Tuesday, March 16, 2010

Norhayati Berahim


Sinopsis : Sentuhan Kasih
Banjir kerinduan yang berladung di dalam hati tiada siapa yang rasa lemasnya melainkan dia...Namun dia rela menyimpan semuanya di dalam hati...tega membiarkan diri luka sendiri-sendiri. Tapi sampai bila harus disimpan lemas luka hatinya? Dia jauh di negara orang ... lantaran ada yang sudi memberi dahan untuk berpaut, perlukah ditolak? Atau dia masih menanti rendangnya pohon memayungi tatkala turunnya salji, atau terus menanti panasnya bahang asmara untuk memanaskan dinginnya sekeping hati yang telah lama mati...

Sinopsis : SAYANG TAK TERUCAP
TAKDIR menemukan semula Delilah dan Aminudin setelah sekian lama terpisah. Dengan rasa sedih, kecewa dan rajuk berpanjangan, Delilah menolak kehadiran lelaki itu. Baginya sekali hati terguris, lukanya berparut lama. Apa maknanya ayah apabila lelaki itu cuma muncul ketika dia sudah berjaya. Di mana tanggungjawab lelaki itu ketika dia mengharungi saat getir bersama ibu, nenek dan datuknya yang buta.
Sekaya mana pun lelaki itu, masih tidak membuka pintu hatinya. Lelaki itu tidak sama pekerti dengan datuknya. Datuknya yang buta, tapi tidak buta hatinya. Datuknya yang buta tapi tinggi nilai kasih sayangnya.

Pun begitu, mestikah dia membiarkan rasa benci itu terus membelenggu hidupnya? Apalah guna akal fikiran jika tidak digunakan sewajarnya. Perlahan-lahan dia mengerti rahsia kehidupan, menginsafi kelemahan dan kekurangan setiap insan. Malah, jauh di sudut hati dia ingin sekali menikmati dakapan kasih seorang ayah dalam hidupnya.

Ayah... andai kemaafan ini kuberi, namun dapatkah kuberikan setulus kasihku padamu? Ya ALLAH... perkenankanlah doa hamba-MU ini agar kebuntuan dan kekeliruan ini dapat dileraikan.


Sinopsis : HATI SEORANG WANITA

Dia dilahirkan diluar kemahuan ayah dan ibunya. Namun, dia pasrah dengan ketetapan ILAHI walau dendam terus menghuni di hati. Perkahwinan yang diatur kiranya tidak menjanjikan apa-apa. Bagi dia, suami milik isteri yang abadi. Mesti dikasihi sepenuh hati. Rupa-rupanya tidak ada apa yang dapat dipegang pada janji manis seorang lelaki.

Sekian lama mencari di mana harga diri, di mana kesilapa diri, dia bangun semula bersama tekad di hati. Meski disingkir, meski diuji, namun jiwanya tak pernah mati. Bahagia mesti dicari, peristiwa pahit mesti dilupai kerana hati wanitanya percaya, esok masih ada cahaya, masih ada sinar bahagia.


Sinopsis : NOTA CINTA BUATMU

Perpisahan... terlalu sukar rasanya membuat keputusan. Namun kerana harga diri, kerana kasih sayang, Johanna rela berkorban. Biarlah dirawat hati yang luka, biarlah dilalui hari-hari mendatang tanpa suami di sisi. Pergilah Dihrran, carilah kebahagiaan, carilah kasih sayang yang kau perlukan.

Hidup siapa yang menduga, Johanna dipertemukan dengan Graham. Lelaki yang tidak percaya kewujudan agama dan Tuhan. Namun, lelaki itu lelaki istimewa, lelaki yang sering mengerti, lelaki yang paling cepat memahami. Hati yang luka diubati, jiwa yang kosong kini terisi.

Kalutnya rasa bila cinta datang kali kedua, perlukah diusir atau perlukah dibiarkan menghuni dalam hati. Cuma ketika cinta datang semula, Dihrran yang pernah membuangnya dahulu datang menagih hati, menagih simpati!

Hatinya sudah nekad, apa yang berlaku, biarlah berlalu. Dihrran perlu diajar untuk menghargai, untuk menghormati. Dia bukan wanita yang mudah dibuang dan diambil kembali.

Ahh... cerita luka... duka dan cinta ini perlu ada kesudahannya!

Nia Azalea

Sinopsis : HATI YANG TERUSIK

Kisah yang begitu hebat ini mampu mengajak para pembaca menilai hati dan perasaan manusia dalam nilai kejujuran, kasih sayang, cinta dan pengorbanan. Vanessa yang memeluk Islam berkahwin dengan lelaki pilihan semasa mereka masih menuntut di UK walaupun pernikahan mereka ditentang oleh Vincent Lee, bapanya.

Di sebalik pernikahan itu, terselit rasa benci Vincent terhadap Farhan apabila teringatkan anak sulungnya bernama Irene. Namun, Vanessa mendiamkan diri kerana itu adalah pilihannya. Dia masih tetap mencintai Farhan.

Langit tidak selalu cerah, apabila Vanessa dan Farhan dipanggil balik ke Malaysia tanpa sempat menghabiskan pengajian mereka. Tempoh perkahwinan mereka berdua tidak berpanjangan kerana Vanessa dipersiakan haknya oleh Farhan. Akhirnya, Vincent Lee meminta Vanessa berkahwin dengan Raymond.

Mengapakah Vincent amat membenci Farhan apabila terkenangkan Irene? Mudahkah Farhan melafazkan cerai apabila Vincent mahu Vanessa berkahwin dengan Raymond? Mampukah Vanessa menerima arahan bapanya itu? Apakah taktik yang digunakan oleh Vincent agar Vanessa patuh pada arahannya?


Sinopsis : SEREDUP KASIHMU

KISAH silam Lea Haryani sentiasa menghantui hidupnya. Lea Haryani dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan kedua orang tuanya. Setelah ibunya meninggal dunia, Mak Longnya, Sutinah memeliharanya sehingga dewasa.

Lea Haryani tidak begitu senang dengan sikap Mak Longnya. Apa sahaja yang dilakukan oleh Lea Haryani tidak menyenangi hati Mak Long. Ada-ada sahaja kesalahan yang dicari. Bukan itu sahaja, Mak Long juga suka mengungkit asal-usul keturunan menyebabkan Lea Haryani terasa kerdil untuk berhadapan dengan masyarakat.

Setelah dewasa dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, sikapnya yang pasif terbawa-bawa hingga ke universiti. Di universiti dia tidak mempunyai kawan rapat melainkan kawan sebilik bernama Suziyan.

Emir Safwan yang satu kuliah dengan Lea Haryani cuba menggodanya tetapi tidak dilayan. Pelbagai cara dilakukan oleh Emir Safwan untuk memikat hati Lea Haryani namun tidak berhasil. Dengan bantuan Profesor Halim, akhirnya Lea Haryani dipertemukan dengan Emir Safwan.

Mama Emir Safwan tidak berkenan dengan Lea Haryani dan menyuruh anaknya itu memilih Syamen, anak Datin Jawaher. Emir Safwan tetap dengan pendirian memilih Lea Haryani. Akhirnya berlakulah konflik. Lea Haryani mengalah dan menyuruh Emir Safwan akur dengan pilihan mamanya. Emir Safwan tidak boleh terima kerana hatinya benar-benar mencintai Lea Haryani. Berjayakah Emir Safwan memujuk hatinya yang telah terluka untuk menawan hati Lea Haryani kembali? Berapa mahalkah harga yang harus dibayar untuk satu kemaafan?


Sinopsis : KAU YANG SATU


Bot milik peribadi Datok Mustaza telah karam dipukul ombak sewaktu dia keluar memancing di Laut China Selatan. Nasibnya baik, dia telah diselamatkan oleh seorang nelayan bernama Sulaiman. Datuk Mustaza terhutang budi dengan Mustaza dan ingin menjodohkan anaknya Taufik dengan Salina anak Sulaiman.

Taufik tidak setuju dengan cadangan papanya kerana dia telah mempunyai kekasih bernama Isabella, model terkenal tanahair. Manakala Salina pula telah mempunyai teman lelaki bernama Zulkifli, anak ketua kampung.

Namun segala impian mereka tidak tercapai. Masing-masing terpaksa akur dengan pilihan orang tua. Taufik menuduh papanya kolot kerana masih terikut-ikut cara orang lama mencari jodoh. Salina pula terpaksa putus dengan Zulkifli.

Bahagiakah perkahwinan Taufik dan Salina? Dapatkah mereka melayari bahtera bersama?

Meen Zulaikha

Sinopsis : KASIH YANG SUCI

KEPADA para peminat novel Alaf 21, jangan lepaskan peluang untuk memiliki novel terbaru bertajuk 'Kasih Yang Suci' hasil nukilan penulis baru iaitu Meen Zulaikha yang kini sudah berada di pasaran.

Novel yang membelai perasaan ini mampu membuatkan anda sayang untuk meninggalkan walau satu patah perkataan pun. Sepuluh tahun lalu, kesucian Nora Elena dinodai. Andai masa boleh diulang kembali, pasti jiwanya tidak punah. Tapi dia sedar, takdir hidup tidak memihak kepasa sesiapa. Saiful Idham, tunangnya pergi kerana tragedi ini. Tiba-tiba muncul Seth menawarkan diri untuk menjadi suaminya. Nora Elena keliru...

Tapi mengapa Elena menjadi wanita asing dalam perkahwinan mereka? Rahsia yang selama ini disimpan kemas, akhirnya terbongkar. Sebenarnya, Sethlah lelaki durjana itu. Menodainya atas alasan kerana kasihnya yang suci! Benarkah?

Apakah kisah seterusnya? Apa yang harus dilakukan oleh Elena terhadap suaminya? Mampukah perkahwinan mereka bertahan?

Segala-galanya dalam Kasih Yang Suci. Dapatkan segera sebelum kehabisan.

 
Sinopsis : WARNA HATI

SUATU ketika dahulu, luahan rasa cintanya pernah dipersenda. Madah rindu dan puisi syahdunya buat Jefri menjadi ejekan teman-teman sekolah. Zara Lisa, malu tidak terkata. Sejak saat itu, nama Jefri terus dikikis daripada ingatannya. Bertahun dia memegang prinsip; bercinta bermakna membiarkan diri terluka dan kecewa.

Waktu terus berlalu. Persoalan tentang jodoh mula menghantui hidup Zara Lisa. Cemuhan dan sindiran tentang statusnya, bagai duri berbisa. Hingga dia difitnah, terdesak hendak bersuami. Kata dua daripada emak; bawa pulang calon suami atau emak yang carikan, memaksa Zara Lisa berbuat sesuatu. Dia tidak boleh mengharapkan cinta datang sendiri. Speed dating menemukan Zara Lisa dengan dua orang lelaki. Erman yang tampan bergaya dan gentleman membuatkan dia jatuh cinta pandang pertama. Beria-ia dia menyulam mimpi untuk menjadi permaisuri lelaki itu. Tapi, rupa-rupanya warna cinta mereka cuma kelabu. Erman, playboy yang bijak menabur janji palsu untuk memikat. Lelaki kedua pula, Harith yang serba sederhana turut menghulurkan salam cinta sedangkan di hati Zara Lisa, hubungan mereka hanya sebagai kawan.

Lamaran daripada Jefri, mengejutkan Zara Lisa. Dia terpaksa menerima biarpun hatinya tidak rela. Harith muncul dan menceriakan kesedihan Zara Lisa. Dalam diam, dia mula merindui lelaki itu yang pernah dipandang sepi sebelum ini. Harapannya terhadap Harith setinggi gunung setelah ikatannya dengan Jefri ter lerai. Dalam membina janji kasih, kebahagiaan Zara Lisa diuji sekali lagi. Siapakah Harith sebenarnya? Sedangkan cinta sejati tiada ruang untuk prasangka...
Related Posts with Thumbnails