Monday, March 15, 2010

AISYA SOFEA

Sinopsis :  Selagi Ada Dia

Pertemuan tanpa dirancang telah membuka pintu hati Arianni untuk mengenal erti cinta. Apatah lagi, lelaki itu berjanji menjadikan dia sebahagian hidupnya, berjanji bahawa segalanya mampu ditangani dan berjanji akan mempertahankan cinta mereka.

Namun kasih yang disulam, janji yang dimaterai terlerai akhirnya bila terbongkar satu rahsia yang tidak terduga. Sebagai wanita bermaruah, Arianni nekad menoktahkan segala impian. Cinta pertamanya harus dibuang jauh daripada kotak ingatan. Lelaki itu bukan untuknya.

Tahun berlalu...hadirlah lelaki baru dalam hidupnya. Sayangnya, pintu hati dia masih tertutup rapat. Rasa terluka itu masih ada. Baginya, cinta kedua tidak membawa sebarang makna; tiada keikhlasan, tiada kejujuran. Lalu bagaimana? Selama manakah lagi harus dia tunggu untuk mengecap nikmat kebahagiaan? Terlalu memilihkah dia?




Sinopsis : Gelora Jiwa
Siapa kata setia tak mungkin berlaku curang? Siapa menduga kasih takkan bertukar benci? Katakan sejujurnya, bagaimana harus disukat bahagia jika dalam hati Intan Azureen, berkocak dilanda asmara.

Seraut wajah tenang itu, tiba-tiba berubah menyimpan seribu luka. Keluh resahnya sekadar melunakkan hati yang duka. Bagaimana harus dijelaskan; setianya bukan lagi untuk Hanif Azman tunangnya. Tapi kasihnya sudah berpaling jauh pada Hanif Ashman dalam sekelip mata.
Siapa merampas dan siapa yang dirampas? Siapa yang berhak dan siapa pula yang tak punya hak? Intan Azureen lemas di tengah-tengah kekusutan.

Dia harus teguh memegang janji wasiat; membina rumahtangga dengan lelaki pilihan keluarga.
Atas desakan keluarga melawan kehendak hati, dia harus membuat pilihan yang tepat. Hanif Ashman satu mimpi. Hanif Azman pula satu realiti. Tapi mimpi itu juga yang sentiasa membayangi hidupnya. Ah, sukarnya menidakkan takdir sedangkan cintanya hanya untuk Hanif Ashman seorang. Jadi, bagaimana?


Dia tekad, dilema ini harus dinoktahkan. Siapapun yang terpilih, dia akur akan melimpahkan kejujuran sepenuh hati. Tapi, siapakah antara mereka yang bakal mengongsi hidupnya sepanjang hayat?



Sinopsis: Buatmu Kekasih


Novel ini memuatkan lima novel terdahulu beliau ini merupakan titik sambungan dengan melakarkan sebahagian watak-watak yang pernah dicipta Aisya Sofea.

Tahun berlalu... kini Ika, farah, Umairah, Kay dan Intan sedang meniti alam kedewasaan, namun yang terluka ada perasaan yang tersentuh, ada hati yang merana. Namun, dengan kekuatan kasih sayang, segala dugaan cuba diatasi sebaik-baiknya.

Buatmu kekasih menggambarkan betapa akrabnya kita dengan watak-watak dalam karya terdahulu hingga merasakan bahawa mereka turut menghirup udara yang kita hirup, tinggal di bawah langit yang sama dan juga berlampukan sinaran bulan yang satu.




Sinopsis: Adam dan Hawa

Ain Hawani, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kesilapan kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela.

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Ada yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah...Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan Masjidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan selama ini. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang tunggu.

Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarlah lapan tahun lagi..




Sinopsis: Kau Untukku

Pertama kali bertemu Nurul Umairah, hati Ahmad Fuad sudah terpaut. Biarpun gadis itu sudah dimiliki, namun perasaaannya tidak pernah berubah walaupun terpaksa menyembunyikan rahsia hatinya dalam-dalam.

Bila Jefri, tunang Nurul terkorban dalam kemalangan, Fuad menawarkan kasihnya. Nurul menolak kerana tidak mungkin dia mengalih perasaan pada lelaki lain dalam sekelip mata sahaja. Kebijaksanaan Fuad akhirnya meruntun tembok yang dibina Nurul. Dia akhirnya menerima Fuad tanpa mengetahui rupa-rupanya ada gadis lain sedang menagih kasih lelaki itu semula.

Apakah Fuad akan menyambung semula kasihnya bersama gadis yang tiba-tiba muncul kembali di antara mereka? Mampukah Nurul Umairah sekali lagi kecewa biarpun lelaki itulah yang memulakan percintaan mereka.

Kau untukku; indah, romantis dan membuai perasaan.



Sinopsis : Jendela Hati

Harga kesetiaan seorang lelaki bernama suami begitu mahal nilainya pada insan bernama Lukman Hafizi ini. Setelah pemergian isteri tercintannya, Sarah, hari-hari yang dilaluinya tidak lagi seindah semalam. Dia terus hanyut dalam lamunan khayalannya.


Kepulangan Farah, kembar seiras arwah isterinya tidak mampu menggugah selaut kenangan bersama arwah isterinya. Farah pula tersepit dengan wasiat terakhir kakaknya serta dilema perasaannya sendiri. Dia pasrah akhirnya.


Benarkah 'ganti tikar' yang berlandaskan 'keterpaksaan' bagaikan embun di hujung rumput; memakan diri sendiri akhirnya. Apakah ini harga yang perlu dibayar untuk sebuah pergorbanan? Hayatilah falsafah yang tersirat di sebalik mesej yang tersurat ini.




Sinopsis : Sehangat Asmara

Kamilia Najwa & Zainal Arief. Pandang pertama mereka memutikkan cinta dan berakhir dengan perkahwinan di London tanpa restu keluarga. Namun badai asmara mereka sentiasa membakar di sebuah bilik kecil di Oxford dengan janji sehidup semati.


Kebahagiaan mereka tiba-tiba terhenti! Zainal terpaksa pulang ke tanah air dengan janji akan kembali lagi. Sejak itu hingga menginjak sembilan tahun lamanya, Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia terus menanti dengan air mata dan sengsara.

Tanpa diduga, Zainal muncul kembali. Datangnya untuk menuntut Misya, anak comel yang selama ini 'disembunyikan' oleh Kamilia. Dendam kesumat Kamilia terhadap Zainal tidak pernah padam. Anehnya, 'dendam rindunya' terhadap lelaki itu lebih kuat dan mengusik perasaannya.


Benarkah dia membenci lelaki itu? Dan hipokritkah Zainal bila menyatakan hanya Kamilia seorang di hatinya.



Sinopsis : Jauh
Siapalah yang dapat melupakan tempat kasih bersemi? Sesungguhnya api cinta itu hangat membakar. Meski telah padam, namun baranya masih ada. Masa dan kejauhan bukan halangan bila jodoh telah ditentukan.


Aina Emir

Sinopsis: Setulus Janji

Ilham dan Insyirah, dua beradik angkat yang membesar bersama bagai abang dan adik. Tanpa diduga, ada rindu yang bertamu di hati mereka. Dalam diam, masing-masing penyimpan rasa. Cinta, kasih dan rindu mereka bersatu menjadi tugu. Namun Ilham atau Insyirah tidak berani bersuara. Bimbang kasih yang hadir, hanya bertepuk sebelah tangan.

Bertahun-tahun mereka memendam rasa. Ilham hanya memandang dari jauh meleraikan resah. Insyirah pula penyulam gelisah di tabir mimpi. Mengapa tidak berterus terang? Adakah mereka takut pada jawapan ya atau tidak sedangkan cinta harus dilafazkan dengan kata-kata!

Dugaan datang bila Aiman berjaya mendekati impian Insyirah. Ilham yang tersilap menduga, bertindak mengikat Juwita sebagai tunangannya. Mereka berpura-pura menerima orang lain sedangkan hati tidak benar-benar rela. Hanya bulan dan bintang yang setia mendengar rintihan mereka.


Cinta yang hampir terhumban, kembali marak menyala. Keajaipan Allah, akhirnya menyatukan Ilham dan Insyirah sebagai suami isteri. Begitulah setulus janji dua kekasih yang pernah terluka dan dilukai, agar pengalaman di masa silam dijadikan kenangan.

Sinopsis :  Sesuci Cinta

Nuraina, gadis biasa yang tidak punya apa-apa. Dia pernah terluka dan kerana itu pelarian adalah satu cara untuk mengembalikan mengembalikan harga diri yang telah dirobek dan dihina. Walau setinggi mana cintannya pada Armand, dia sedar cinta tanpa harta tidak ke mana.

Bertahun lamanya di rantau orang, jauh dari keluarga tercinta, akhirnya apa yang diimpikan jadi nyata. Kepedihan dan kekecewaan terubat dengan kehadiran Behzad yang dapat menerima seadanya.

Namun manusia ... sehebat mana pun merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Lambaian Istana Al-Hambra membawanya ke Andalusia, Sepanyol. Tanpa terduga, dia bertemu kekasih lamanya, Armand.

Pertemuan yang tidak disangka-sangka itu lantas mengetuk hatinya semula. Dia tahu lelaki yang dikasihi itu tidak pernah bersalah. Dialah yang sebenarnya beralah terlalu mudah. Kini dia keliru! Antara kasih dan kasihan. Antara cinta barunya dengan nostalgia cinta pertamanya.

Cuma manusia sering terlupa, realiti tidak seindah mimpi. Cukupkah dengan lafaz cinta sahaja boleh menjanjikan bahagia? Cukupkah...?

Cintamu Di Hati


Tajuk : Cintamu Di Hati
Penulis : Aida Adriani
Terbitan : Alaf 21

Sinopsis: Cintamu Di Hati
Kata orang ... kita boleh jatuh cinta dalam sekelip mata tapi untuk melupakannya hampir sepanjang hayat. Sememangnya, cinta pertama terlalu sukar dilupakan. Meskipun tidak berakhir dengan satu ikatan suci, namun kenangan itu tetap utuh di hati, terpahat teguh di sanubari.

Seri terperangkap antara dua perasaan; cinta suci seorang lelaki dan cinta sejati kekasih lama. Keteguhan hatinya terduga apabila Zulfy semakin dekat padanya. Setiap waktu bersama Zulfy meletakkannya dalam kemelut perasaan. Kenangan cinta pertama kembali memburu hingga mengundang cemburu Azlan. Dalam melawan arus asmara terlarang, kesetiaan Seri terus-terusan diragui.


Takdil Allah tiada siapa dapat menghalang, ujiaan datang tiada siapa dapat menduga. Seri terus tabah menghadapi segala rintangan dalam mencari kebahagiaan yang hilang. Jalan yang dilalui tetap berliku. Bahagia yang dicari ibarat fatamorgana. Ada waktunya dia hampir mengaku kalah dengan takdir. Ada saatnya dia hampir tersungkur dalam mencari sejalur sinar.

Hari berlalu... dan dalam pencarian itu, hatinya sering berkata, milik siapakah cinta ini? Masih adakah cinta kedua buatnya?
Related Posts with Thumbnails