Monday, December 20, 2010

Harta Itu Aku Punya! - N.J. Neri

Tajuk : Harta Itu Aku Punya!
Penulis : N.J Neri
Penerbit : PTS One Sdn Bhd

Sinopsis Belakang Buku:
"Pak Cik Mansur orang yang sangat kaya. Ayah pasti ladangnya tidak ke mana-mana. Dia rajin dan tekun bekerja. Malangnya dia tidak ada anak ataupun waris. Ayah yakin kamulah satu-satunya waris yang dia ada."

Mata Adana terbuka luas. Dia cepat-cepat menutup mulut yang terlopong. Betulkah dia pewaris ladang bernilai jutaan ringgit?

Sejak ayahnya diisytiharkan muflis dan dipenjarakan, Adana hilang segala-galanya. Rumah besar. Kereta mewah. Pakaian mahal. Duit untuk berbelanja. Mungkinkah ini peluang untuknya kembali menjadi kaya dan hidup seperti puteri raja.

Adana tidak peduli. Walau apa pun kesusahan yang perlu dia tempuh bagi memenangi hati Pak Cik Mansur, dia sanggup! Baginya, harta itu dia punya!

Ulasan:
Cerita ini agak simple sahaja. Adana sanggup menerima 2 syarat yang telah ditetapkan Pak Cik Mansur jika ingin menjadi pewarisnya. Bekerja di ladang memang amat memenatkan tetapi Adana akhirnya lebih menghargai ladang-ladang itu. Bekerja dengan pekerja lain yang tidak mengetahui latar belakangnya juga memang mencabar kesabarannya. Akhirnya, niatnya untuk menjual ladang tersebut selepas berjaya mewarisinya tidak diteruskan. Kerjaya untuk membaiki rumah besar di atas bukit yang pernah dijilat api memang memberi cabaran kepadanya. Namun dengan pertolongan daripada Lukman dan Maizura yang setia membantunya,  akhirnya mereka berjaya merubah rumah yang hampir runtuh menjadi seperti istana.

Kehadiran anak angkat Pak Cik Mansur yang disangkakan anak Pak Cik Mansur seperti bertemu buku dengan ruas. Kelakuan Linda yang agak berlagak memang membuatkan Adana menyampah. Akhirnya rancangan Linda untuk menyingkirkan Adana dari senarai pewaris harta telah diketahui oleh Adana dengan bantuan Lukman. Adana akhirnya membuang syak wasangkanya terhadap Lukman selama ini.

Di akhir cerita, rumah yang telah diubahsuai oleh Adana sendiri telah diserahkan kepada ibubapanya sendiri dan Adana telah layak untuk mewarisi harta jutaan ringgit itu. Dia juga tak akan sekali-sekali melepaskan ladang itu kepada orang lain kerana dia telah mula menyayangi apa yang telah dilakukan selama ini; dan niat Tuan Mansur juga telah terlaksana.

Rating : *** (bacaan santai sahaja)

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails