Sunday, April 10, 2011

Selagi Ada Dia - Aisya Sofea

Tajuk buku : Selagi Ada Dia
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf21
Tamat Baca : 8 April 2011
503 m/s


Sinopsis Belakang Buku:
PERTEMUAN tanpa dirancang telah membuka pintu hati Arianni untuk mengenal erti cinta. Apatah lagi, lelaki itu berjanji menjadikan dia sebahagian hidupnya, berjanji bahawa segalanya mampu ditangani dan berjanji akan mempertahankan cinta mereka.

Namun, kasih yang disulam, janji yang dimaterai terlerai akhirnya bila terbongkar satu rahsia yang tidak terduga. Sebagai wanita bermaruah, Arianni nekad menoktahkan segala impian. Cinta pertamanya harus dibuang jauh daripada kotak ingatan. Lelaki itu bukan untuknya.

Tahun berlalu... hadirlah lelaki baru dalam hidupnya. Sayangnya, pintu hati dia masih tertutup rapat. Rasa terluka itu masih ada. Baginya, cinta kedua tidak membawa sebarang makna; tiada keikhlasan, tiada kejujuran. Lalu bagaimana? Selama manakah lagi harus dia tunggu untuk mengecap nikmat kebahagiaan? Terlalu memilihkah dia?


Ulasan:
Selepas dikecewakan oleh lelaki yang tiada pendirian dan dituduh menjadi perampas kekasih kakaknya sendiri, Arianni membawa diri ke luar negara. Lebih-lebih lagi kerana melanjutkan pelajarannya keperingkat yang lebih tinggi. Setelah 3 tahun diperantauan, Arianni pulang semula ke Malaysia kerana ingin menjaga kedua ibu bapanya. Perjalanan pulang menitipkan perkenalan baru dengan seorang duda yang telah kematian isteri dan umurnya agak jauh lebih tua daripada Arianni. 


Kepulangan Arianni ke Malaysia memberi tamparan hebat kepadanya kerana kekasih yang ditinggalkan dulu kembali merayu kepadanya. Hubungan Arianni dengan kakaknya semakin 'parah' sehingga kakaknya sanggup melakukan apa saja untuk memenangi kekasihnya semula walaupun dia sendiri pernah membatalkan pertunangan. Namun Arianni sayang dan kasih Arianni kepadanya telah pudar dengan kehadiran Idris yang dikenalinya selama beberapa jam sahaja. Idrislah yang menjadi pendengar setia masalah-masalah yang dihadapinya. Namun permintaan mak tidak dapat ditolak. Arianni 'terpaksa rela' berkahwin dengan pilihan maknya sendiri. Arianni pasrah kerana baginya tidak ada yang lebih membahagiakan seorang anak selain daripada membuat Ibu Bapa gembira. Tetapi, takdir telah ditentukan dan Arianni bahagia disamping suami yang tercinta walaupun banyak dugaan yang telah menimpa.


Cerita Aisya Sofea kali ini agak santai dan bersahaja. Saya boleh agak apa yang ingin diceritakan dan siapakah pilihan Arianni akhirnya. Namun buku ini agak kurang penghayatan dibandingkan dengan buku-bukunya yang terdahulu. Tetapi gaya bahasa yang digunakan dan kejutan-kejutan mampu membuatkan pembaca (saya sendiri) ingin terus menghabiskan buku ini.


Rating : *** (bacaian santai sahaja)

Tuesday, April 5, 2011

Pei Pan (RAM)

Tajuk buku : Pei Pan
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
443 m/s
Tamat baca : 04/04/2011
Pemenang Hadiah Sako

Sinopsis Belakang Buku :
KHIANAT. Bukan kerja orang jauh. Bukan niat busuk orang asing. Jauh sekali aniaya musuh. Kerja jiwa yang ditunggang nafsu, dipacu iri berasa dikalahi. Melalui perjalanan masa yang panjan, tenang, terselindung baik, tanpa kocak dan prasangka, baru khianat menampakkan wajah yang sebenar.
Pei Pan cerita tentang kepercayaan, perjuangan, persaingan.
Pei Pan cerita tentang perselingkuhan, pembunuhan, perkomplotan
Pei Pan kisah dunia korporat, penuh warna kehidupan sebu oleh debar meruntun.

Ulasan:
Setelah menukarkan pengakuan dimahkamah, Dato' Karim telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun atas tuduhan membunuh Isteri keduanya. Hubungan Dato' Karim dengan dunia luar hanya dihubungkan dengan peguam yang juga kawan rapatnya dari kecil lagi. Pelbagai berita yang diterima termasuklah kejatuhan syarikatnya dan pekerja yang dipercayainya telah melesapkan sebahagian daripada wang syarikat  telah membuatkan Dato' Karim ingin membunuh diri namun nyawanya masih panjang. Kehadiran Hasan yang membawa Karim ke jalan yang lurus telah mengubah keseluruhan perwatakan dan sifat Karim.


Selepas kerana 10 tahun Karim dibebaskan lebih awal kerana kelakuannya selama berada di dalam penjara. Kepulangannya ke rumah mak mertuanya disambut dingin oleh anak sulungnya yang selalu dicemuh dimata kawan-kawan kerana status anak banduannya. Namun setelah disedarkan oleh Neneknya, Mustafa akhirnya memohon maaf atas kesalahannya. Karim akhirnya bertekad ingin membina semula KM Holding Berhad dengan bantuan Mustafa dan 2 anak perempuannya. Berbekalkan tanah kelapa sawit yang masih menjadi miliknya dan duit 20 juta yang diselamatkan oleh pembantunya. Karim berjaya membina kilang pemprosesan minyak kelapa sawit dengan nama yang berlainan. 


Rahsia 10 tahun dahulu juga telah terungkai dengan penemuan sebuah video tape yang selama ini disimpan di dalam peti simpanan disalah sebuah bank. Identiti sebenar Abang Besar yang merupakan dalang atau mastermind sehingga Karim dituduh membunuh juga terbongkar namun Karim tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana Abang Besar juga telah banyak berjasa kepadanya. Namun selepas kematian Mustafa yang hampir berkahwin dengan Mira anak Pak Karim pembantu rumahnya telah membawa kepada penangkapan Abang Besar. 


Siapakah Abang Besar? Dari awal cerita saya dah boleh agak siapa sebenarnya Mastermind dalam cerita ini. Mungkin pembaca lainpun boleh agak siapakah orangnya. Buku ini banyak menunjukkan betapa manusia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerana harta dan kedudukan. Pembunuhan seperti satu permainan dalam mencapai apa yang kehendaki. Namun ada juga insan yang jujur dan amanah yang mampu mematahkan setiap kejahatan walaupun mengambil masa yang lama. Walaupun kejahatan tidak dibalas dengan kejahatan namun ada Pencipta yang akan membalasnya kelak. Tiada siapa dapat lari dari balasanNya. Jika tidak didunia, diakhirat nanti.

Rating : ***** (berbaloi dijadikan koleksi)

Thursday, March 31, 2011

Cinta Pertama : Norhayati Berahim

Tajuk : Cinta Pertama
Penulis : Norhayati Berahim
Penerbit : Alaf21
505m/s
Tarikh tamat baca : 30/3/2011

Sinopsis belakang buku :
Dia lelaki tampan yang mempunyai segala-galanya. Namun dia juga insan biasa yang punya kekurangan. Dia tidak sesekali percaya pada cinta. Bagi dia cinta suci hanya sekadar omongan yang tidak pernah menjadi kenyataan. Baginya, mana ada perempuan yang setia, mana ada perempuan yang suci cintanya. Selagi kesan luka masih terasa, masih kukuh menampar ingatan, dia lebih senang sendirian. Tidak disakiti dan menyakiti.

Secantik mana gadis yang hadir, rasa cinta tetap asing dalam hatinya. Tapi sampai bila dia mampu mengasingkan cinta dengan dirinya. Lantas, ketika hadir seorang gadis yang penuh pengertian dan kejujuran, tercuit jua tangkai hati dan perasaan. Apakah akan dibiarkan igauan lampau menguasai diri hingga rasa cinta yang mula bertunas tidak sempat dinikmati... atau memberi ruang pada cinta yang pertama kali mengetuk hati?

Dia keliru, adakah ini yang dinamakan cinta pertama... terseksa dalam keindahan?

Ulasan : 
Seperti buku  Norhayati Berahim (NB) jugak yang bertemakan kisah cinta. Buku ini ingin membawa pembaca kepada apa erti sebenar sebuah cinta. Bagaimana rasanya Cinta Pertama dalam hidup seseorang. Cinta yang penuh dengan dugaan dan pengorbanan. Cinta sebenar adalah cinta yang dimiliki, dirasai, dinikmati dan dihargai.


Pertemuan pertama Carl Zafran dan Nurul Iman membawa kepada bibit2 cinta antara mereka berdua setelah Iman diterima bekerja di bawah syarikat yang sama dan seterusnya bekerja dibawah Carl sendiri. Carl yang dibayangi peristiwa lama tidak dapat menerima perempuan dalam hidupnya. Namun kehadiran dan ketenangan Iman mengubah persepsinya terhadap kaum wanita. Begitu juga dengan Iman yang menganggap bahawa kaum lelaki tak setia namun bila bersama Carl, itulah saat bahagia yang dapat dirasai. Perasaan cinta antara mereka berdua hadir tanpa disedari. 


Apabila Iman ditunangkan dengan pilihan emaknya, Carl membawa diri yang terluka ke Zurich. Mereka berdua cuba melawan perasaan cinta masing namun makin cuba dilupakan makin hatinya menjadi tak menentu. 

Namun nasib menyebelahi mereka apabila Miza ditangkap berdua-duaan dengan bakal abang iparnya sendiri dan dalam masa yang sama juga Iman mengetahui siapakah diri dia yang sebenarnya. Iman membawa diri ke rumah Pak Tabib yang dianggap seperti ayahnya sendiri. Pak Tabib meminta bantuan Carl dan akhirnya terungkailah segala-galanya. Carl terus meminang Iman dan mereka bersatu.


Siapakah sebenarnya Iman dan apakah hubungan Pak Tabib dengan Iman. Peristiwa 25 tahun dahulu dibangkitkan semula. Dari awal cerita saya dah boleh agak kesudahan cerita ini cuma jalan cerita yang saya nak tahu...so bolehlah baca buku nih kalau nak tahu apa sebenarnya yang berlaku 25 tahun dahulu..namun kesudahannya mereka hidup dalam keluarga yang besar dan bahagia...

Rating : *** (biasa je)
Related Posts with Thumbnails