Thursday, October 20, 2011

Mencari Jalan Ke Syurga - Hasliza Ismail

Tajuk : Mencari Jalan Ke Syurga
Penulis : Hasliza Ismail
Penerbit : Kaki Novel Enterprise
m/s : 536


Sinopsis Belakang Buku: 

Satu kemalangan tragis telah meragut semua yang Khirana miliki; memorinya dan juga insan tercinta. Setelah dua tahun koma, dia bangkit semula lalu bertatih untuk memulakan hidup baharu dan berubah menjadi insan yang berbeza.

Namun, kemunculan Shahrul Azwan telah memaksa Khirana berhadapan dengan dosa semalamnya. Kebencian dan dendam kesumat lelaki itu membuatkan Khirana berjuang untuk mengembalikan semula ingatannya. Bayangan hitam mula menghantui diri dan cuba untuk menyesatkan laluannya. Dugaan yang datang bertimpa-timpa hampir melemahkan imannya.


Di mata Shahrul Azwan, Khirana adalah seorang perempuan jalang yang telah menghancurkan maruah keluarganya. Hutang nyawa mesti dibalas dengan nyawa! Namun dia buntu apabila setiap kali menyakiti wanita itu, hatinya turut sama terluka.  Keperibadian Khirana telah meruntuhkan tembok kebencian di dalam dirinya. Bila hati sudah tertawan, dia terpaksa memilih di antara keluarga dan cintanya. Walau jalan mana yang dipilih, kesudahannya pasti menuntut satu jiwa sebagai pertaruhan.

Ulasan:
Ini merupakan buku pertama tulisan Hasliza Ismail (HI) yang saya baca. HI tidak mengecewakan saya kerana jalan ceritanya disusun rapi dan penuh dengan teka-teki. Pada awal cerita saya seperti boleh mengagak apa yang ingin diceritakan dan apa rahsia disebalik kemalangan yang berlaku yang menyebabkan Khirana hilang hampir kesemua ingatan masa lampaunya. Imbasan peristiwa 2 tahun dahulu disusun rapi dengan diselangi dengan cerita semasa. Watak Khirana agak menarik dan perasaan yang wujud di antara Khirana dan Shahrul Azwan hanya dikupas bersahaja oleh penulis. Penulis banyak memberi tumpuan kepada peristiwa hitam yang dilakukan oleh Khirana kepada keluarga Shahrul.

Shahrul yang pada mulanya mempunyai agenda untuk membalas dendam, tidak mampu menolak perasaan yang mula berputik kerana kebaikan dan keinsafan Khirana. Khirana berdepan dengan pelbagai dugaan bermula dengan kehilangan seorang kawan yang amat dikasihi sehinggalah dia hampir mati buat kali keduanya kerana dendam seorang isteri yang mengalami tekanan jiwa. Di saat Shahrul cuba mengecapi kebahagiaan bersama Khirana dan di saat Khirana mula mengingati semula sejarah silamnya, Khirana ditikam kerana dendam seorang isteri. Namun jodoh Khirana dan Shahrul masih utuh. Mereka akhirnya mengecapi bahagia di perantauan kerana Shahrul terpaksa melepaskan segala miliknya di Malaysia untuk menyelamatkan satu-satunya adik lelakinya.

Apakah yang telah dilakukan oleh adiknya dan apakah sejarah hitam yang telah Khirana lakukan sehingga nyawa mesti dibalas dengan nyawa? Siapakan yang membunuh kawan baik Khirana? dan siapa pula yang cuba membunuh Khirana untuk kali kedua? Untuk mengetahuinya, bolehlah beli buku ni. Saya amat berpuashati dengan tulisan HI ini dan akan terus membaca karya beliau.

Rating : ***** (sangat berbaloi dijadikan koleksi)

Monday, October 17, 2011

Cinta Sufi - Ramlee Awang Murshid

Tajuk Buku : Cinta Sufi
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21
m/s : 509


Sinopsis belakang buku:
Pilu hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari ‘lelaki bertanduk dua’.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna… bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi.

CINTA SUFI
Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Ulasan:
Cinta Sufi merupakan kesinambungan daripada trilogi Bagaikan Puteri. Agak lama jugaklah saya nak mula membaca buku ini kerana banyak buku lain yang perlu saya habiskan terlebih dahulu. Pada awal cerita, agak slow sikik kerana Laksamana Sunan masih lemah dan tak mampu untuk menentang sebarang musuh. Laksamana Sunan (LS) telah diselamatkan oleh Catalina kerana Catalina menganggap LS adalah lelaki bertanduk dua yang diilhamkan dari mimpi bertemu Maryam. Menjadikan LS sebagai hamba sahayanya, Catalina memulakan perjalanan menjejaki Maryam yang berada di Hulu Melaka. Ketika LS hampir kehilangan nyawa di tangan Pangeran Garitno dan Puteri Kober Gandring, LS telah diselamatkan oleh bangsa Polip yang akhirnya merawat kelemahan yang dialaminya. Setelah pulih, LS meneruskan perjalanan ke Hulu Melaka bersama Catalina kerana kunjungan Catalina adalah perjalanan yang menuju takwa dan iman. Pelbagai rintangan diharungi oleh mereka bertiga (termasuk penjaga Catalina bernama Renata) dan kebanyakanya adalah bersifat batil. Renata juga menjadi penghalang terakhir perjalanan mereka ke Hulu Melaka. Dalam masa yang sama, penduduk di Hulu Melaka sedang bersiap untuk berperang dengan bala tentera Portugis kerana menyangka adanya emas yang ditinggalkan oleh Aryas Do Lopo (suami Catalina). Dengan kerjasama dari bangsa Polip dan LS, Portugis telah kalah peperangan tersebut dan Catalina berjaya menemui Mariam tetapi, Mariam yang ditemuinya baru berumur 10 tahun. Akhirnya Catalina memeluk Islam dan nama Maryam menjadi pilihannya.

Disamping itu, Luna yang merupakan salah seorang bangsa Polip telah jatuh cinta kepada LS dan LS pula terpukau dengan kecantikan Catalina. Namun cinta Luna mendapat tentangan daripada pemimpin bangsa polip kerana tidak mungkin akan bangsa polip boleh berkahwin dengan manusia. Di akhir cerita RAM tidak pula menghabiskan kisah cinta segitiga ini, dan mungkin pengakhirannya dalam buku seterusnya iaitu sutera bidadari.

Bagi saya, Cinta Sufi ini tidak jauh beza daripada trilogi yang terdahulu. Sifat LS dan ketangkasan menentang kebatilan terus diterap dengan baik dan sempurna. Pembaca yang meminati sesuai yang agak fantasi akan berpuashati dengan aksi dan peperangan yang digambarkan. Saya memang tidak pernah menyesal membaca dan mengumpul buku-buku RAM. Tunggulah sinopsis Sutera Bidadari nanti...

Rating : **** (best)

Sunday, August 21, 2011

Gelora - Ma Lee Chuswan


Tajuk buku : Gelora
Penulis : Ma Lee Chuswan
Penerbit :  Kaki Novel
m/s : 338

Sinopsis Belakang Buku:
Mila menyesal. Tetapi segalanya telah terlambat. Lelaki itu sedar siapa dirinya…pastinya dia pergi membawa hatinya yang luka. Dan luka itu sudah terlalu parah, sukar disembuhkan lagi. Atau mungkin tidak akan sembuh untuk selamanya.

Kini tahulah Mila siapa sebenarnya lelaki itu. Lelaki yang dibencinya selama ini. Terlalu lama dia mendendami lelaki itu. Dan lelaki itu tidak pernah menunjukkan kebencian…itulah sat-satunya lelaki yang menyintainya di dunia ini, tetapi dia tidak pernah menghargainya. Lelaki itu telah pergi jauh…dia mahu mengejar lelaki itu tetapi nasi sudah menjadi bubur. Tak mungkin lelaki itu kembali lagi…

Ulasan:
Tulisan Ma Lee Chuswan (MLC) kali ini agak kurang menarik jika dibandingkan 2 novel terdahulu yang saya pernah baca. MLC banyak menerangkan apa yang berlaku daripada menggunakan dialog-dialog antara watak-wataknya. Tak hairanlah bukunya kali ini lebih kurang 300 mukasurat sahaja. Cerita agak simple dan tak banyak nak putar belit cuma punca utama kenapa membenci Adam yang membuatkan cerita ini agak menarik.

Mila menyangkakan selama ini Adam yang merupakan anak angkat ayahnya sendiri yang menjadi punca segala-segalanya. Sikap Adam yang tegas dan berdisplin menjadi bebas dalam hidupnya. Kerana Adam jugalah yang menyebabkan Mila dihantar belajar keluar Negara selama 5 tahun. Pulangnya Mila untuk meneraju syarikat ayahnya mendatangkan pelbagai masalah antara mereka berdua. Lebih-lebih lagi dendam yang telah lama tersimpan di hati Mila. Baginya Adam cuma menumpang kekayaan ayahnya. Perkahwinan Mila sama sekali tidak mengubah persepsi Mila terhadap Adam. Mila merasakan Adam ingin merampas segala-segala daripadanya.

Setelah mengetahui punca sebenar kebencian Mila terhadap Adam, Mila akhirnya menyesal. Segala-galanya telah dirancang oleh seseorang yang amat membenci Mila. Dan dia jugalah menjadi punca kematian mengejut Dato’ Mustaffar, ayah Mila. Namun penyesalan Mila sudah terlambat. Adam telah membawa diri dan meninggalkan Mila dalam keadaan gantung tak bertali. Namun jodoh mereka panjang…setelah rajuknya hilang, mereka kembali bersatu. Sesungguhnya kasih dan sayang Adam pada Mila membuktikan segala-galanya.

Siapa yang menjadi punca kebencian Mila? Siapa pula punca kematian ayah Mila..? Semuanya terjawab dlm buku ini….

Rating : *** (cerita simple sahaja)
Related Posts with Thumbnails