganya. Dalam meniti usia remaja, dia bagaimanapun tidak dapat menolak hakikat yang dia juga punya cita-cita untuk digapai. Namun, demi adik-adik yang masih bersekolah dan ayah yang dibebani hutang, impian itu terpaksa dilupakan buat sementara waktu. Dia sebaliknya kini punya misi yang tersendiri! Memburu lelaki kaya!
ZARIEL - Lelaki pertama yang berjaya mencuri perhatian. Kacak, mewah dan romantis! Itu ciri-ciri kesempurnaan yang perlu ada pada lelaki idamannya. Tetapi Zariel tidak seperti yang disangkakan. Lelaki itu terlalu ego sehingga menjengkelkan hati nuraninya.

IQRAM - Kehadiran lelaki ini kerap kali mengganggu emosi. Qasdina jadi rimas sendiri! Tiada langsung kriteria lelaki pujaannya, namun peribadi Iqram yang penuh rahsia dan kesederhanaan sifatnya berjaya meruntun hati si gadis.

Ternyata, cinta itu terlalu indah. Namun, dia juga sedar hanya kejayaan menggapai cita-cita bakal melengkapkan kehidupannya. Jadi, mampukah dia mengorbankan impiannya demi cinta? Ikutkan hati, dia ingin memiliki kedua-duanya sekali! Dan dia tahu yang dia berhak kerana kebahagiaan itu adalah milik setiap insan. Cuma yang pasti, ketentuan ILAHI tetap membatasi segala.


Sinopsis : SAAT CINTA BERSEMI


BENAR, tiada siapa yang mengharap derita sepanjang hidupnya. Begitu jua dengan Nur Dhuha yang tidak pernah mengimpikan duka. Namun, takdir sudah tertulis... kehidupannya terus dirundung malang.

Syamir... walau kewujudan semula lelaki itu tidak pernah dimahukan sama sekali, dia tetap tega memburu Nur Dhuha. Dendamnya begitu mendalam walau episod duka sudah berlalu bertahun lamanya. Nur Dhuha... didera mental dan fizikal seolah tidak layak menikmati hidup. Walau derita, jauh di sudut hati, dia tetap mendambakan kasih dan sayang. Bencinya terhadap Syamir hanya di bibir. Luka yang dicipta Syamir berulang kali dirawat sendiri sehingga sabarnya mencapai kemuncak.

Kehilangan Nur Dhuha meragut keegoan Syamir. Benarlah kata orang, betapa pentingnya seseorang itu hanya dapat dirasai apabila kita kehilangannya. Tatkala hampir kehilangan gadis itu, perlahan-lahan cintanya datang bersemi. Lantas, dia kembali sebagai pemburu demi sebuah kemaafan. Wajarkah kemaafan buat Syamir setelah Nur Dhuha hampir hilang pedoman diri? Masih adakah harapan untuk Nur Dhuha mengecap bahagia?



Sinopsis : SEPI TANPA CINTA


HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!

Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!

Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.

Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali...

 

Sinopsis : BICARA HATI


DALAM satu kemalangan kecil yang tidak disengajakan, Tengku Syahran dan Zahlia bertemu. Ketika itu, Tengku Syahran sedang buntu memikirkan cadangan emaknya ingin menjodohkan dia dengan Linda, seorang wanita yang tidak pernah dicintai.

Seminggu mengenali Zahlia, Tengku Syahran menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Zahlia untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Linda. Zahlia terkejut dengan permintaan Tengku Syahran. Tengku Syahran tidak dikenali dan tidak mungkin Zahlia boleh jatuh cinta dengan pemuda itu.

Zahlia serba salah untuk menerima lamaran itu. Pelbagai cara dilakukan oleh Tengku Syahran untuk memenangi hati Zahlia. Akhirnya Zahlia akur tetapi dengan syarat, iaitu hak-hak peribadi Zahlia tidak akan diganggu.

Setelah diijabkabul, Tengku Syahran mula berubah. Egonya terlalu tinggi dan dia tidak mengikut penjanjian yang telah ditetapkan. Zahlia rasa tertipu. Tengku Syahran telah mungkir janji. Kini timbul pelbagai konflik dalam rumah tangganya.

Benarkah hakikat bahawa perkahwinan yang berdasarkan kontrak tidak dapat mengundang rasa cinta, kasih, sayang dan kerinduan? Bicara Hati sebuah kisah yang dapat mengungkap segala rahsia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails