Thursday, January 26, 2012

M.A.I.D - Suri Ryana

Tajuk : M.A.I.D
Penulis : Suri Ryana
Penerbit : Kaki novel
Bil M/S : 753 m/s
Sinopsis Belakang Buku:
Terdesak untuk melucutkan gelaran penganggur yang disandangnya, Noorul rela dalam terpaksa menjawat jawatan sebagai pembantu rumah kepada Harris Tan Sri Hamdan. Sikapnya yang cepat gelabah sering mengundang kemarahan Harris, si cerewet tahap gaban hingga menyebabkan Noorul menggelarnya Mr. F (fussy).

Daripada berbalas-balas nota berkaitan dengan kerja pada awalnya, boleh pula mereka makan semeja.

Fitnah yang melanda menyebabkan Noorul dan Mr. F terpaksa disatukan. Siapa punya angkara? Asyraf? Musuh perniagaan Tan Sri Hamdan?

Serabutnya Noorul hanya Allah yang tahu. Dia terpaksa berhadapan dengan Puan Sri Kirana yang enggan menerimanya sebagai menantu, Elisa - perempuan 'plastik' yang tergedik-gedik memburu cinta Mr. F, Nurina - bekas kekasih Mr. F dan si petualang yang mengharu-birukan hidupnya.

Apakah perisai Noorul untuk menghadapi pancaroba ini? 'Kuali'? 'Sudip'?

Ulasan:
Buku pertama tulisan Suri memang sangat memuaskan. Banyak adegan-adegan yang melucukan dan tak kurang juga babak-babak sedih yang agak simple. Tebal buku memang tak menghalang saya menghabiskan buku ini disepanjang perjalanan dari KL ke Kelantan. Ada orang lain yang cadangkan supaya saya membeli buku ini sbb ramai cakap memang best dan kelakar.. so memang betullah...puas hati...

Jawatan orang gaji memang agak mustahil sebenarnya buat insan bernama Noorul kerana mengemas dan memasak tak pernah dilakukanpun di kampungnya sebelum ini. Namun dengan tekad untuk memenuhi manusia paling cerewet itu, Noorul rela masuk kelas memasak bersama BFFnya Iman. Arahan-arahan kepada Noorul hanya menggunakan nota sahaja. Ala-ala perangkappun ada jugak...

Kerana fitnah yang diterima, Noorul terpaksa menerima Harris sebagai suami walaupun ada insan lain yang mengejar cintanya. Hubungan mereka masih seperti majikan dan pekerja walaupun sudah berkahwin, malah tudungpun Noorul segan nak buka di depan suaminya sendiri. Namun selepas Harris mengetahui 'status'nya di hati Noorul, semuanya telah berubah. Dalam masa yang sama Noorul juga terpaksa menepis 2 insan yang masih menagih cinta Harris. Siapakah insan istimewa di hati Noorul? Macamana Harris menyelongkar apa yang dipendam Noorul? Bagaimanakah Puan Sri boleh berubah? Siapakah yang memfitnah Noorul?...semuanya akan terjawab di akhir cerita. So buku ni memang sesuai sangatlah kalau nak buat koleksi. Kalau ada kedai sewa buku, kena beli banyak bijik buku nih...sure hit...

Rating: ***** (BEST-tak rugi beli)

Monday, January 16, 2012

Dingin Salju Indiana (Nurulsham Saidin)

Tajuk : Dingin Salju Indiana
Penulis : Nurulsham Saidin
Penerbit : Galeri Ilmu
Bil Mukasurat : 367ms

Sinopsis Belakang Buku:
Tiga gadis Melayu dengan latar asuhan yang berbeza memilih Indiana, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian. Jannah, Murni dan Nana tertampan dengan permasalahan yang mencabar ego, kewibawaan dan keimanan. Jannah pernah mengaku kalah di tengah jalan. Masih adakah harapan buat seorang sahabat untuk diselamatkan?

Kehidupan pelik Kak Icon mengundang tanda tanya tentang signifikannya watak aneh ini di bumi Allah. Kehadiran Kak Zai mengundang rencah rasa dan memberi semacam katarsis dalam jiwa yang berserabut mazmumah.

Dua jejaka hadir di hati Jannah: Azhar dengan surat-suratnya yang membaja semangat dan Matthew, pemuda Kristian yang mencari kebenaran. Jannah memilih untuk setia, tetapi takdir Allah mengubah segalanya.

Ulasan:
Semasa saya mula-mula membaca buku ini, tak tahu pulak ada cerita Dingin Lavenda dalam slot Zehra kat TV3 sedang siarkan yang diadaptasi dari buku ini sehinggalah diberitahu oleh pemilik buku ini. Buku ni saya pinjam dengan adik ipar sbb katanya best. So kalau buku best memang kena bacalah. Kena pulak masa tuh saya mcm tak ada mood nak membaca lebih2 lagi sibuk dengan kelahiran cahaya mata yg ke-4 saya...Mula2 memang agak slow sikik tp apabila masuk bab perubahan yang berlaku kepada Murni barulah laju sikik saya baca.

Murni datang daripada keluarga yg boleh dikatakan susah, mula berubah apabila berdepan dengan pelbagai rintangan. Sifat iri hatinya terhadap Nana juga membuatkan Murni mudah membuat andaian dan pertimbangan yang salah. Murni mula tertarik dengan Matthew, tetapi kerana tindakan Murni yg tidak disenangi Matthew, hati Matthew berubah arah. Matthew yang mula tertarik dengan Islam, mula melihat Jannah sebagai rujukannya dalam mengenali Islam. Ini telah mengundang kemarahan dan irihati Murni terhadap Jannah. Namun Matthew pasrah kerana Jannah telah memilih insan lain dalam hidupnya.

Kerana penolakan dan Matthew lah, Murni semakin berubah. Dia semakin jauh dari Jannah dan Nana. Jannah cuba menyelamatkan Murni namun adakalanya Jannah sudah berputus asa terhadapnya. Namun Jannah bangkit semula kerana perasaan sayangnya terhadap Murni dan janjinya terhadap nenek murni di kampung. Tapi tindakan Kak Zai telah membawa Murni lebih jauh dari Jannah dan pada masa yang sama juga Nana pula telah mengambil keputusan untuk bernikah sebelum tamat pengajiannya.

Murni tidak dapat dikesan dan pihak universiti juga telah mengambil tindakan ke atasnya. Usaha Jannah memberitahu keluarganya dikampung juga tidak berhasil. Akhirnya Jannah pengsan di salah sebuah kelab di Chicago. Oleh kerana pelbagai usaha telah dilakukan tidak mendatangkan hasil, Jannah akhirnya berserah kepada yang maha Esa. Kepulangan Jannah ke Malaysia tanpa Murni amat menyedihkan tambahan lagi, penantiannya selama ini untuk orang yang tersayang juga sia2 belaka. Namun masih ada yang tetap menanti dan berharap.

Buku ini juga banyak mengupas perbezaan Kristian dan agama Islam. Perdebatan antara dua agama ini banyak diketengahkan oleh penulis. Jannah yang menjadi sasaran Kristianisasi telah melakukan yang terbaik dan telah juga mampu membuat mereka terfikir dan berfikir akan kekurangan agama Kristian.

Apa yang terjadi kepada Murni akhirnya? Jannah akhir berkahwin dengan siapa? Mampukah Jannah mengubah tanggapan golongan Kristian di Indiana? Semuanya akan terjawab diakhir cerita. Jadi, belilah buku ini kalau nak tahu kesudahannya.

Rating: ***** (kena beli untuk buat koleksi)

Thursday, October 20, 2011

Mencari Jalan Ke Syurga - Hasliza Ismail

Tajuk : Mencari Jalan Ke Syurga
Penulis : Hasliza Ismail
Penerbit : Kaki Novel Enterprise
m/s : 536


Sinopsis Belakang Buku: 

Satu kemalangan tragis telah meragut semua yang Khirana miliki; memorinya dan juga insan tercinta. Setelah dua tahun koma, dia bangkit semula lalu bertatih untuk memulakan hidup baharu dan berubah menjadi insan yang berbeza.

Namun, kemunculan Shahrul Azwan telah memaksa Khirana berhadapan dengan dosa semalamnya. Kebencian dan dendam kesumat lelaki itu membuatkan Khirana berjuang untuk mengembalikan semula ingatannya. Bayangan hitam mula menghantui diri dan cuba untuk menyesatkan laluannya. Dugaan yang datang bertimpa-timpa hampir melemahkan imannya.


Di mata Shahrul Azwan, Khirana adalah seorang perempuan jalang yang telah menghancurkan maruah keluarganya. Hutang nyawa mesti dibalas dengan nyawa! Namun dia buntu apabila setiap kali menyakiti wanita itu, hatinya turut sama terluka.  Keperibadian Khirana telah meruntuhkan tembok kebencian di dalam dirinya. Bila hati sudah tertawan, dia terpaksa memilih di antara keluarga dan cintanya. Walau jalan mana yang dipilih, kesudahannya pasti menuntut satu jiwa sebagai pertaruhan.

Ulasan:
Ini merupakan buku pertama tulisan Hasliza Ismail (HI) yang saya baca. HI tidak mengecewakan saya kerana jalan ceritanya disusun rapi dan penuh dengan teka-teki. Pada awal cerita saya seperti boleh mengagak apa yang ingin diceritakan dan apa rahsia disebalik kemalangan yang berlaku yang menyebabkan Khirana hilang hampir kesemua ingatan masa lampaunya. Imbasan peristiwa 2 tahun dahulu disusun rapi dengan diselangi dengan cerita semasa. Watak Khirana agak menarik dan perasaan yang wujud di antara Khirana dan Shahrul Azwan hanya dikupas bersahaja oleh penulis. Penulis banyak memberi tumpuan kepada peristiwa hitam yang dilakukan oleh Khirana kepada keluarga Shahrul.

Shahrul yang pada mulanya mempunyai agenda untuk membalas dendam, tidak mampu menolak perasaan yang mula berputik kerana kebaikan dan keinsafan Khirana. Khirana berdepan dengan pelbagai dugaan bermula dengan kehilangan seorang kawan yang amat dikasihi sehinggalah dia hampir mati buat kali keduanya kerana dendam seorang isteri yang mengalami tekanan jiwa. Di saat Shahrul cuba mengecapi kebahagiaan bersama Khirana dan di saat Khirana mula mengingati semula sejarah silamnya, Khirana ditikam kerana dendam seorang isteri. Namun jodoh Khirana dan Shahrul masih utuh. Mereka akhirnya mengecapi bahagia di perantauan kerana Shahrul terpaksa melepaskan segala miliknya di Malaysia untuk menyelamatkan satu-satunya adik lelakinya.

Apakah yang telah dilakukan oleh adiknya dan apakah sejarah hitam yang telah Khirana lakukan sehingga nyawa mesti dibalas dengan nyawa? Siapakan yang membunuh kawan baik Khirana? dan siapa pula yang cuba membunuh Khirana untuk kali kedua? Untuk mengetahuinya, bolehlah beli buku ni. Saya amat berpuashati dengan tulisan HI ini dan akan terus membaca karya beliau.

Rating : ***** (sangat berbaloi dijadikan koleksi)
Related Posts with Thumbnails