Tuesday, April 5, 2011

Pei Pan (RAM)

Tajuk buku : Pei Pan
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
443 m/s
Tamat baca : 04/04/2011
Pemenang Hadiah Sako

Sinopsis Belakang Buku :
KHIANAT. Bukan kerja orang jauh. Bukan niat busuk orang asing. Jauh sekali aniaya musuh. Kerja jiwa yang ditunggang nafsu, dipacu iri berasa dikalahi. Melalui perjalanan masa yang panjan, tenang, terselindung baik, tanpa kocak dan prasangka, baru khianat menampakkan wajah yang sebenar.
Pei Pan cerita tentang kepercayaan, perjuangan, persaingan.
Pei Pan cerita tentang perselingkuhan, pembunuhan, perkomplotan
Pei Pan kisah dunia korporat, penuh warna kehidupan sebu oleh debar meruntun.

Ulasan:
Setelah menukarkan pengakuan dimahkamah, Dato' Karim telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun atas tuduhan membunuh Isteri keduanya. Hubungan Dato' Karim dengan dunia luar hanya dihubungkan dengan peguam yang juga kawan rapatnya dari kecil lagi. Pelbagai berita yang diterima termasuklah kejatuhan syarikatnya dan pekerja yang dipercayainya telah melesapkan sebahagian daripada wang syarikat  telah membuatkan Dato' Karim ingin membunuh diri namun nyawanya masih panjang. Kehadiran Hasan yang membawa Karim ke jalan yang lurus telah mengubah keseluruhan perwatakan dan sifat Karim.


Selepas kerana 10 tahun Karim dibebaskan lebih awal kerana kelakuannya selama berada di dalam penjara. Kepulangannya ke rumah mak mertuanya disambut dingin oleh anak sulungnya yang selalu dicemuh dimata kawan-kawan kerana status anak banduannya. Namun setelah disedarkan oleh Neneknya, Mustafa akhirnya memohon maaf atas kesalahannya. Karim akhirnya bertekad ingin membina semula KM Holding Berhad dengan bantuan Mustafa dan 2 anak perempuannya. Berbekalkan tanah kelapa sawit yang masih menjadi miliknya dan duit 20 juta yang diselamatkan oleh pembantunya. Karim berjaya membina kilang pemprosesan minyak kelapa sawit dengan nama yang berlainan. 


Rahsia 10 tahun dahulu juga telah terungkai dengan penemuan sebuah video tape yang selama ini disimpan di dalam peti simpanan disalah sebuah bank. Identiti sebenar Abang Besar yang merupakan dalang atau mastermind sehingga Karim dituduh membunuh juga terbongkar namun Karim tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana Abang Besar juga telah banyak berjasa kepadanya. Namun selepas kematian Mustafa yang hampir berkahwin dengan Mira anak Pak Karim pembantu rumahnya telah membawa kepada penangkapan Abang Besar. 


Siapakah Abang Besar? Dari awal cerita saya dah boleh agak siapa sebenarnya Mastermind dalam cerita ini. Mungkin pembaca lainpun boleh agak siapakah orangnya. Buku ini banyak menunjukkan betapa manusia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerana harta dan kedudukan. Pembunuhan seperti satu permainan dalam mencapai apa yang kehendaki. Namun ada juga insan yang jujur dan amanah yang mampu mematahkan setiap kejahatan walaupun mengambil masa yang lama. Walaupun kejahatan tidak dibalas dengan kejahatan namun ada Pencipta yang akan membalasnya kelak. Tiada siapa dapat lari dari balasanNya. Jika tidak didunia, diakhirat nanti.

Rating : ***** (berbaloi dijadikan koleksi)

Thursday, March 31, 2011

Cinta Pertama : Norhayati Berahim

Tajuk : Cinta Pertama
Penulis : Norhayati Berahim
Penerbit : Alaf21
505m/s
Tarikh tamat baca : 30/3/2011

Sinopsis belakang buku :
Dia lelaki tampan yang mempunyai segala-galanya. Namun dia juga insan biasa yang punya kekurangan. Dia tidak sesekali percaya pada cinta. Bagi dia cinta suci hanya sekadar omongan yang tidak pernah menjadi kenyataan. Baginya, mana ada perempuan yang setia, mana ada perempuan yang suci cintanya. Selagi kesan luka masih terasa, masih kukuh menampar ingatan, dia lebih senang sendirian. Tidak disakiti dan menyakiti.

Secantik mana gadis yang hadir, rasa cinta tetap asing dalam hatinya. Tapi sampai bila dia mampu mengasingkan cinta dengan dirinya. Lantas, ketika hadir seorang gadis yang penuh pengertian dan kejujuran, tercuit jua tangkai hati dan perasaan. Apakah akan dibiarkan igauan lampau menguasai diri hingga rasa cinta yang mula bertunas tidak sempat dinikmati... atau memberi ruang pada cinta yang pertama kali mengetuk hati?

Dia keliru, adakah ini yang dinamakan cinta pertama... terseksa dalam keindahan?

Ulasan : 
Seperti buku  Norhayati Berahim (NB) jugak yang bertemakan kisah cinta. Buku ini ingin membawa pembaca kepada apa erti sebenar sebuah cinta. Bagaimana rasanya Cinta Pertama dalam hidup seseorang. Cinta yang penuh dengan dugaan dan pengorbanan. Cinta sebenar adalah cinta yang dimiliki, dirasai, dinikmati dan dihargai.


Pertemuan pertama Carl Zafran dan Nurul Iman membawa kepada bibit2 cinta antara mereka berdua setelah Iman diterima bekerja di bawah syarikat yang sama dan seterusnya bekerja dibawah Carl sendiri. Carl yang dibayangi peristiwa lama tidak dapat menerima perempuan dalam hidupnya. Namun kehadiran dan ketenangan Iman mengubah persepsinya terhadap kaum wanita. Begitu juga dengan Iman yang menganggap bahawa kaum lelaki tak setia namun bila bersama Carl, itulah saat bahagia yang dapat dirasai. Perasaan cinta antara mereka berdua hadir tanpa disedari. 


Apabila Iman ditunangkan dengan pilihan emaknya, Carl membawa diri yang terluka ke Zurich. Mereka berdua cuba melawan perasaan cinta masing namun makin cuba dilupakan makin hatinya menjadi tak menentu. 

Namun nasib menyebelahi mereka apabila Miza ditangkap berdua-duaan dengan bakal abang iparnya sendiri dan dalam masa yang sama juga Iman mengetahui siapakah diri dia yang sebenarnya. Iman membawa diri ke rumah Pak Tabib yang dianggap seperti ayahnya sendiri. Pak Tabib meminta bantuan Carl dan akhirnya terungkailah segala-galanya. Carl terus meminang Iman dan mereka bersatu.


Siapakah sebenarnya Iman dan apakah hubungan Pak Tabib dengan Iman. Peristiwa 25 tahun dahulu dibangkitkan semula. Dari awal cerita saya dah boleh agak kesudahan cerita ini cuma jalan cerita yang saya nak tahu...so bolehlah baca buku nih kalau nak tahu apa sebenarnya yang berlaku 25 tahun dahulu..namun kesudahannya mereka hidup dalam keluarga yang besar dan bahagia...

Rating : *** (biasa je)

Tuesday, March 29, 2011

Hatiku di Harajuku (RAM)

Tajuk Buku : Hatiku di Harajuku
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21
582 m/s
Tarikh tamat baca : 27/3/2011
Harga : RM19.90


Sinopsis di belakang buku :
Ryu-Watanabe berasa tidak dirahmati; dilahirkan di penjara dan membesar di rumah kebajikan. Sepanjang hidupnya tidak pernah tenteram lalu membawa diri ke Jepun. Dia menyertai satu kumpulan yakuza dan menjadi samurai yang mahir bermain pedang. Jenaya adalah gelanggang permainannya dan penamat permainan itu adalah maut.

Dalam kumpulan itu, dia jatuh cinta dengan Noriko. Kisah mereka dan kumpulan yakuza menjadi tarikan kepada Sabrina untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Dia bersama Murni melancong ke Tokyo untuk mencari Ryu-Watanabe.

Adakah mereka dapat menemui Ryu-Watanabe? Siapa sebenarnya Ryu-Watanabe itu? Adakah dia menyesal menganggotai kumpulan yakuza dan menjadi samurai?

Ulasan:
RAM memang tidak pernah mengecewakan pembacanya. Kesemua buku beliau tidak pernah sama atau seakan-akan ceritanya. Cerita dan jalan cerita memang berlainan antara buku-bukunya. Kali ini beliau menjadikan negara Jepun sebagai lokasi utama cerita.

Ryu-Watanabe pulang semula ke Jepun kerana pembunuhan yang berlaku di sana. Beliau ingin menyiasat kerana dia percaya Noriko masih hidup berdasarkan pembunuhan dan tanda-tanda yang ditinggalkan. Tetapi beliau tidak mengetahui bahawa kumpulan Yakuza Jiro mengesyaki Ryu-Watanabe yang melakukan semua pembunuhan itu. Namun perginya bukan seorang kerana Sabrina yang berminat terhadap mitos Ryu-Watanabe dan Noriko membuatkan beliau mengambil keputusan ke Jepun bersama Murni sepupunya. Lebih-lebih lagi Sabrina juga ingin memastikan bahawa adakah pekerjanya Risham adalah Ryu-Watanabe sebenarnya kerana Risham yang pernah menyelamatkannya dari malapetaka.


Ryu-Watanabe menjadi sasaran Yakuza Jiro dan Sabrina dijadikan umpan untuk sampai kepada  Ryu-Watanabe. Namun kerana cemburu Noriko, Sabrina hampir kehilangan nyawa dihujung pedang Tou Aii milik Noriko. Noriko akhirnya mengalah dan ingin meneruskan niatnya untuk menghancurkan keseluruhan Yakuza Jiro. Selepas cuba membunuh ketua Yakuza Jiro, Saito Noriko telah membunuh diri kampungnya. Ryu-Watanabe tidak sempat menyekat niat Noriko daripada terus membunuh seterusnya membunuh dirinya sendiri selepas hajatnya tercapai.


Akhirnya Ryu-Watanabe pulang semula ke Malaysia berbekalkan wang yang dikumpulkan hasil dari bekerja di kilang pemprosesan ikan. Kepulangannya telah merungkaikan siapa ayahnya yang sebenarnya dan juga mempunyai adik beradik sebapa. Namun berlaku pelbagai siri pembunuh sehingga Ryu-Watanabe percaya mungkin dia sendiri yang melakukan pembunuhan itu tanpa disedari sehinggakan Sabrina hilang kepercayaan terhadap Ryu-Watanabe. Tetapi rupa-rupanya ada insan lain yang merancang segala-galanya. Namun akhirnya tumpas di tangan Ryu-Watanabe. Selepas itu Ryu-Watanabe terus menghilang dan hidup bahagia di 'Strawberry Harajuku'. 


Siapakah yang merancang semua pembunuhan di Malaysia dan siapakah yang hidup bahagia bersama Ryu-Watanabe? Dapatkan buku ini untuk mengetahui endingnya. Bagi saya 'Ending'nya agak mengejutkan  tetapi saya amat berpuashati. RAM selalu memberikan ending yang menarik tetapi simple...

Rating : ***** (berbaloi dijadikan koleksi)
Related Posts with Thumbnails