Saturday, November 2, 2013

Takdir Itu Milik Kita (Siti Rosmizah)

Tajuk : Takdir Itu Milik Kita
Penulis : Siti Rosmizah
Penerbit : SR Publication
M/S : 1057
Sinopsis Belakang Buku :
Dian Zara, seorang anak yatim piatu yang menumpang kasih dengan neneknya. Emak saudaranya, Kamsiah tidak henti-henti menyeksa hidupnya. Maki hamun, pukul, cerca sudah lali dalam dirinya. Impian gadis muda ini untuk belajar hingga ke menara gading telah musnah di tengah jalan.

Dian disuruh menjadi orang gaji. Dia akur dengan kehendak emak saudaranya. Menjadi orang gaji bagaikan memberi sinar baru dalam hidupnya. Tapi sementara cuma. Perkenalan dengan cucu majikannya telah membuka tirai penderitaan dalam hidupnya semula. Dian telah ditipu dengan janji manis seorang lelaki. Janji untuk membahagiakan hidupnya hanyalah dusta belaka.

Zarif Adha, kerjaya dan kekayaan keluarganya menjadikan dirinya seorang yang angkuh dan sombong. Keangkuhan dan kesombongannya itu menyebabkan dia tidak teragak-agak mempermainkan hidup gadis naif ini. Rupanya dalam diam ada rancangan yang diatur dengan mamanya.

Datin Munirah, ketamakannya menjadikan dia lupa pada batas agama. Tanpa belas mahu pun simpati, hidup seorang gadis sanggup dihancurkan demi mencapai visi untuk membolot harta emak mentuanya. Tapi kenapa Dian yang dipilihnya? Kenapa gadis malang ini yang menjadi mangsa mereka?

“ Kau bukak mata kau besar-besar! Kau tengok betul-betul muka kau yang selekeh, berkerak yang buruk tu dalam cermin ni! Kau ingat aku saja-saja nak kahwin dengan kau! Hei bodohlah kau ni! Anak ini lahir bukan atas kerelaan aku! Kau tau tak betapa jijiknya aku menengok muka kau. Jijik, tahu tak! Kalau boleh hujung jari kau pun aku tak nak sentuh. Geli! Sebab yang aku rasa dekat kau selama ini, hanya benci! Benci! Benci!!! Hambur Zarif dengan kebencian yang begitu tepu di hati."

Allahuakbar! Raung Dian. Menggeletar seluruh badannya mendengar pengakuan biadab suaminya itu. Tapi itulah kenyataannya. Itulah kebenarannya. Pahit! Cukup pahit! Dan kepahitan yang ditelan oleh Dian itu menyebabkan dia bangkit dalam hidupnya. Kala itu biarpun beribu sesalan terucap di bibir lelaki ini, semuanya sudah tidak bererti padanya lagi.

Memekiklah! Meraunglah! Menjeritlah! Keluarlah air mata darah kau hingga menitis di setiap anak tangga itu sekalipun! Aku tidak akan berpaling lagi! Hatiku sudah mati! Mati buat kau! Jangan kau berani nak mempermainkan takdir aku lagi! Aku yang akan tentukan jalan hidupku! Kerana Takdir itu milik aku!

Ulasan Buku
Siti Rosmizah (SR) memang terkenal dengan cerita yang akan membuatkan orang menangis. Buku ini samalah jugak, asyik menangis, sayu dan meratap jer...Dian memang teruk diperlakukan oleh Zarif dan keluarganya sehinggalah berlaku satu tragedi yang menyedarkan Zarif. Walaupun beribu penyesalan dan kemaafan yang keluar dari mulut Zarif, Dian tidak akan dapat melupakan apa yang telah mereka lakukan terhadapnya. Kalau ikutkan penderitaan yang dialami oleh Dian, saya kadang2 terfikir jugak, ada ke orang macam nih kat atas dunia nih... kalau adalah memang teruklah

Kalau ikutkan banyak pengulangan cerita dari semasa Dian menderita sehinggalah Zarif menyesal perbuatannya. Dian selalu mengungkit apa yang telah Zarif dan keluarga Zarif lakukan kepadanya. Tak hairanlah buku ni tebal. Tapi yang peliknya saya tak terasa boring pulak. Mungkin gaya bahasa yang bersahaja dan berlainan yang mendorong saya habiskan seribu muka surat. Bagi saya, jalan cerita yang "touching"  mendorong saya menghabiskan buku ini. Tahniah buat Siti Rosmizah. Setakat ini, semua bukunya memang memuaskan hati saya. Saya akan terus membeli bukunya.

Rating : **** (best sangat)

Sunday, June 9, 2013

Kopi Ladyku (Ainul Hazrah)


Tajuk Buku : Kopi Ladyku
Penulis : Ainul Hazrah
Penerbit : Alaf 21

Sinopsis Belakang Buku
:

Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal di rumah setinggan. Dia punya cita-cita tinggi untuk mengubah kehidupan keluarga, namun demi adik-adik dia terpaksa melupakan niat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Baidura dan adiknya, Izhar telah menawarkan pekerjaan sebagai kopi 'lady' di pejabat mereka kepada Arisa dan membawa gadis itu tinggal bersama mereka. Sebagai anak kampung yang polos dan lurus, semuanya begitu asing buat Arisa. Banyak suka duka yang berlaku di dalam era baru kehidupannya.

Akhirnya, kehadiran Arisa di dalam keluarga itu menjadi buah mulut saudara-mara. Demi menutup mulut tempayan yang sentiasa terbuka itu, Izhar telah bersetuju untuk mengahwini Arisa. Arisa pula bersetuju untuk berkahwin dengan Izhar kerana Izhar telah berjanji untuk membiayai pelajarannya ke menara gading.

Walaupun bukan kerana orang ketiga, pasangan yang baru mengenal bahagia itu dilanda badai juga. Kapal mereka terumbang-ambing di lautan tanpa haluan. Mereka ingin mencari arah, tapi seakan tenggelam punca. Kini, mereka hanya mampu bertahan selagi terdaya.

"Betul Iz nak kahwin dengan Icha? Dia tu bukan betul sangat, rempang-rempang bahasa. Wayar berselirat, tak putus saja lagi." - Muiz -

"Wayar dia cuma berselirat, belum putus lagi. Bila dah kahwin nanti, saya akan susun balik wayar tu elok-elok dan takkan biarkan dia putus, Insya-ALLAH!" - Adib Izhar- 


Ulasan:
Ini buku pertama Ainul Hazrah (AH) yang saya baca. Best jugak...jalan cerita memang bersahaja dan mendorong saya untuk menghabiskan buku ini dalam masa yang singkat. AH memang tak menyembunyikan ending cerita sebab bab pertama dah menceritakan ending cerita sebenarnya, kiranya flashback lah...AH banyak fokus kepada jalan ceritanya. Bahasa agak bersahaja dan menarik dan yang paling menarik apabila kasih sayang mereka diuji apabila Icha terlibat dalam kemalangan di laut. Tak rugi saya beli buku ini. 

Rating : *** (bacaan santai dan bersahaja)


Saturday, June 1, 2013

Cinta Tak Terucap (Imani Hatta)


Tajuk Buku : Cinta Tak Terucap
Penulis : Imani Hatta
Penerbit : kaki novel

Sinopsis Belakang Buku:
Ammar Mirza tidak pernah memberitahu Suri Imani akan perasaannya. Sekali sahaja Ammar Mirza meluahkan perasaan. Itu pun sekadar memberitahu bahawa dia menyayangi Suri Imani. Manalah Suri Imani tahu apa yang terungkai dalam hati Ammar Mirza. Dia bukan ahli nujum untuk mengagak apa yang difikirkan oleh Ammar Mirza. Tapi segala tingkah laku Ammar Mirza, kesabaran Ammar Mirza dalam melayannya… dia jadi buntu.

SURI IMANI SHAMSUL AZHARI. Permainan takdir. Dia ditakdirkan menggantikan tempat kakaknya hanya kerana janji papanya dulu. Masa depan terpaksa dikorbankan. Banyak sudah cerita dan kisah begini yang dia dengar mahupun baca, tapi dia tidak sangka dia menjadi watak utama. Siapa pula yang harus dipersalahkan?


AMMAR MIRZA MAHATHIR. Pelik. Dia tidak mempercayai cinta. Cinta sudah lama terkubur dalam dirinya. Sebagai anak lelaki tunggal, dia hanya mengikut kata- kata ibu bapanya. Sama seperti yang dilakukan oleh arwah abangnya dulu. Jodoh mereka ditentukan oleh keluarga. Dia menyangka hatinya sudah tertutup. Tapi pertama kali bersua dengan gadis kacukan itu, hatinya bergetar. Pelik bukan?

Barisan nama seperti Amir, Erna, Wati, Zahin, Ben dan ramai lagi menjadi watak penting dalam menghidupkan suasana ceria, gembira, sedih dan duka dalam hidup Suri Imani dan Ammar Mirza. Pelbagai onak duri, bahagia dan gembira sudah sebati dalam kehidupan mereka. Hidup bersama namun kata cinta masih samar untuk didengari.

Adakah bahagia mampu dimiliki di akhir cerita? “Perlukah cinta itu diungkap atau cukup sekadar perbuatan semata? Dapatkah cinta itu dipertahankan... tanpa ungkapan kata cinta?
Ulasan:
Imani Hatta (IH) juga penulis baru yang saya cuba untuk membaca novel tulisannya. Bagi saya, ia tidak mengecewakan. Sinopsis di belakang buku telah menceritakan hampir keseluruhan novel ini. Saya lebih berminat kepada bagaimana watak utama iaitu Imani dan Ammar akan bersatu. Selalunya memang happy ending lah , tapi jalan cerita itu lebih penting kerana ia berperanan supaya pembaca akan terus membaca sehingga ke helaian terakhir. Ending cerita memang dah boleh agak happy ending, tapi IH pandai menggarap jalan cerita agar lebih menarik dan memang membuatkan saya ingin terus menghabiskan buku ini. Secara keseluruhannya, cerita agak biasa, tetapi jalan cerita memang menarik. Saya selalui tersenyum dengan adegan-adegan yang olah oleh penulis.
Rating : *** (bacaan santai)
Related Posts with Thumbnails