Thursday, August 11, 2011

Maafkan ku...Sayang - Mimie Afinie

Tajuk Buku : Maafkan ku ... Sayang
Penulis : Mimie Afinie
Penerbit : KarnaDya
Bilangan muka surat : 496


Sinopsis Belakang Buku:
Tanjung Resang, Mersing telah menjadi tempat pilihannya untuk membawa hati yang terluka.  Dia meninggalkan pekerjaan, kemewahan dan segala-galanya.  Biarpun di bumi Mersing nan permai ini dia serba-serbi kekurangan, namun hatinya bahagia, jiwanya damai.  Bagaikan tidak mahu lagi dia berpisah dengan pantai yang indah, yang sering kali membuatkan perasaan lelakinya tercabar.

Di tempat itulah Iskandar Helmi menumpang kasih dan sayang.  Di tempat itu juga dia bertemu Sarah Nadia yang membuatkan dia terlupa pada memori semalam.  Biarlah semuanya berlalu dalam lipatan sejarah.

Namun, tidak semudah itu untuk miliki bahagia.  Terlalu banyak onak dan duri yang sentiasa sahaja menjadi penghalang.

Mungkin dalam kemelutan yang dilalui,  Jeffri lebih berhak kepada hati dan perasaan Sarah Nadia, gadis kampung yang berhati mulia, yang pernah juga suatu ketika terlalu mengharapkan cinta yang akhirnya telah membuat dirinya kecewa.  Cinta yang tidak diberi penilaian yang saksama!
“Takkan ku berhenti mencintaimu… seperti mana jarum jam ini yang tidak pernah berhenti mengejar masa…”  Kata-kata yang terngiang-ngiang di telinganya, yang terus merobekkan hati…

“Maafkan  ku sayang…”  Bisik hatinya di angin lalu.

Ulasan :
Ini merupakan buku pertama tulisan Mimie Afinie yang saya baca...ceritanya agak menarik kerana jalan cerita yang agak susah nak diramalkan.

Selepas kecewa dengan bekas isterinya, Iskandar menumpang kasih di rumah keluarga angkatnya yang juga ibu bapa kepada sahabatnya, Shariman. Hati Iskandar telah terbuka sekali lagi untuk seorang wanita kerana keperibadian yang dimiliki oleh Sarah yang juga merupakan sepupu sahabatnya. Sarah Nadia yang selalu dilanda masalah dapat menanganinya dengan sebaik mungkin dan penuh kesabaran telah menambat hati Iskandar.

Namun untuk membina kebahagiaan, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan. Dari halangan dari orang tua Sameon yang sanggup mempergunakan bapa Sarah yang merupakan seorang penagih dadah sehinggalah Jeffry yang dikenalinya ketika menghadiri temuduga di Kuala Lumpur. Jeffry pada awalnya menaruh minat kepada Sarah, rupa-rupa telah merancang sesuatu kerana dendam terhadap abang sulung Sarah iaitu Saiful.

Jeffry tanpa pengetahuan ibu bapanya telah mempercepatkan tarikh perkahwinan mereka. Tetapi dia tidak hadirkan diri semasa akad nikah kerana ingin memalukan keluarga Sarah. Keluarga Sarah telah mendapat malu kerana peristiwa itu, namun apa yang berlaku ada hikmahnya. Iskandar dan Sarah akhirnya bersatu dan Jeffry telah mengetahui cerita sebenarnya dari ibunya. Kerana dendam Jeffry sanggup mengorbankan hati dan perasaannya yang mula berputik. Kebahagiaan pula menjadi milik Iskandar dan Sarah Nadia.

Rating : **** (sangat berbaloi memiliki buku ini)

Saturday, August 6, 2011

Aura Cinta - Aina Emir

Tajuk : Aura Cinta
Penulis : Aina Emir
Penerbit : KarnaDya
M/S :568

Sinopsis belakang buku:
AURA CINTA semestinya akan membawa anda mengembara ke alam keasmaraan yang lebih mencabar, penuh misteri, ada debaran ... dari muka surat pertama, hingga ke penghabisan!

AURA CINTA menemukan anda kepada Azraai, lelaki melayu yang bertubuh tegap lagi tinggi orangnya. Perjalanan hidupnya mula goyah bila pertama kali bersua dengan sesuatu yang dianggap aneh lagi pelik. Mengapa tiba-tiba saja dirinya teruja?

Aisya Hanan dan Cikgu Sally...mencabar jiwanya yang selama ini dirasakan aman dan tenteram. Dalam kekeliruan, Azraai tidak mampu untuk menepis kasih sayang Nurbaiti, gadis cantik lagi bijak, yang bukan hanya merupakan pilihan ibu tapi gadis itu juga sudah lama taat menantinya. Di manakah letaknya nilai kasih seorang gadis matang, berjiwa murni, sopan santun dan berakhlak tinggi?? Bukankah dia mempunyai pakej lengkap sebagai calon isteri??

Siapa pula Khairul, Anjang Sadang, Serhan Aydin dan Irfan???

Bukan mudah untuk memilih. Tidak juga mudah untuk mengembara ke alam realiti yang penuh fantasi dan ilusi. Anda akan dibawa ke kawasan perkampungan Orang Asli, di daerah Kuala Lipis, Pahang, satu kawasan hutan tropika yang meninggalkan banyak teka-teki untuk Azraai. Panoramanya cukup indah, namun tetap berbeda dari yang biasa. Anda juga akan ke Lembah Kelang dan negara Belgium dalam novel ini. Sama-samalah bertemu dengan karakter-karakter yang semestinya akan membuat anda berkhayal, sambil menimba ilmu yang padat dibekalkan penulis.

Ulasan:
Saya memang agak meminati karya-karya Aina Emir kerana beliau tidak pernah mengecewakan saya dengan gaya bahasa dan perjalanan cerita yang ringkas tepat dan mengasyikkan. Kali ini juga beliau tidak menghampkan saya dengan cerita yang agak penuh dengan rahsia dan tanda tanya.

Azraai mengenali Cikgu Sally dan Aisya Hanan ketika kunjungan ke kampung orang asli untuk kajian dokumentari syarikatnya yang dikongsi dengan adik iparnya sendiri iaitu Khairul. Hati Azraai mula tergugat dengan keletah Aisya Hanan yang agak pelik dan menyendiri. Dengan niat pada mula-mulanya ingin dijadikan Aisya Hanan sebagai 'suka-suka' akhirnya Azraai sedar dia tidak boleh hidup tanpa wanita kenit ini. Nurbaiti yang setia menunggunya tidak pernah membuatkan Azraai berperasaan Aisya Hanan. Hubungannya bersama Nurbaiti yang mempunyai pakej lengkap sebagai seorang isteri tidak mampu menolak cintanya dengan Aisya Hanan.

Namun rahsia Cikgu Sally dan Aisya Hanan banyak menjadi penghalang hubungan mereka. Aisya Hanan yang pernah kecewa dengan seorang lelaki yang 'free-thinker' mendapat tentangan hebat dari ibunya Cikgu Sally. Namun kehadiran Azraai telah mengembalikan keceriaan dalam hidup Aisya Hanan.

Cikgu Sally selama ini pula sebenarnya hidup dalam pelarian kerana dianggap telah melarikan sesuatu milik bapa Khairul. Bapa Khairul telah lama mencari isteri keduanya yang menghilangkan diri semasa Aisya Hanan masih dalam kandungan. Mereka diugut dan diminta memulangkan semula sesuatu milik ibu Khairul. Dalam kekalutan ini, Azraai pula ditinggalkan Aisya Hanan selepas mengetahui statusnya dengan Nurbaiti. Ini telah membawa Aisya Hanan ke Belgium disamping mengikuti pameran lukisannya di sana. Disanalah hati Aisya Hanan ditawan oleh pelukis berketurunan Turki yang sedia menjadikannya suri hidupnya namun hati Aisya Hanan susah untuk memberi ruang kepada lelaki lain walaupun dia menafikannya.

Cikgu Sally sekali lagi menjadi pelarian apabila orang yang selama ini mencarinya telah menjumpainya dengan bantuan Azraai. Azraai pula terdesak antara persahabatan dan cinta. Akhirnya rahsia Cikgu Sally dan Aisya Hanan terbongkar juga.

Apakah dan siapakah yang mengejar Cikgu Sally dan kenapa mereka dikatakan memiliki sesuatu bukan miliknya. Siapakah yang menjadi pilihan Aisya Hanan akhirnya dan siapakah yang merupakan punca segala apa yang berlaku...anda mungkin tertanya-tanya kerana Aina Emir hanya membongkarkan rahsia 23 tahun lepas pada pengakhiran ceritanya. So, dapatkan segera buku ini. Menarik dan mengasyikkan. Dari awal cerita tidak ada yang membosankan.

Rating :*****(berbaloi dijadikan koleksi)

Monday, August 1, 2011

Tasawuf Cinta - M. Hilmi As'ad

Tajuk : Tasawuf Cinta
Penulis : M. Hilmi As'ad
Penerbit :  PTS Litera Utama
Muka Surat : 307
Harga : RM17.00

Sinopsis Belakang Buku :
Janganlah seorang laki-laki berdua-duaan dengan seorang perempuan (bukan muhrim), kerana pihak ketiga adalah syaitan," bisik hati Marham mengingat hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Daud sambil menundukkan kepala di hadapan Rona.

Hati kecil Rona tidak dapat menafikan Marhan, seorang takmir masjid dan pintar dalam bidang tasawuf itu berjaya mencuri hatinya. Marham pun sesungguhnya mencintai Rona, namun baginya cinta suci tidak boleh dicemari, apalagi dinodai beragam bentuk sentuhan fizikal dengan alasan apapun.

Benar sahaja, sudah ramai yang menulis tentang cinta seharusnya suci. Namun pada saat cinta itu mendatangi hati, dosa mampu sahaja tercipta tidak disedari. Inilah permulaan kisah ini, Rona seorang gadis yang mencintai Marham, seorang takmir masjid. Tidak ada dugaan untuk cinta Rona kerana Tuhan memberikan Marham hati yang juga menyimpan cinta.

Pada saat yang indah itu, dugaan cinta suci juga bermula. Cinta suci yang tidak seharusnya wujud sekali dengan dosa., dan kuatkah mereka mencipta diri mereka menjadi tasawuf cinta.

Ulasan:
Ini merupakan buku pertama tulisan M. Hilmi yang saya baca. Jalan ceritanya agak bersahaja dan tak berliku-liku. Gaya bahasanya pula seperti menonton cerita Indonesia di TV. Penulis menggunakan bahasa Ibundanya untuk menulis buku ini. Ini agak menyulitkan saya kerana saya tidak pernah membaca buku dalam bahasa Indonesia.

Bermula dengan pertemuan Marham dan Rona yang membuatkan Marham terpikat oleh kecantikan Rona yang sememangnya telah dimiliki oleh lelaki lain yang hanya bergelar 'teman lelaki' bernama Aryo. Rona memang dilimpahi dengan kekayaan milik Aryo yang tidak lokek membeli apa sahaja untuk Rona. Namun Aryo selalu menyakitkan hati Rona dengan mengungkit pemberiannya. Rona masih bertahan dengan sikap Aryo sehinggalah Marham hadir dalam hidupnya. Marham pula mudah terpikat dengan Rona kerana Rona mirip teman wanitanya yang telah meninggalkannya kerana sahabatnya sendiri.

Akhirnya Rona membuatkan keputusan meninggalkan Aryo namun Marham tidak ketahuinya. Aryo menggunakan khidmat bomoh untuk memiliki Rona semula kerana baginya hanya Rona yang layak menjadi isterinya. Namun kekuatan iman dan ayat-ayat suci Al-Quran telah melindungi Rona daripada hasutan syaitan. Setelah Marham mengetahui kedudukan Rona, dia telah meluahkan rasa hatinya dan mengharapkan cintanya kali ini tidak dicurangi lagi...insyaallah....

Rating : ** (bacaan santai...agak simple)
Related Posts with Thumbnails