Tuesday, August 31, 2010

ADAM (Aku Darah Anak Malaysia) - Ramlee Awang Murshid


Tajuk Buku : ADAM (Aku Darah Anak Malaysia)
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21
M/s : 571

Sinopsis Belakang Buku :
DIA MUNCUL SECARA TIBA-TIBA, DIA MENGHILANG ENTAH KE MANA.

Bila Hilman dapat bertemu dengan anaknya Jeslina di New York setelah berbelas tahun terpisah, mereka berasa begitu bahagia. Namun keriangan mereka diragut bila kereta mereka naiki terlibat dengan satu kemalangan jalan raya.

Jeslina koma manakala Hilman pula dituduh memandu dalam keadaan mabuk. Dalam situasi genting itu, muncul Mia Sara, seorang petugas di Kedutaan Malaysia, Washinton D.C. Melalui bantuannya, Hilman dinasihatkan ke mahkamah untuk mendapat keadilan.

Namun, bila satu konspirasi untuk menutup kemalangan itu diketahui oleh Hilman, dia mengambil keputusan untuk mencari kebenaran dengan caranya.

Sebagai seorang penembak tepat dalam Pasukan Polis Di Raja Malaysia, survival adalah mainan hidupnya. Siasatannya terhadap konspirasi kemalangan itu akhirnya membawa beliau ke pintu White House!

Dan, Hilman tidak sekali-kali terpaku di hadapan pintu itu…

Ulasan:
Buku ini agak lama jika dibandingkan buku-buku baru Ramlee Awang Murshid (RAM) yang saya baca akhir-akhir ini. Setelah menghabiskan Mikhail, saya terpanggil untuk membaca buku ADAM ini pulak kerana ia juga melibatkan dunia jenayah dan cerita aksi tulisan RAM.

Hilman telah tekad untuk menuntut bela atas konspirasi disebalik kemalangan yang menimpanya dan anaknya Jeslina. Namun kehadiran Mia Sara menggugat niatnya untuk melakukan pembunuhan ke atas kuasa yang paling tinggi di White House.

Hilman pernah menyelamatkan Mia Sara dari ambang maut dan hati mereka telah lama bersatu. Mia Sara telah lama menyimpan perasaan terhadap Hilman walaupun Mia Sara layak bergelar anaknya kerana jarak umurnya yang jauh lebih muda dari Hilman.

Walaupun niatnya tidak kesampaian, namun Hilman perlu juga memberi ‘buah tangan’ kepada kuasa tertinggi di White House itu. Dengan dibantu oleh egen CIA yang pernah diselamatkannya ketika kejadian KLCC yang ditawan oleh pengganas, Hilman dapat melarikan diri dari New York dan selamat pulang ke Malaysia untuk menemui Jeslina yang telah dipindahkan ke salah sebuah hospital di Malaysia.

Kecelakaan yang menimpa Jeslina telah merapatkan hubungan antara keluarga Hilman dan keluarga arwah isterinya. Kepulangan Hilman memberi sinar baru kepada mereka semua. Mia Sara pula meletak jawatan dan pulang ke Malaysia untuk selama-lamanya. Semasa ketibaannya, Mia Sara telah dikejutkan dengan lamaran dari insan yang telah lama bertakhta di hatinya dan ‘hati mereka’ telah lama bersatu, cuma waktu dan jarak telah memisahkan mereka.

Rating : ***** (berbaloi dijadikan koleksi)

Wednesday, August 18, 2010

Mengintai Cinta Khalifah - A. Ubaidillah Alias

Tajuk : Mengintai Cinta Khalifah
Penulis : A. Ubaidillah Alias
Terbitan : PTS Litera Sdn Bhd
m/s : 384

Sinopsis Belakang Buku :
Imran, remaja yang tercari-cari erti sebuah legasi demi memimpin cintanya menuju syurgawi. Dia cuba menyelami hakikat khalifah yang makin kabur. Dalam diam, jiwanya sentiasa memugar cinta Laila yang prejudis terhadap agamawan. Kerana cinta dia berusaha mengubah persepsi Laila. Namun, Laila tetap dengan pendiriannya. Ketika itu, hadirlah Nanda Gracer iaitu seorang Gadis asing yang mengheretnya ke dalam perdebatan antara kebenaran Islam dan kejahatan orientalis. Imran tekad menghadapi argumentasi itu dan merubah pandangan Nanda. Dalam diam, Nanda terpesona terhadap karisma dan kemantapan ilmu Imran. Dalam menggapai cinta Laila dan hambatan cinta Nanda, adakah Imran akan memperkukuhkan dirinya sebagai Khalifah Tuhan di muka bumi?

Ulasan :
Ini merupakan buku pertama tulisan A. Ubaidillah yang saya baca, dan buku ini jugalah buku pertama terbitan PTS. Pada awal cerita memang diselitkan ilmu yang sangat padat. Penulis memang ingin menyampaikan mesej apa sebenarnya seorang khalifah di sisi Islam. Pelbagai ilmu dan pengalaman yang diceritakan sepanjang Imran Jazimin (watak utama) menuntut di Universiti Al-Azhar setelah kehilangan kedua ibubapanya dan kemalangan yang menimpa dirinya.

Berbekalkan janji setia pada Laila di Malaysia, beliau merantau untuk mencari ilmu dan mencari makna khalifah yang sebenarnya sebelum membina mahligai bersama Laila. Namun kerana tiada berita dan khabar dari Imran, telah menyebabkan Laila memilih insan lain yang cuba merapatinya.

Imran akhirnya telah bangun dan menubuhkan perniagaan sendiri yang berlandaskan dakwah secara maya. Perkenalan dengan Salsabilah telah membuatkan beliau dapat melupakan Laila yang telah berkahwin. Imran telah mengambil langkah seperti yang dituntut dalam Islam dalam mendekati bakal isteri. Tanpa bertemu dengan Sal, beliau telah merisik keluarga Sal yang jauh di selatan. Dalam masa yang sama juga Laila menghadapi masalah dengan suaminya dan telah menjadi janda dalam usia yang muda. Ketika itu juga Imran diuji dengan kehadiran Nanda (bukan muslim) yang ingin mencabarnya berdebat tentang agama Islam. Nanda yang dihantar melalui satu misi, menggunakan pelbagai cara dan soalan untuk mencabar ilmu Imran.

Penyesalan Laila dan harapan ibubapa Salsabilah membuatkan Imran perlu bijak dalam membuat keputusan. Petunjuk demi petunjuk telah diberikanNya, namun siapakah yang akan dipilih oleh Imran? Siapakah pula yang dicintai oleh Salsabilah? Adakah Laila masih mengharapkan Imran setelah tidak jujur? Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Siapalah kita yang boleh menentukannya. Hanya doa yang mampu kita berikan sebagai harapan. Apa pula yang terjadi kepada Nanda dan pembantunya?

Saranan: buku ini mengandungi banyak ilmu agama yang mungkin anda sendiri tidak pernah tahu mengenainya. Penulis pasti membuat rujukan yang banyak di samping ilmu yang telah ada dalam dirinya. Saya percaya, pembaca akan menyukai 'ending' cerita ini seperti saya. Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan koleksi dan rujukan untuk seorang muslim.

Rating : ***** (sangat berbaloi untuk dijadikan koleksi)

Tuesday, August 10, 2010

MAWAR - NASS ALINA NOAH

Tajuk Buku : Mawar
Penulis : Nass Alina Noah
Terbitan : Utusan Publication
Bil m/s : 360

Sinopsis belakang buku:
Mawar dilanda dilema. Sikap Ibu dan kakak tiri sering menyusahkannya. Dalam pada itu, terpaksa pula Mawar menerima perkahwinan yang telah dirancang oleh arwah Abahnya dan Datin Maznah. Dia tidak dapat menerima status sebagai isteri kerana usianya yang masih muda.

Dia punya cita-cita yang tinggi menggunung dan baginya status sebagai seorang isteri akan menjadi tembok penghalang untuk mengejar cita-cita. Lantaran itu, perkahwinan Mawar dan Johari hanya pada nama.

Johari yang taat pada permintaan ibunya. Dia berazam untuk mencintai isterinya dan memberi peluang kepada mawar mengejar cita-citanya. Namun dapatkah Johari menawan hati Mawar dan mematuhi pelbagai syarat yang dikenakan oleh Mawar?

Ulasan:
Dah lama tak baca kisah remaja...susah jugak nak tune balik kepala nih dengan cerita2 budak nih...
cerita nih bagi saya ok jer, sbb santai je bacaannya. Kelakarpun ada jugak sikit-sikit. Saya selalu jugak baca buku-buku Nass Alina Noah (NAN) nih, beliau memang agak cenderung dalam buku-buku remaja. Buku dewasa tak banyak sangatlah.

Slot cerita agak simple dan boleh agak apa yang akan berlaku. Susur galur cerita agar lancar dan tak berbelit2. Keseluruhan cerita memang telah diceritakan di dalam sinopsis di belakang buku ini.

Di akhir cerita, Mawar telah diaibkan oleh Michelle yang cemburu dengan status Mawar di sisi Johari. Johari pula berada dalam keadaan koma selepas terlibat dalam satu kemalangan pada malam peristiwa yang mengaibkan itu. Kesudahan cerita ini agak tergantung tetapi seperti biasalah NAN memang suka tulis cerita yang kesudahan sama ada sad ending ataupun tergantung macam ni. Tapi bagi saya, selepas Johari kemalangan, Mawar mungkin akan meninggalkan suami kerana Mawar merasakan Johari layak memiliki wanita yang lebih baik daripadanya.

Rating: *** (biasa sahaja)

Monday, August 2, 2010

Mikhail

Tajuk Buku : Mikhail
Penulis : Ramlee Awang Mursyid
M/S :
Gendre : Aksi

Sinopsis belakang buku :
MIKHAIL – bukan sekadar sebuah nama. Selama 16 tahun menjadi pelarian di perantauan, dia muncul semula memburu mangsa-mangsanya. Mikhail membunuh kerana dendam lama. Sewaktu usia remaja, keluarganya telah ditembak mati. Mikhail telah diselamatkan Dickens, seorang lelaki Amerika Syarikat yang juga merupakan rakan niaga ayahnya, Tuan Sadon. Dickens melatih Mikhail menjadi seorang pembunuh profesional untuk membela kematian keluarga.

Dalam pada itu, Mikhail juga menghidapi sejenis penyakit paranormal. Apabila retina matanya terkena cahaya matahari atau silauan lampu yang terang lagi tajam, dia akan berada dalam satu dimensi yang tidak diketahui. Kadangkala dia terperangkap antara dua dimensi – fantasi dan realiti. Akibatnya, Mikhail sukar membezakan mana yang benar.

UIasan:
Dalam banyak-banyak buku Ramlee Awang Murshid, saya paling minat buku ini sebab memang jalan cerita tak ada langsung yang boring...aksi memang dibayangkan dengan teliti dan tepat oleh RAM. Banyak lagi buku RAM yang saya tak baca dan RAM memang tak pernah mengecewakan peminatnya. Hasil tulisan beliau tidak stereotype langsung dan watak dan jalan cerita yang diketengahkan memang berkesan kepada pembaca. Walaupun saya sibuk dengan kerja-kerja rumah dan kerja pejabat, namun saya dapat habiskan buku ini dalam masa 24 jam.

Watak Mikhail yang pada awalnya seolah-olah nama watak utama rupa2nya adalah nama gelaran untuk sebuah kumpulan pembunuh bersiri dan menggunakan note USD1 sebagai 'killer signature'. Seorang Mikhail yang mengejar telah dikejar oleh Mikhail yang lain. Pelbagai aksi yang mengejutkan berlaku sepanjang cerita menjadikan cerita ini "happening". Selain itu, ada juga diselitkan kisah cinta yang sangat ringkas tapi memberi kesan kepada sesiapa yang membacanya. Dengan pembunuhan-pembunuhan yang berlaku, pelbagai konspirasi yang timbul sehinggalah menuju kepada punca utama wujudnya MIKHAIL ini. Selain itu, penyakit  paranormal yang berlaku ke atas Mikhail jugaklah yang membantu Mikhail mencari identiti sebenarnya.

Sesiapa yang belum membaca buku ini, baik pergi beli dan buat koleksi. Saya pinjam buku ini dari perpustakaan, tp saya akan beli jugak buku ini sbb berbaloi sangat kalau nak buat koleksi dan menambah koleksi buku2 RAM saya.

Rating : ***** (sangat berbaloi dijadikan koleksi)
Related Posts with Thumbnails